BAIC T1 dilancarkan di GIIAS 2026 — 310 km WLTP, 95 PS, RM84k; akan masuk Malaysia sebagai Arcfox?

Sebelum ini, sudah bertiup ura-ura bahawa jenama Arcfox akan masuk ke pasaran Malaysia. Bagaimanapun, masih belum ada sebarang pengesahan rasmi tentang itu, melainkan beberapa laman rasmi media sosialnya di Malaysia telah mula diaktifkan. Arcfox ialah sub-jenama kepada BAIC.

Dan, untuk melihat bayangan kepada model apa yang mungkin akan dipasarkan di Malaysia kelak, adalah menarik untuk kita lihat apa yang sedang jenama itu bawakan ke pasaran Indonesia. Dalam laman web global, ada disenaraikan model-model seperti T1, T5, Kaola S dan S5. Dan, model T1 menjadi yang pertama dilancarkan secara rasmi di sana, seperti yang dipertontonkan juga di Pameran Auto Antarabangsa Gaikindo Indonesia (GIIAS) 2026 yang sedang berlangsung. Tetapi di sana, ia menggunakan jenama BAIC dan bukannya Arcfox.

Arcfox T1 yang dilancarkan di sana dijual dengan harga Rp 393 juta (RM89k), dan untuk 1,000 pembeli terawal pula akan menikmati harga istimewa Rp 373 juta (RM84k). Tempoh jaminan yang diberikan adalah selama enam-tahun/160,000 km untuk kenderaan, dan lapan-tahun/160,000 km untuk bateri. Terdapat juga empat-tahun/80,000 km servis percuma. Pilihan warna yang ada termasuk Ungu, putih, biru, perak dan kelabu.

Ukuran dimensi T1 adalah seperti berikut: 4,337 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,573 mm tinggi dengan jarak roda 2,750 mm. Ini menjadikan T1 lebih kurang saiznya seperti model smart #1. Ia mempunyai motor hadapan dengan janaan 95 PS/176 Nm, bateri LFP 42.3 kWh, jarak WLTP 310 km, pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat dan kelajuan maksimum sekitar 150 km/j. Kadar pengecasan maksimum tidak dinyatakan, tetapi pengecasan DC dari SoC 30%-80% mengambil masa sekitar 25 minit, sementara pengecasan AC dari 0-100% mengambil masa lapan jam.

Senarai kelengkapan termasuklah bumbung panoramik, enam-pembesar suara, fungsi vehicle-to-vehicle (V2V), fungsi vechicle-to-load (V2L), parkir automatik, kolum pemilih gear, pintu belakang larasan kuasa, corong pendingin belakang, panel instrumen 8.8-inci, skrin sentuh 15.6-inci dan rim aloi 18-inci dengan tayar bersaiz 215/55. Ruangan but boleh memuatkan 459 liter; atau 1,352 liter jika penyandar belakang dilipat.

Ciri lain juga terdiri daripada lampu tinggi automatik, kerusi balutan kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala dan pengudaraan dengan fungsi memori, tempat duduk penumpang hadapan berkuasa larasan empat-hala dengan pengudaraan, TPMS, kamera 360-darjah, enam-beg udara dan ADAS termasuk AEB dan ACC. Stereng boleh dilaraskan secara manual untuk jauh-dekat dan tinggi-rendah. Malaysia juga akan menerima model ini dahulu?