BAIC Malaysia bakal kembali masuk pasaran — Arcfox T1, BAIC BJ30 model terawal dilancar hujung tahun ini

Sekitar dua tahun lalu, nama BAIC sebagai sebuah jenama pengeluar kenderaan dari China yang bakal memasuki pasaran Malaysia sudah mula kedengaran. Dua model juga pernah diumumkan sebagai model terawal yang dijangka akan mula dipasarkan ketika itu — BAIC BJ40 dan juga X55. Namun, setelah itu berita tentang BAIC senyap sepi.

Kemudian, pada Jun lalu, kami juga melaporkan bahawa sebuah lagi jenama yang bernaung di bawah BAIC Group, Arcfox ada kemungkinan sedang dipersiapkan untuk dilancarkan di Malaysia. Ini adalah susulan kepada munculnya akaun media sosial rasmi jenama tersebut untuk pasaran tempatan.

Kini, semua itu telah disahkan: BAIC Malaysia sudah dalam peringkat akhir persiapan untuk mengumumkan kehadiran jenama tersebut di pasaran tempatan — dengan perancangan yang lebih teratur dan jelas.

Bersama dengan rakan niaga dan pengedar tunggal tempatan, Intro Synergy Sdn Bhd (sebuah anak syarikat milik penuh GoAuto Group), jenama itu bakal memperkenalkan dua model keluarannya secara rasmi untuk pasaran tempatan, Bermula seawal hujung tahun ini.

BAIC Malaysia bakal kembali masuk pasaran — Arcfox T1, BAIC BJ30 model terawal dilancar hujung tahun ini

Yang pertama adalah model jenama Arcfox, yang merupakan satu daripada divisyen jenama yang bernaung di bawah BAIC Group. Arcfox di Malaysia akan memberi tumpuan kepada barisan kenderaan EV dengan gaya badan SUV atau crossover moden, dengan model T1 menjadi yang pertama bakal memasuki pasaran Malaysia, dijangka seawal November nanti.

Disebabkan tempoh insentif EV oleh kerajaan Malaysia telah ditamatkan bermula tahun ini, Acrfox T1 dijadualkan memasuki pasaran tempatan dalam bentuk CKD ketika pelancarannya nanti. Selain T1, BAIC Malaysia turut merencanakan tiga lagi model Arcfox untuk pasaran Malaysia: sedan S3, SUV T5 dan T7 serta MPV V9.

Arcfox T1 merupakan model crossover kompak yang mempunyai ukuran 4,337 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,572 mm tinggi, dengan jarak roda 2,770 mm. Ia turut dilengkapi dengan rim aloi 18-inci, dengan ruang barangan 459 liter atau 1,352 liter bergantung pada konfigurasi tempat duduknya.

BAIC Malaysia bakal kembali masuk pasaran — Arcfox T1, BAIC BJ30 model terawal dilancar hujung tahun ini

Selain model Arcfox, akan ada juga model kenderaan BAIC. Dalam suku pertama tahun depan pula jenama ini merancang untuk memperkenalkan model BAIC BJ30 — selari dengan pengumuman awal yang dilakukan oleh BAIC sebelum ini, yang menjangkakan ketibaan model terbabit ke pasaran Malaysia pada 2025. Untuk pasaran luar, SUV ini ditawarkan dalam dua versi, enjin petrol dan juga versi hibrid, dan Malaysia dijangka akan menerima model hibridnya terlebih dahulu.

Sebagai sebuah jenama di bawah BAIC Group, jenama kenderaan BAIC untuk pasaran tempatan akan memberikan tumpuan terhadap model-model dengan rekaan berkotak dengan kemampuan off-road. Ini juga akan terus dipasarkan sebagai model CKD dari kilang EPMB Melaka ketika pelancarannya kelak.

Tiga model dijangka akan diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dalam tempoh enam bulan selepas pengenalan semula BAIC Malaysia nanti — Arcfox T1, BAIC BJ30 dan Arcfox T5.

BAIC Malaysia bakal kembali masuk pasaran — Arcfox T1, BAIC BJ30 model terawal dilancar hujung tahun ini

Untuk pasaran serantau, model BAIC BJ30 hibrid ini telah pun dijual di Indonesia sejak kira-kira setahun lalu, dan ditawarkan secara eksklusif dengan sistem rangkaian kuasa hibrid. Tiga varian disediakan iaitu FWD Lite, FWD Prime dan AWD Adventure, dengan harga bermula dari Rp529 juta hingga Rp589 juta, bersamaan sekitar RM121,000 hingga RM134,000.

BAIC BJ30 Hybrid mempunyai ukuran 4,730 mm panjang, 1,910 mm lebar dan 1,790 mm tinggi dengan jarak roda 2,820 mm. SUV ini turut menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 215 mm, menjadikannya sesuai untuk pemanduan off-road.

Kuasanya pula dijana menerusi enjin petrol 1.5 liter turbo yang menghasilkan sebanyak 158 PS dan 235 Nm, digandingkan dengan transmisi hibrid khas dua kelajuan. Bagi varian pacuan roda hadapan (FWD), enjin tersebut dipadankan dengan sebuah motor elektrik dengan kuasa 177 PS dan 315 Nm, memberikan jumlah output keseluruhan 334 PS serta 550 Nm.

BAIC T1 di GIIAS 2026

BAIC BJ30 Hybrid di GIIAS 2026

Arcfox S3

Arcfox T5

Arcfox T7