Aston Martin DBX GT kini menyertai barisan SUV jenama Britain itu sebagai varian yang lebih menumpukan aspek kemewahan, melengkapi DBX S yang lebih berorientasikan prestasi. Selain kemasan luaran dan dalaman yang berbeza, DBX GT turut menerima talaan casis baru bagi menawarkan keselesaan lebih baik tanpa menjejaskan pengalaman pemanduan.
Menurut Aston Martin, DBX GT direka untuk memberikan “kemewahan dan kemasan terbaik” daripada model tersebut. Berbanding DBX S, penampilan luaran GT lebih bersahaja dan tidak terlalu agresif, mengambil pendekatan yang hampir sama seperti Bentley dengan Bentayga S dan varian Mulliner yang lebih mewah.
Dari segi prestasi, enjin petrol V8 4.0 liter turbo berkembar yang digunakan adalah sama seperti DBX S. Ia menghasilkan 727 PS dan 900 Nm, dengan kuasa disalurkan kepada keempat-empat roda menerusi transmisi automatik sembilan kelajuan. Pecutan 0-96 km/j mengambil masa 3.1 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 309 km/j.
Sistem brek juga dikekalkan daripada DBX S, termasuk brek karbon-seramik dengan cakera berukuran 420 mm di hadapan dan 390 mm di belakang. Nisbah stereng turut sama seperti DBX S, manakala Aston Martin menyatakan DBX GT mempunyai radius pusingan 12 meter.
Perubahan utama untuk meningkatkan keselesaan terletak pada talaan semula penyerap hentak, termasuk sistem injap penyerap hentak yang dibangunkan khas untuk DBX GT. Ia direka bagi memberikan tindak balas lebih lembut ketika melalui permukaan jalan yang kurang baik, sambil mengekalkan kawalan badan ketika dipandu secara dinamik.
Sistem injap baru itu turut membantu mengawal aliran minyak dengan lebih baik ketika suspensi berdepan input berfrekuensi tinggi dan amplitud rendah, seperti permukaan jalan kasar atau jalur gegaran. Pada masa sama, ia membantu mengurangkan getaran yang disalurkan ke dalam ruang kabin.
Kadar spring pula berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih, manakala dua penyerap hentak longitudinal baru membantu mengawal hubungan antara badan kenderaan dan subframe belakang. Menurut Aston Martin, ia memberikan rasa struktur yang lebih kukuh ketika suspensi berdepan lubang besar, bonggol tajam atau mampatan yang kuat.
Aspek keselesaan pada kelajuan rendah turut dipertingkatkan menerusi rim 22 inci yang menjadi kelengkapan standard. Rim 23 inci masih ditawarkan sebagai pilihan, dengan pelanggan boleh memilih sama ada tayar musim panas atau tayar semua musim.
Talaan transmisi automatik sembilan kelajuan juga diubah bagi memberikan pertukaran yang lebih konsisten, daripada pemanduan santai pada kelajuan rendah di kawasan bandar sehingga penggunaan pendikit penuh. Selain itu, bush pemegang transmisi baru yang lebih tegar membantu mengawal pergerakan transmisi berbanding badan kenderaan.
Aston Martin turut memberikan perhatian kepada talaan sistem ekzos bagi menghasilkan karakter bunyi yang lebih halus. Aliran gas dalam peredam ekzos belakang kini melalui proses pencampuran berganda bagi mengurangkan frekuensi bunyi yang kasar dan bersifat metalik, sekaligus menghasilkan nada yang lebih bersih dan berisi.
Mod GT baru pula direka untuk memberikan bunyi ekzos yang lebih sederhana, sesuai dengan karakter DBX GT. Namun, apabila mod Sport atau Sport+ dipilih, sistem ekzos akan mengembalikan karakter bunyi penuh yang lebih lantang.
Di dalam kabin, DBX GT menerima tempat duduk hadapan dan belakang yang direka semula, termasuk perubahan pada kusyen, sokongan sisi serta bentuk sokongan badan. Menurut Aston Martin, reka bentuk baru itu cuba mengimbangi sokongan ketika pemanduan dinamik dengan keselesaan untuk kegunaan harian.
Tempat duduk belakang menggunakan susun atur yang digambarkan Aston Martin sebagai “individual”, walaupun DBX GT masih mengekalkan konfigurasi lima tempat duduk. Fokus utama diberikan kepada dua tempat duduk di bahagian luar yang kini direka supaya lebih menyerupai tempat duduk hadapan.
Tempat duduk belakang itu menerima penyandar kepala dan sokongan sisi yang dipanjangkan bagi meningkatkan keselesaan ketika perjalanan jauh. Sebagai kelengkapan standard, DBX GT turut hadir dengan bumbung kaca panoramik yang membolehkan lebih banyak cahaya semula jadi masuk ke dalam kabin.
Kemasan dalaman pula diberikan sentuhan lebih mewah, termasuk kawalan putar mod pemanduan dan suis tambahan berasaskan logam anod yang dikatakan mempunyai kemasan seakan barang kemas. Pelanggan boleh memilih kombinasi warna satu tona, dua tona atau tiga tona untuk kemasan ruang kabin.
Jahitan sulaman dengan corak khusus untuk DBX GT turut ditawarkan, manakala kulit semi-aniline digunakan pada bahagian tempat duduk. Aston Martin menyatakan setiap tempat duduk hadapan memerlukan 691 meter benang, 3,297 lubang tebukan dan lebih 4.5 jam kerja tangan untuk disiapkan.
Tahap kesenyapan kabin turut dipertingkatkan dengan perhatian lebih diberikan kepada pengedapan ruang penumpang serta kedudukan bahan penebat bunyi pada panel pintu, ruang gerbang roda hadapan dan belakang serta ruang bagasi. Kaca sisi belakang berlamina akustik turut digunakan untuk mengurangkan bunyi dari luar.
Permaidani berbulu tebal bukan sekadar memberikan rasa lebih mewah, malah membantu mengasingkan bunyi dalam kabin. Aston Martin mendakwa penambahbaikan ini menghasilkan peningkatan 13% dalam indeks artikulasi, iaitu ukuran sejauh mana mudahnya penumpang berbual antara satu sama lain ketika kenderaan sedang bergerak.
Penghantaran Aston Martin DBX GT kepada pelanggan dijadualkan bermula pada suku keempat tahun ini.












































































