Proton Saga MC3 Standard 2026 – galeri penuh varian paling murah; enjin 1.5L 120 PS/150 Nm, 4AT, RM38k

Proton Saga MC3 Standard 2026 – galeri penuh varian paling murah; enjin 1.5L 120 PS/150 Nm, 4AT, RM38k

Model Proton yang paling ditunggu-tunggu tahun ini iaitu Saga MC3 2026 sudahpun selamat dilancarkan minggu lalu. Jadi semua sudah tahu sedan paling mampu milik dari Proton ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium, masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RMRM38,990, RM44,990 dan RM49,990. Malah sehingga 31 Disember 2025, Proton turut menawarkan rebat tunai sebanyak RM1,000 turut akan diberikan kepada pelanggan, menjadikan harga yang diumumkan ini lebih murah.

Dengan rebat tersebut menjadikan Saga MC3 boleh dibeli pada harga bermula RM 37,990 untuk varian 1.5 Standard. Tapi, di mana kita boleh tengok contoh Saga yang paling murah tersebut? Kami mendapati bahawa semua unit yang dipamerkan di bilik-bilik pameran Proton di seluruh Lembah Klang hanyalah dari varian Executive dan Premium.

Mujur bilik pameran Proton Sianghin di Taman Melawati ada satu unit Saga MC3 Standard yang boleh kami lihat dan merakamkan galeri penuh sebelum unit berkenaan diserahkan kepada pemilik baharunya. Jadi mari kita tengok, dengan harga tidak sampai RM40k, apa yang anda dapat menerusi Saga MC3 Standard 2026 ini.

Proton Saga MC3 Standard 2026 – galeri penuh varian paling murah; enjin 1.5L 120 PS/150 Nm, 4AT, RM38k

Pada sebelah luar, Saga Standard ini masih menerima lampu hadapan projektor LED. Namun apa yang berbeza berbanding Exec dan Premium, lampu projektor LED pada Saga ini tidak diberikan fungsi lampu tinggi automatik. Dan, jalur LED berbentuk-L di bahagian dalam lampu tersebut masih ada, tetapi ia hanya berfungsi sebagai lampu maghrib – ia tidak secerah lampu nyalaan siang, dan tidak menyala secara automatik ketika enjin dihidupkan.

Walau bagaimanapun, unit lampu berkenaan masih lagi sama seperti lampu yang dipasang pada Exec dan Premium berdasarkan nombor komponen (part number) yang kami periksa. Jadi perbezaan fungsi ini dibuat kemungkinan besar menerusi perisian yang mengawal lampu berkenaan. Mungkin selepas ini ada aksesori luar yang boleh mengkatifkan semula fungsi tersebut?

Ada berberapa perincian lagi boleh anda kenali bahawa ini adalah varian Standard hanya menerusi pada bahagian muka, antaranya kemasan ‘busur panah’ pada gril hadapan varian ini datang dalam kemasan perak berbanding krom pada Exec dan Premium, dan ia tidak diberikan penderia parkir hadapan pada bampar.

Beberapa perincian pada sebelah sisi sedan ini juga boleh memberitahu bahawa ia adalah dari versi paling asas, dan yang paling mudah adalah dengan melihat terus pada bahagian roda di mana ia tidak diberikan rim aloi 15-inci rekaan baharu, sebaliknya masih diberikan rim aloi 14-inci yang sama seperti Saga MC2 terdahulu. Kemudian anda juga boleh lihat pada pembuka pintu sebelah pemandu di mana varian ini tidak dibekalkan dengan butang kunci, dan kunci hanya boleh dibuka menerusi alat kawalan jauh sahaja (atau kunci manual menerusi silinder yang disorok di belakang penutup untuk digunakan sekiranya tiada bekalan elektrik).

Selain itu, varian Standard ini ada berkongsi beberapa perincian luaran yang sama seperti varian pertengahan Executive, antaranya kerangka cermin tingkap pada tiang-B tidak berwarna hitam, tiada skrit sisi, tiada bar lampu yang merentangi penutup but belakang, dan tiada butang untuk membuka penutup but tersebut dari luar. Varian paling murah ini juga tidak diberikan kamera undur dan juga lampu dalam ruang but.

Masuk ke kabin, perincian paling jelas bahawa ia adalah Saga Standard ialah ketiadaan skrin infotainmen, di mana anda hanya boleh mendengar muzik menerusi pemain audio standard 2-DIN hubungan Bluetooth dengan butang-butang kapasitif, tetapi masih diletak pada perumah skrin sembilan-inci yang ada pada varian Executive dan Premium. Bunyi dari pemain tersebut boleh didengari menerusi hanya dua pembesar suara yang diletakkan pada pintu hadapan. Namun varian dengan kelengkapan paling sedikit ini masih menerima paparan instrumen digital sepenuhnya menerusi skrin TFT tujuh-inci.

Proton Saga MC3 Standard 2026 – galeri penuh varian paling murah; enjin 1.5L 120 PS/150 Nm, 4AT, RM38k

Walaupun tiada butang kunci pada pembuka pintu, Saga Standard ini masih dibekalkan dengan butang penghidup enjin – jadi selepas anda membuka kunci dengan alat kawalan jauh, ia boleh disimpan terus dalam poket ketika masuk ke kereta, dan boleh terus menghidupkan enjin dengan butang tanpa perlu memasukkan kunci dalam mana-mana slot.

Anda juga boleh lihat tiada butang penderia parkir pada susunan slot butang di bawah corong pendingin hawa tengah kerana tidak dibekalkan dengan penderia parkir hadapan, dan tiada fungsi auto-turun pada suis butang cermin tingkap pemandu (sama seperti Executive).

Manakala untuk tempat duduk, ia hanya dibalut dengan fabrik tanpa sebarang corak, berbeza dengan varian Executive yang diberikan fabrik dengan corak ‘ombak laut’ sama seperti pada papan pemuka dan panel kemasan pintu. Ketinggian tempat pemandu juga hanya boleh dilaras pada bahagian hadapan menggunakan tombol bulat seperti varian Executive, sementara perehat kepala pada tempat duduk belakang tidak boleh dilaras ketinggiannya.

Saga Standard ini tidak diberikan port USB di belakang brek tangan seperti yang ada pada Executive dan Premium, manakala port USB yang ada pada bahagian hadapan pula adalah port untuk data bagi kegunaan pemain audio, dan ia boleh mengecas telefon pintar secara perlahan.

Bagi sistem keselamatan pula kelengkapan yang diberikan pada varian Standard dan Executive adalah sama dengan diberikan brek ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik dan hanya dua beg udara. Varian Premium datang dengan sistem keselamatan yang jauh lebih baik termasuk menerima enam-beg udara serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

Enjin bagi kesemua varian Saga adalah sama iaitu unit 1.5 liter empat-silinder i-GT berkuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm – menjadikan Saga satu-satunya model bawah RM40k yang datang dengan enjin 1.5 liter. Namun sistem penghantaran kuasa ke roda hadapan adalah berbeza di mana varian Premium datang dengan kotak gear CVT automatik yang dibekalkan oleh Punch, manakala varian Executive dan Standard pula menerima kotak gear automatik konvensional empat-kelajuan 4AT keluaran Aisin.

Jadi apa pendapat anda dengan kelengkapan yang diberikan pada Saga yang paling murah dalam barisan model ini? Adakah ia berbaloi dengan harga yang ditawarkan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

Renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. Many payment method supported and you can pay with instalment using Atome, Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required


 
 
Related PaulTan.org Content: News: News | Reviews: Reviews | Malaysia: Malaysia | Tech | 2025 | Motorsports