BAIC BJ30 Hybrid kini dipertontonkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026 yang sedang berlangsung di Indonesia. Seperti namanya, model ini merupakan versi hibrid kepada BJ30 yang sebelum ini dirancang untuk memasuki pasaran Malaysia pada tahun lalu. Walaubagaimanapun, perkembangan terbaru daripada BAIC menunjukkan model tersebut berkemungkinan akan diperkenalkan ke Malaysia di bawah sub-jenama Arcfox.
Di Indonesia, BAIC BJ30 Hybrid sebenarnya telah dipasarkan sejak kira-kira setahun lalu dan ditawarkan secara eksklusif dengan sistem rangkaian kuasa hibrid. Tiga varian disediakan iaitu FWD Lite, FWD Prime dan AWD Adventure, dengan harga bermula dari Rp529 juta hingga Rp589 juta, bersamaan sekitar RM121,000 hingga RM134,000.
Melihat kepada dimensi, BJ30 Hybrid berukuran 4,730 mm panjang, 1,910 mm lebar dan 1,790 mm tinggi, manakala jarak roda ialah 2,820 mm. SUV ini turut menawarkan kelegaan tanah setinggi 215 mm, menjadikannya sesuai untuk pemanduan di pelbagai permukaan jalan.
Kuasa dijana menerusi enjin petrol 1.5 liter turbo yang menghasilkan 158 PS dan 235 Nm, digandingkan dengan transmisi hibrid khas dua kelajuan. Bagi varian pacuan roda hadapan (FWD), enjin ini dipadankan dengan sebuah motor elektrik berkuasa 177 PS dan 315 Nm, memberikan jumlah output keseluruhan 334 PS serta 550 Nm.
Varian AWD Adventure pula menerima tambahan sebuah lagi motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 75 PS dan 135 Nm. Hasilnya, kuasa keseluruhan meningkat kepada 409 PS dengan tork maksimum 685 Nm.
Untuk kapasiti bahan api, varian FWD menggunakan tangki 60 liter manakala versi AWD dilengkapi tangki 51 liter. BAIC mendakwa BJ30 Hybrid mampu mencapai jarak perjalanan sekitar 1,000 km dengan sekali isian penuh, namun angka tersebut tidak dinyatakan mengikut mana-mana kitaran ujian rasmi.
Semua varian menggunakan rim aloi bersaiz 19 inci yang dibalut tayar 235/60, selain menawarkan sudut pendekatan 24.5 darjah dan sudut pelepasan 30 darjah bagi membantu keupayaan pemanduan di laluan mencabar.
Dari aspek kelengkapan, BJ30 Hybrid hadir dengan lampu tinggi automatik, panel instrumen digital bersaiz 10.25 inci dan skrin sentuh infotainmen 14.6 inci. Turut disediakan ialah pengecas telefon pintar tanpa wayar, soket kuasa 220 volt di ruang kargo, pintu belakang kuasa elektrik, sistem audio lapan pembesar suara, tempat duduk balutan kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam hala serta tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat hala.
Turut melengkapkan senarai kelengkapan standard ialah sistem penyaman udara dua zon dengan corong udara belakang, kotak konsol tengah yang boleh menyejukkan atau memanaskan minuman, lampu suasana, enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) serta pakej penuh sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) termasuk Kawalan Jelajah Adaptif (ACC).
Bagi varian FWD Prime dan AWD Adventure, BAIC menambah beberapa ciri eksklusif seperti rel bumbung, pemijak sisi, lampu pada lengkuk roda, lampu penyambut, lampu kabus bersama fungsi lampu selekoh serta bumbung suria lengkap dengan bidai.
Sementara itu, varian AWD Adventure tampil sebagai model paling lengkap dalam barisan BJ30 Hybrid. Ia menerima tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan, memori tempat duduk pemandu dengan tiga tetapan serta fungsi easy entry.
Selain itu, varian ini turut dilengkapi mod Launch dengan kesan bunyi, mod pemanduan Mud, Sand dan Wading, sistem bantuan differential gelincir terhad elektronik (electronic limited-slip assist) serta fungsi tingkap naik dan turun automatik untuk semua pintu, berbanding hanya tingkap pemandu bagi varian lain.









