Ikuti kami:
Carian lanjutan
           
Jual kereta andaBayaran dalam 24 jam Jual sekarang Jadikan paultan.org sumber pilihan anda di Google Tambah
 

Jual kereta anda pada harga lebih tinggi, dibayar dalam 24 jam

Kandungan terkini

  • Kuota bulanan Budi95 naik semula kepada 300 liter bermula 1 Sept ini, Budi Diesel 400 liter — Anwar Ibrahim

    Kuota bulanan Budi95 naik semula kepada 300 liter bermula 1 Sept ini, Budi Diesel 400 liter — Anwar Ibrahim

    Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah mengumumkan bahawa kerajaan akan meningkatkan kuota subsidi bahan api bulanan Budi Madani mulai 1 September. Kuota bulanan untuk petrol RON 95 bersubsidi di bawah skim Budi95 meningkat daripada 200 liter ketika ini, kepada 300 liter. Dan memandangkan jumlah kuota keseluruhan Budi Diesel turut dikongsi dengan Budi95, pengguna diesel akan mendapat peningkatan jummlah yang sama — dengan had penggunaan keseluruhan bagi pemilik trak pikap dan jip yang diluluskan meningkat daripada 300 liter kepada 400 liter.

    Pengumuman itu dibuat dalam ucapan Merdeka yang disampaikan oleh Perdana Menteri, hari ini. Anwar berkata kerajaan telah memutuskan untuk menyemak semula peruntukan kuota Budi Madani bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup serta kesan naik-turun harga bahan api terhadap rakyat.

    Bagi pengguna Budi95, langkah ini sebenarnya adalah pengembalian semula, dan bukannya peningkatan — skim ini dilancarkan dengan kuota bulanan 300 liter apabila harga RON 95 diperkenalkan pada kadar RM1.99 seliter pada September tahun lalu, sebelum kerajaan mengurangkannya kepada 200 liter mulai 1 April 2026 sebagai langkah sementara, dengan alasan keperluan untuk mengoptimumkan pengagihan subsidi dan membendung penyalahgunaan. Kira-kira 16 juta pengguna Budi95 akan mendapat manfaat daripada kuota yang dikembalikan ini, bersama-sama dengan lebih 500,000 pengguna Budi Madani Diesel yang akan turut menerima kenaikan kuota yang sama.

    Kuota bulanan Budi95 naik semula kepada 300 liter bermula 1 Sept ini, Budi Diesel 400 liter — Anwar Ibrahim

    Ringkasnya, skim Budi Madani Diesel yang diperkenalkan pada Julai lalu menjadikan harga bersubsidi bagi diesel B10/B15 pada kadar RM2.10 seliter untuk semua warga negara Malaysia dengan MyKad, di seluruh negara. Kuota asasnya bagaimanapun bukanlah peruntukan berasingan, sebaliknya dikongsi bersama kuota Budi95. Maka, peningkatan kuota daripada 200 liter kepada 300 liter ini terpakai untuk kedua-duanya secara kolektif.

    Selain itu, pemilik trak pikap dan jip yang digunakan untuk bekerja juga boleh memohon tambahan 100 liter sebulan, menjadikan had keseluruhan tersebut kini meningkat juga — daripada maksimum 300 liter sebulan sebelum ini, kepada 400 liter sebulan. Pendek kata, pengguna diesel akan beralih dan menikmati kenaikan kuota daripada 200 liter/300 liter (asas/dengan penambahan yang diluluskan) kepada 300 liter/400 liter.

    Harga bahan api bersubsidi itu sendiri bagaimanapun tidak berubah — RON 95 pada kadar RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu sah di bawah Budi95, manakala diesel dengan kadar RM2.10 seliter di bawah Budi Madani Diesel. Di luar kuota bulanan, pengguna masih boleh mengakses semua bahan api berkenaan dengan membayar harga tanpa bersubsidi semasa, iaitu RM3.82 seliter untuk RON 95 dan RM4.72 seliter untuk diesel B10/B15 berdasarkan harga semasa minggu ini.

     
  • Daihatsu akan rebadge Perodua QV-E, atau terlibat dalam pembangunan model EV Malaysia seterusnya nanti?

    Daihatsu akan rebadge Perodua QV-E, atau terlibat dalam pembangunan model  EV Malaysia seterusnya nanti?

    Minggu ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Johari Abdul Ghani, telah bertemu dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Takuo Komori, dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan ekonomi yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara. Ada satu topik yang disentuh menarik untuk diberi perhatian, yang berkaitan automotif.

    Dalam catatan Facebook-nya, Johari memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah membincangkan subjek “kerjasama Daihatsu-Perodua dalam membangunkan kenderaan elektrik di Malaysia.” Walaupun tidak diketahui butiran apa yang dibincangkan, ini sesuatu yang menarik. Kita tahu, kerjasama seperti itu belum pernah wujud di antara kedua-dua pihak.

    Ini kerana, walaupun Daihatsu merupakan pemegang saham utama Perodua dan telah membekalkan platform, enjin, kotak gear dan juga keseluruhan komponen kereta sepanjang 33 tahun kewujudan syarikat itu, model elektrik QV-E yang diperkenalkan tahun lalu itu dibangunkan sepenuhnya oleh Perodua sendiri dan tidak melibatkan sebarang perkongsian bahagian atau komponen dengan mana-mana model Daihatsu.

    Perodua memikul tanggungjawab keseluruhan projek itu atas sebab keperluan, sebahagiannya disebabkan oleh hasrat kerajaan untuk memperkenalkan sebuah EV yang dibangunkan oleh anak tempatan, dalam tempoh masa yang singkat. Ini antara lain didorong juga oleh ketiadaan model oleh Daihatsu sendiri untuk dijadikan asas. Daihatsu sehingga sekarang belum mempunyai model EV, dan satu-satunya model hibrid yang ada hanyalah Rocky e-Smart Hybrid, yang bakal dijadikan Ativa Hybrid nanti.

    Daihatsu akan rebadge Perodua QV-E, atau terlibat dalam pembangunan model  EV Malaysia seterusnya nanti?

    Perkara ini justeru menjadikan perbincangan yang berlangsung itu cukup menarik. Ada dua kemungkinan di sini. Pertama, Daihatsu akan me-rebadge QV-E untuk menjadi model yang dijual dengan lencananya. Hal seperti ini memang sudah pernah dilakukan; Daihatsu Sirion di Indonesia sebenarnya ialah Myvi, yang dibangun dan dipasang di sini.

    Kedua, Daihatsu mungkin akan menyertai Perodua dalam pembangunan model EV pada masa hadapan. Perkara ini juga pernah diberi bayangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad awal tahun ini. Katanya: “Kami telah menghasilkan EV sendiri. Dari situ, ada juga pertanyaan daripada mereka (Daihatsu) untuk ikut serta dalam pembangunan EV selanjutnya,” ujarnya ketika itu, sambil menambah bahawa Toyota juga ada menawarkan peluang kepada Perodua untuk membina EV-nya.

    Untuk sebuah jenama Jepun menggunakan teknologi EV dari Malaysia mungkin kedengaran agak janggal. Tetapi jika dilihat kepada pasaran serantau, yang mana Daihatsu berisiko untuk kehilangan bahagian pasarannya kepada pesaing seperti BYD seperti di Indonesia, ini nampak seperti pilihan yang masuk akal dan lebih cepat boleh dilaksanakan. Dengan kandungan tempatannya yang tinggi, QV-E juga akan mendapat manfaat daripada pengurangan cukai di bawah perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) untuk pasaran serantau.

    Daihatsu akan rebadge Perodua QV-E, atau terlibat dalam pembangunan model  EV Malaysia seterusnya nanti?

    Perlu juga difahami bahawa EV oleh Toyota sendiri adalah hasil usahasama dengan pengeluar kereta lain, seperti Subaru (bZ4X dan yang seangkatan, termasuk Lexus RZ) dan Suzuki (Urban Cruiser). Untuk mendapatkan Toyota dan Daihatsu sebagai “pelanggan”, itu akan menjadi satu kejayaan yang besar bagi Perodua, baik dalam konteks untuk meningkatkan eksport mahupun sebagai “pengesahan” terhadap usahanya membina EV sendiri dari awal.

    “Jika anda bertanya kepada saya, proses pembelajaran sangat mahal, dan sukar bagi kami untuk mendapatkan semula 100% pelaburan, tidak seperti cara kami melakukannya dengan kereta ICE. Tetapi saya berbangga dengan kemampuan sendiri yang mampu membangunkan sebuah kenderaan yang telah membuka mata mereka (Daihatsu dan Perodua), dan kini membuka laluan kepada sebuah usaha sama,” ujar beliau lagi.

    Kita tahu bahawa Perodua sedang mengusahakan sebuah model segmen-A yang lebih kecil menggunakan platform EV yang sama dibangunkan oleh Magna Styer untuk QV-E, yang akan membantu melunaskan kos pembangunan dan membolehkan syarikat itu bersaing dengan model seperti Proton eMas 5. Model EV oleh Daihatsu dan Toyota yang menggunakan asas ini juga akan membolehkan dua jenama itu untuk menawarkan sebuah produk EV yang lebih berpatutan kepada pasaran. Tambahan pula, input dua syarikat itu boleh membantu menyelesaikan rungutan terbesar terhadap QV-E — bahagian dalaman yang terasa murah.

    Jadi, kemungkinan yang mana satu agaknya akan menjadi kenyataan?

    Perodua QV-E di Malaysia

     
  • China panggil semula 4.3 juta kenderaan berkait handle pintu tersorok — Tesla, sembilan jenama lain terjejas

    China panggil semula 4.3 juta kenderaan berkait handle pintu tersorok — Tesla, sembilan jenama lain terjejas

    Pentadbiran Negara China untuk Peraturan Pasaran (SAMR) minggu lalu (21 Ogos 2026) mengumumkan panggilan semula automotif terbesar dalam sejarah negara itu berhubung masalah pemegang pintu tersembunyi yang mungkin sukar dibuka dalam keadaan kecemasan.

    Menurut laporan oleh Channel News Asia dan BBC, 4.3 juta kenderaan daripada sembilan jenama terlibat dalam panggilan semula ini, dengan penyelesaiannya ialah pemasangan label amaran penglihatan tinggi serta kemas kini perisian untuk menurunkan tingkap secara automatik selepas berlakunya kemalangan.

    “Dalam situasi ekstrem seperti perlanggaran teruk yang menyebabkan sistem voltan rendah kenderaan gagal, (pemegang) pintu mungkin menjejaskan keupayaan penumpang untuk membuka pintu kereta dengan cepat untuk menyelamatkan diri atau oleh anggota penyelamat dari luar kenderaan,” jelas satu kenyataan yang dikeluarkan oleh SAMR.

    China panggil semula 4.3 juta kenderaan berkait handle pintu tersorok — Tesla, sembilan jenama lain terjejas

    Model Tesla buatan China menyumbang sebahagian besar daripada jumlah keseluruhan itu, dengan 2.98 juta kereta terlibat dalam panggilan semula tersebut. Jenama lain yang turut terjejas termasuk Xpeng, Xiaomi, Geely (untuk model Zeekr dan Lynk & Co), Leapmotor, Chery, BAIC, Dongfeng dan FAW Group (untuk model Hongqi).

    Pemegang pintu tersembunyi, yang kebanyakannya memerlukan arus elektrik untuk keluar dari permukaan rata badan kenderaan, telah diteliti semula selepas dua kemalangan maut di China yang melibatkan kenderaan elektrik (EV) Xiaomi. Dalam kedua-dua kes, kegagalan kuasa disyaki telah menghalang pintu daripada dibuka dalam situasi kecemasan.

    Ini telah menyebabkan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) mengeluarkan peraturan baru tahun ini yang mewajibkan kereta yang dijual di negara tersebut mempunyai pelepasan mekanikal bagi pintu di bahagian dalam dan luar kenderaan. Peraturan tersebut berkuat kuasa pada 1 Januari 2027, sementara kenderaan yang telah diluluskan untuk dijual di China serta yang akan dilancarkan mempunyai masa sehingga Januari 2029 untuk mematuhi peraturan tersebut.

     
  • GWM Tank 500 HEV kini dengan sokongan aplikasi pintar — kawalan ke atas enjin, kunci, pendingin, geofencing

    GWM Tank 500 HEV kini dengan sokongan aplikasi pintar — kawalan ke atas enjin, kunci, pendingin, geofencing

    GWM Tank 500 HEV tahun 2026 kini didatangkan dengan sokongan GWM Intelligent Application, yang membolehkan pengguna menghidupkan/mematikan enjin, mengawal pendingin (termasuk menghidupkannya pada masa yang ditetapkan) serta mengaktifkan penapisan udara serta tempat duduk berventilasi.

    Aplikasi ini juga membolehkan pemilik mengunci/membuka kunci pintu, memeriksa sama ada bumbung suria dan tingkap ditutup (dan menutupnya jika perlu), melihat sama ada enjin berjalan dan memantau baki jarak tempuh, baki bahan api, jumlah perbatuan, serta tekanan dan suhu tayar.

    GWM Tank 500 HEV kini dengan sokongan aplikasi pintar — kawalan ke atas enjin, kunci, pendingin, geofencing

    Pengguna akan dimaklumkan jika terdapat sebarang keanehan yang dikesan pada tayar, jika tahap bahan api atau bateri 12V rendah serta jika pintu atau tingkap tidak ditutup sepenuhnya. Mereka juga boleh melihat lokasi semasa kenderaan dan mengaktifkan hon dan lampu kecemasan untuk mencari kenderaan mereka dengan lebih mudah di ruang parkir yang luas.

    Selain itu, fungsi geofencing membolehkan pemilik menetapkan sempadan maya di sekitar kawasan yang dipilih dan menerima amaran sekiranya kenderaan meninggalkan kawasan tersebut. Akses terhadap kenderaan juga boleh dikongsi dengan pengguna lain.

    GWM Tank 500 Black Edition di Malaysia

     
  • Isuzu D-Max 2.2L pusing Semenanjung dengan hanya satu tangki diesel — liputi jarak 1,756 km dengan baki 4%

    Isuzu D-Max 2.2L pusing Semenanjung dengan hanya satu tangki diesel — liputi jarak 1,756 km dengan baki 4%

    Awal bulan ini, Isuzu Malaysia telah memulakan cabaran ‘D-Max One Tank. One Nation Challenge’ yang melibatkan dua unit D-Max 2.2L 2026 dalam percubaan melengkapkan pusing keliling ke seluruh Semenanjung Malaysia dengan satu tangki bahan api.

    Bermula pada 17 Ogos, kedua-dua trak pikap itu bergerak selama beberapa hari melalui pelbagai negeri di Semenanjung, termasuk Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Perjalanan tersebut meliputi laluan di lebuh raya, jalan utama dan juga East-West Link Expressway yang bergunung-ganang dari Jeli ke Gerik.

    Di sepanjang jalan juga mereka sempat melakukan sepuluh hentian dalam rangka kunjungan ke lokasi pengedar Isuzu, dan dua kenderaan itu akhirnya melintasi garisan penamat di pusat Isuzu 3S di Jinjang, Kuala Lumpur pada 22 Ogos. Menurut kenyataan syarikat, jumlah jarak keseluruhan yang berjaya ditempuh dalam cabaran tersebut ialah 1,756 km, dengan D-Max yang digunakan itu masih mempunyai baki bahan api yang mencukupi (lebih daripada 4%) — dan boleh meneruskan perjalanan ke Melaka dengan mudah.

    Isuzu D-Max 2.2L pusing Semenanjung dengan hanya satu tangki diesel — liputi jarak 1,756 km dengan baki 4%

    “Cabaran ‘D-Max One Tank. One Nation Challenge’ adalah hasil daripada keinginan kami untuk mempamerkan keupayaan Isuzu D-Max dan enjin 2.2 liter terbarunya dengan cara yang belum pernah dilakukan oleh pihak lain sebelum ini. Kami juga ingin mencerminkan penggunaan sebenar dalam keadaan jalan raya yang pelbagai yang akan dihadapi oleh pemandu di Malaysia dalam pemanduan harian mereka di seluruh negara termasuk cuaca hujan, lalu lintas sesak, jalan utama yang baik, permukaan gunung-ganang dan juga lebuh raya,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia untuk kenderaan komersial ringan, Kenichi Kudo.

    “Keyakinan kami terhadap keupayaan D-Max baru ini cukup tinggi dan kami berani untuk membuktikan dan menghebahkannya secara terbuka melalui laman media sosial kami supaya semua orang dapat menyaksikan dan mengikuti perkembangannya. Kami berbangga kerana telah menerima cabaran ini, berbangga juga kerana D-Max 2.2L mencapai apa yang dihasratkan, serta berbangga kerana kami dapat membuktikannya dalam tempoh nyata di hadapan setiap rakyat Malaysia dan tanpa ragu menunjukkan bahawa D-Max kekal sebagai pilihan kenderaan paling cekap bahan api,” tambahnya.

    Isuzu D-Max 2.2L pusing Semenanjung dengan hanya satu tangki diesel — liputi jarak 1,756 km dengan baki 4%

    Dilancarkan pada Mac tahun ini, D-Max 2026 menyaksikan peralihan kepada enjin turbodiesel empat-silinder sebaris RZ4F-TC 2.2 liter, yang menggantikan unit RZ4E-TC 1.9 liter sebelumnya. Untuk cabaran ini, varian 2.2L 4×4 AT Premium dan 2.2L 4×2 Auto Plus telah digunakan, yang dipandu oleh Sing Yuin Christy yang sebelum ini telah memperoleh penyertaan dalam Malaysian Book of Records bagi jarak paling jauh pemanduan trak pikap dengan satu tangki bahan api, yang dicapai dalam perjalanan sejauh 2,000 km dari Thailand ke Malaysia.

    “Tindak balas pendikit enjin baru serta cara penyampaian kuasanya dipadankan dengan cemerlang bersama nisbah kotak gear lapan-kelajuan baru. Ini bermakna kami biasanya berada dalam gear yang betul untuk sebarang keadaan ketika di jalan raya. Memandu di sepanjang jalan utama dan lebuh raya dalam gear ketujuh dan kelapan juga membolehkan kami memecut dengan agak cekap tanpa memerlukan terlalu banyak input pendikit, yang sekali gus menjimatkan banyak bahan api,” kata Christy.

     
  • Mitsubishi Triton Single Cab AT dilancar di Malaysia — auto enam-kelajuan, sensor undur, rear diff-lock, RM108k

    Mitsubishi Triton Single Cab AT dilancar di Malaysia — auto enam-kelajuan, sensor undur, rear diff-lock, RM108k

    Mitsubishi Triton Single Cab AT kini telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia dengan harga RM107,980, atas jalan belum termasuk insuran, untuk pendaftaran persendirian di Semenanjung Malaysia. Bermakna, varian terbaru ini adalah RM3,000 lebih mahal berbanding varian Single Cab MT.

    Mitsubishi Triton Single Cab ini dilengkapi kotak gear automatik (enam-kelajuan, sama seperti manual), dan turut disertakan dengan sensor undur, rear differential-lock, pelapik ruang kargo, bampar belakang hitam dan tempat duduk balutan plastik hitam sebagai ciri standard — kecuali sensor undur, semua kelengkapan ini sudah ditawarkan juga Single Cab MT model tahun 2026.

    Mitsubishi Triton Single Cab AT dilancar di Malaysia — auto enam-kelajuan, sensor undur, rear diff-lock, RM108k

    Semua yang lain adalah sama, termasuk enjin turbodiesel 2.4 liter 184 PS/430 Nm, muatan 1,145 kg, ruang kargo 2,340 x 1,580 x 515 mm, roda besi 17-inci, tayar All-Terrain 265/65, Easy Select 4WD (2H, 4H, 4L), lampu dan pengelap cermin automatik, pemegang pintu hitam serta tiga beg udara, termasuk satu untuk bahagian lutut pemandu. Solid White adalah satu-satunya pilihan warna yang diberikan, dan jaminan standard adalah selama lima-tahun/200,000 km.

    Untuk tempoh terhad, pembeli Triton Single Cab AT akan menerima sokongan diesel sebanyak RM4,000. Ini disertai juga oleh tawaran RM15,000 bagi Mitsubishi Motors Malaysia untuk varian Athlete keluaran sebelum Jun 2025 yang dipertingkatkan; RM12,000 untuk GL MT, RM10,000 untuk Athlete Championship Edition dan Athlete; RM8,000 untuk GL AT, RM6,000 untuk Single Cab MT; dan RM5,000 untuk AT Premium Championship Edition dan AT Premium.

     
  • BYD Atto 3 Premium 2026 terima warna baru Gemilang Blue dan harga istimewa sempena Merdeka — RM125k

    BYD Atto 3 Premium 2026 terima warna baru Gemilang Blue dan harga istimewa sempena Merdeka — RM125k

    Dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan Jun lalu, BYD Atto 3 facelift kini ditawarkan dengan warna badan baru yang dipanggil Gemilang Blue. Diilhamkan oleh semangat Merdeka, warna baru ini — yang sebenarnya merupakan warna utama Iris Blue yang diberikan untuk versi Evo-nya untuk pasaran Eropah, dan dinamakan semula — tersedia secara eksklusif untuk varian RWD Premium di sini.

    Warna berkenaan bukanlah untuk keluaran terhad. Bagaimanapun, sempena sambutan Hari Kebangsaan ini, Atto 3 Premium diberikan harga Merdeka eksklusif RM124,800, iaitu RM14k lebih murah berbanding RM138,800 yang diumumkan semasa pelancaran.

    Walaupun ini menjadikan harga varian Premium lebih rendah daripada Ultra pacuan roda hadapan dalam pasaran yang dijual pada harga RM125,800, pengurangan RM14k ini sebenarnya sama dengan pakej pelancaran yang ditawarkan sebelum ini, bernilai sehingga RM14,000 juga — ini termasuk RM10,000 dalam bentuk sokongan overtrade, serta sama ada pilihan untuk pengecas AC wallbox (termasuk pemasangan) atau enam tahun servis percuma.

    Sama seperti ketika dilancarkan, Atto 3 facelift didatangkan dengan jaminan kenderaan selama enam-tahun/150,000 km serta jaminan bateri dan motor selama lapan-tahun/160,000 km.

    BYD Atto 3 Premium 2026 terima warna baru Gemilang Blue dan harga istimewa sempena Merdeka — RM125k

    Selain warna baru ini, tiada perubahan spesifikasi atau ciri yang diberikan untuk varian ini. Premium menampilkan motor belakang yang menghasilkan 313 PS (308 hp, atau 230 kW) dan 380 Nm, iaitu 109 PS dan 70 Nm lebih banyak berbanding versi Ultra pacuan roda hadapan. Angka prestasi termasuklah masa pecutan 0-100 km/j dalam 5.5 saat, dan kelajuan maksimum 180 km/j untuk varian ini.

    Bateri Blade LFP 74.88 kWh memberikan varian Premium jarak perjalanan sehingga 510 km WLTP untuk satu cas penuh, dan peralihan kepada binaan elektrik 800-volt untuk varian ini (Ultra terus menggunakan binaan 400 volt) meningkatkan kadar pengecasan DC maksimum kepada 220 kW, yang membolehkan SoC 10%-80% dicapai dalam masa 25 minit. Kadar pengecasan AC juga meningkat kepada 11 kW, membolehkan pengecasan penuh dicapai dalam masa sekitar lapan jam.

    Gemilang Blue (atau Iris Blue) menyertai pilihan empat warna sedia ada yang disediakan untuk kereta ini, iaitu Ski White, Atlantis Grey, Harbour Grey dan Cosmos Black. Dan, hanya varian Premium yang akan menikmati pilihan warna baru ini.

    BYD Atto 3 facelift Premium 2026

     
  • iCaur V25 diuji di Malaysia — V23 yang lebih besar, range-extended REEV dengan enjin, bakal tiba di sini?

    iCaur V25 diuji di Malaysia — V23 yang lebih besar, range-extended REEV dengan enjin, bakal tiba di sini?

    Vuvera Afiq berkongsi satu hantaran di paultan.org Automotive/Car Discussion Group yang menunjukkan sebuah SUV mirip iCaur V23, tetapi dengan saiz yang lebih besar. Yang dimaksudkan ialah iCaur V25, yang baru saja perkenalkan kepada umum. Ini sekali gus mencadangkan bahawa Malaysia turut dipilih sebagai pasaran untuk menguji kenderaan tersebut.

    Beberapa hari lalu, iCaur mendedahkan imej V25 pemanduan sebelah kanan (RHD), dan memaklumkan bahawa EV range extender itu — ringkasnya, V23 dengan enjin petrol — bakal menjadi model pertama jenama itu yang diperkenalkan di Australia, dan dijadualkan tiba pada awal 2027.

    Spesifikasi penuh bagaimanapun belum dikeluarkan, namun V25 kemungkinan besar akan menggunakan rangkaian kuasa REEV daripada V27 (sebuah model yang lebih besar saiznya). Jika ini betul, boleh dijangkakan penggunaan enjin 1.5 liter turbo empat-silinder dengan janaan 156 PS/220 Nm, untuk membantu memacu sama ada motor tunggal yang menghasilkan janaan 252 PS (185 kW) dan 300 Nm, atau motor berkembar pacuan semua roda yang menghantar sebanyak 455 PS (335 kW) dan 505 Nm.

    iCaur V25 diuji di Malaysia — V23 yang lebih besar, range-extended REEV dengan enjin, bakal tiba di sini?

    Autohome China melaporkan bahawa versi paling berkuasa bagi model ini akan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 5.9 saat, manakala bateri LFP 33.679 kWh akan memberikan julat jarak elektrik CLTC lebih 210 km (sekitar 170 km WLTP) dan jarak keseluruhan lebih 1,200 km.

    SUV ini mempunyai ukuran 4,636 mm panjang, 1,920 mm lebar dan 1,855 mm tinggi. Ini menjadikam V25 416 mm lebih panjang, lima milimeter lebih lebar dan 10 mm lebih tinggi berbanding V23, dengan 85 mm daripada panjang tambahan itu adalah untuk bahagian jarak roda dengan 2,820 mm.

    Berdasarkan imej rasmi yang didedahkan, terdapat perubahan perincian yang membezakannya daripada V23, termasuk lampu hadapan, yang menukar jalur lampu siang LED untuk V23 kepada bentuk bulat. Panel di belakang mempunyai penekanan dalam bentuk segi empat tepat, mungkin untuk memasang aksesori, manakala lekuk nombor plat belakang telah ditolak ke kedudukan lebih bawah, dari pintu belakang ke bampar. Imej studio bagi versi RHD juga menunjukkan tayar Goodyear Eagle F1 (V23 yang dijual di sini menggunakan tayar Chaoyang Radial RP76+).

    Terdapat juga sedikit perubahan di bahagian dalam berbanding V23. Boleh dilihat suis besar, skrin sentuh infotainmen 15.4-inci, paparan instrumen sebenar, suis fizikal yang lebih banyak serta konsol tengah baru dengan pemegang telefon berkembar dan pengecas tanpa wayar Qi.

    Saiz V25 yang lebih besar juga telah memberikan kelebihan dari segi ruang dalaman, dengan bahagian belakangnya kelihatan lebih besar untuk memuatkan tiga orang dengan selesa. Sebaliknya, tempat duduk belakang V23 kelihatan seperti direka bentuk untuk dua orang sahaja, dengan tali pinggang keledar tengah seperti tidak dipertimbangkan dari awal.

    Memandangkan iCaur V25 telah disahkan untuk pasaran RHD, dan Malaysia merupakan salah pasaran yang menjadi tapak ujiannya serta satu daripada lokasi pemasangan model RHD untuk Chery Group, V25 hanya menunggu masa untuk diumumkan secara rasmi di sini; mungkin selepas V27 yang dijangka diperkenalkan hujung tahun ini.

    Gambar rasmi iCaur V25

     
  • Malaysia Marathon 2026 pada 30 Ogos – beberapa jalan utama di pusat bandar KL ditutup mulai Jumaat malam

    Ahad ini, 30 Ogos 2026, akan berlangsungnya satu acara larian berskala besar di pusat bandar Kuala Lumpur (KL). Kebiasaannya, acara larian di KL bermula dan berakhir di Dataran Merdeka, namun untuk Malaysia Marathon 2026, ia akan bermula di Pavilion Kuala Lumpur, manakala garisan penamat terletak di KLCC.

    Acara yang mempunyai peruntukan besar ini menawarkan kategori Full Marathon (FM), Half Marathon (HM), larian 10KM dan larian santai 5KM. Waktu pelepasan adalah pada 12.30 tengah malam, 30 Ogos bagi maraton penuh, 2.00 pagi bagi separuh maraton, 3.30 pagi bagi larian 10KM dan 7.30 pagi bagi larian santai 5KM.

    Semua kategori bermula di Pavilion dan berakhir di KLCC, kecuali larian santai 5KM yang hanya melibatkan laluan di sekitar kawasan KLCC.

    Laluan larian merangkumi beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur iaitu Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun H.S. Lee, Jalan Gereja (Muzium Telekom), Lebuh Pasar Besar, Jalan Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, AKLEH, SUKE, AKLEH, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Kia Peng, Jalan Stonor, Jalan Conlay dan Persiaran KLCC.

    Penutupan jalan juga telah pun bermula di beberapa lokasi bagi tujuan logistik. Ia melibatkan Jalan Ampang (bahagian Avenue K), satu lorong akan ditutup dari persimpangan Jalan Ampang/Yap Kwan Seng hingga Jalan Ampang/Mayang sehingga tengah malam Khamis. Penutupan penuh bagi jajaran Jalan Ampang tersebut pula akan dilaksanakan mulai tengah malam Jumaat hingga 5 petang Ahad.

    Turut terlibat ialah Jalan Ampang, di mana ia akan ditutup sepenuhnya mulai tengah malam Jumaat hingga 1 petang Ahad, bermula dari persimpangan Jalan P. Ramlee hingga persimpangan Jalan Sultan Ismail. Jalan P. Ramlee pula akan ditutup sepenuhnya dari tengah malam Jumaat hingga 10 pagi Ahad.

    Sementara itu, di Jalan Bukit Bintang (di hadapan Pavilion), dua lorong akan ditutup bagi tujuan logistik mulai tengah malam Jumaat hingga 5 petang Sabtu. Jajaran yang terlibat adalah dari persimpangan Jalan Raja Chulan hingga lintasan pejalan kaki Lot 10. Jajaran yang sama kemudiannya akan ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas mulai tengah malam Sabtu hingga 8 pagi Ahad.

    Bagi yang menyertainya, sila ambil perhatian bagi terhadap waktu pelepasan yang agak luar biasa serta lokasi permulaan dan penamat yang berbeza. Pengambilan pek perlumbaan akan berlangsung pada 28 hingga 29 Ogos di Premiera Hotel, Kuala Lumpur, dan dibuka dari 12 tengah hari hingga 9 malam pada kedua-dua hari tersebut. Walaupun sesi latihan mungkin terganggu akibat jerebu, diharapkan keadaan tetap mengizinkan untuk mendapatkan pengalaman larian yang baik.

    Untuk orang ramai pula, penutupan jalan kali ini agak meluas. Jadi, sekiranya anda perlu ke pusat bandar Kuala Lumpur pada hujung minggu ini, pertimbangkan untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan dan gangguan trafik. Rapid KL juga telah mengumumkan akan beroperasi selama 24 jam pada 30 hingga 31 Ogos ini (bermula 12 tengah malam pada 30 Ogos). Bagi yang menyertai 21KM, 10KM dan 5KM, sempat rasanya kalau anda gunakan pengangkutan awam. Sila semak ARTIKEL INI UNTUK MAKLUMAT LANJUT.

     
  • Nissan Fairlady Z facelift 2026 dilancar di Jepun – bampar baru, lencana logo Z, kelengkapan dinaik taraf

    Nissan Fairlady Z facelift 2026 dilancar di Jepun – bampar baru, lencana logo Z, kelengkapan dinaik taraf

    Selepas muncul kali pertama di Amerika Syarikat Mac lalu, Nissan kini melancarkan Fairlady Z versi facelift bersama varian prestasi tinggi Nismo di Jepun. Model yang hanya dikenali sebagai Z di pasaran Amerika itu turut dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) pada Ogos lalu, dan kini menerima beberapa kemas kini untuk pasaran domestik Nissan.

    Bagi perubahan luaran, Nissan mengambil inspirasi daripada beberapa Fairlady Z generasi terdahulu untuk menghasilkan wajah baru ini, khususnya selepas reka bentuk asal yang diperkenalkan lebih empat tahun lalu menerima reaksi berbelah bahagi. Perubahan paling ketara ialah bampar hadapan yang kini tidak lagi menggunakan gril segi empat besar dengan sisipan berbentuk bujur seperti model sebelum ini.

    Sebaliknya, bahagian penjuru bawah muncung hadapan kini dilebarkan ke luar untuk menghasilkan bentuk lebih trapezoid, manakala elemen hitam merentasi jeriji yang berbentuk segi empat. Menurut Nissan, rekaan tersebut bukan sahaja menyerlahkan perkadaran klasik Z dengan hud panjang dan bahagian belakang pendek, tetapi pada masa sama memberikan kedudukan yang kelihatan lebih rendah serta lebar.

    Bersama bampar baru itu, Fairlady Z turut menerima beberapa sentuhan yang mengimbau generasi terdahulu, termasuk penggunaan semula lambang Z pada bahagian hadapan menggantikan logo Nissan. Lambang ikonik tersebut pernah digunakan pada model-model terdahulu bermula daripada S30 yang diperkenalkan pada 1969 sehingga Z32 pada 1989, dan kini kembali digunakan pada model terkini termasuk varian Nismo yang secara keseluruhannya masih mengekalkan penampilan sedia ada.

    Nissan Fairlady Z facelift 2026 dilancar di Jepun – bampar baru, lencana logo Z, kelengkapan dinaik taraf

    Varian standard pula mendapat rim aloi ringan dengan reka bentuk aero-disc yang diperbuat daripada aluminium forged, dengan corak geometri di sekeliling rim sebagai penghormatan kepada Z31. Nissan turut memperluaskan pilihan warna dengan kemasan dua tona Unryu Green/Super Black yang diinspirasikan daripada Grand Prix Green, iaitu warna ikonik S30 yang masih mempunyai ramai peminat dalam kalangan peminat Z sehingga kini.

    Selain kombinasi tersebut, pelanggan boleh memilih empat lagi kemasan dua tona dan lima warna satu tona, menjadikan keseluruhan 10 pilihan warna tersedia. Untuk kabin, skema warna coklat klasik daripada S30 kini ditawarkan sebagai pilihan bagi pelanggan yang mahukan suasana dalaman lebih kemas dan sofistikated. Panel instrumen digital 12.3 inci juga menerima animasi permulaan baru yang memaparkan bayang setiap generasi Z daripada S30 sehingga model RZ34 semasa.

    Dari segi dinamik pemanduan, sistem suspensi Fairlady Z kini menggunakan penyerap hentak monotube berdiameter lebih besar yang direka untuk bertindak balas dengan pantas terhadap perubahan permukaan jalan. Nissan mendakwa kawasan penerima tekanan pada penyerap hentak meningkat sebanyak 26.6%, sekaligus membantu mengawal perubahan posisi badan kereta dengan lebih berkesan.

    Bagi varian Nismo dengan transmisi manual enam kelajuan, model ini menerima penukar gear dengan jarak gerak lebih pendek (shortshift), selain tindak balas pendikit dan pemasaan pencucuhan (ignition timing) yang dioptimumkan. Mod pemanduan Standard dan Sport masih tersedia, manakala sistem Vehicle Dynamics Control turut mendapat mod Traction eksklusif Nismo untuk membantu meningkatkan kawalan ketika pemanduan lebih agresif.

    Nissan Fairlady Z facelift 2026 dilancar di Jepun – bampar baru, lencana logo Z, kelengkapan dinaik taraf

    Fairlady Z Nismo turut dilengkapi cakera brek hadapan two-piece berliang, sama seperti yang digunakan pada Nissan GT-R. Sistem tersebut menawarkan pelepasan haba yang lebih baik serta membantu mengurangkan unsprung mass. Ia masih dipadankan dengan angkup brek berwarna merah, selain menerima talaan suspensi semula dan steering rack geseran rendah bagi memberikan tindak balas lebih tepat ketika dipandu di litar.

    Pelanggan yang memilih versi Nismo boleh mendapatkan lima pilihan warna badan, termasuk kemasan dua tona Nismo Stealth Grey/Super Black yang eksklusif untuk varian tersebut. Kesemua model Nismo pula hadir dengan ruang kabin yang menggunakan kemasan tempat duduk kulit dan Alcantara, selaras dengan karakter prestasi yang dibawanya.

    Dari segi kelengkapan, pengecas tanpa wayar Qi2 kini ditambah, lengkap dengan magnet binaan dalam dan kipas penyejuk bersepadu bagi memastikan telefon kekal pada kedudukannya ketika dicas. Nissan turut memperkenalkan tangki bahan api dengan ruang dalam baru untuk memastikan bekalan bahan api lebih stabil ketika mengambil selekoh dengan lateral-G tinggi. Sistem brek kecemasan autonomous juga kini mampu mengesan penunggang basikal.

    Pada bahagian enjin, Fairlady Z facelift masih menggunakan unit VR30DDTT yang sama seperti sebelum ini. Varian standard menggunakan enjin petrol V6 3.0 liter twin-turbo yang menghasilkan 405 PS (400 hp atau 298 kW) pada 6,400 rpm dan tork maksimum 475 Nm dari 1,600 hingga 5,600 rpm. Sementara itu, enjin bagi Nismo menerima talaan lebih tinggi dengan output 420 PS (414 hp atau 309 kW) pada 6,400 rpm dan 520 Nm dari 2,000 hingga 5,200 rpm.

    Kedua-dua pilihan enjin boleh dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik sembilan kelajuan 9M-ATx, dengan kuasa disalurkan secara eksklusif ke roda belakang. Untuk harga, Fairlady Z dengan kedua-dua pilihan transmisi ditawarkan dalam tiga gred utama, bermula 5,737,600 yen atau sekitar RM145,000, diikuti Version ST pada 6,999,300 yen (RM177,000) dan Nismo pada 9,752,600 yen (RM246,000).

    Setiap jenis transmisi turut mempunyai satu gred khusus. Versi S yang hanya ditawarkan bersama transmisi manual enam kelajuan berharga 6,586,800 yen, bersamaan kira-kira RM166,000. Bagi pilihan automatik sembilan kelajuan pula, gred khususnya ialah Version T dengan harga 6,199,600 yen atau sekitar RM157,000.

     
  • Perodua: Model ICE baru bakal masuk produksi Q2 2027; Myvi D01D atau Bezza FL dahulu tiba tahun depan?

    Perodua: Model ICE baru bakal masuk produksi Q2 2027; Myvi D01D atau Bezza FL dahulu tiba tahun depan?

    Pembekal automotif Tahap-1 tempatan, MCE Holdings telah mengumumkan bahawa syarikat itu telah memperoleh kontrak bekalan bernilai RM54.28 juta dengan Perodua, sah selama 40 bulan atau tiga tahun.

    Syarikat itu memaklumkan ia akan menyediakan pelbagai komponen elektronik dan mekatronik automotif — seperti paparan audio, kamera undur dan komponen berkaitan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) — untuk model enjin pembakaran dalaman (ICE).

    Pengeluaran dijadualkan bermula melalui anak syarikat Multi-Code Electronics Industries pada suku keempat tahun kewangan yang berakhir pada 31 Julai 2027, yang bermaksud suku kedua tahun kalendar akan datang. Komponen tersebut akan dibina di Hab Auto MCE bernilai RM4.95 juta yang baru dilancarkan oleh kumpulan itu di Serendah, Selangor.

    Perodua: Model ICE baru bakal masuk produksi Q2 2027; Myvi D01D atau Bezza FL dahulu tiba tahun depan?

    Projek tersebut menandakan kali pertama firma itu membekalkan paparan audio kenderaan dan komponen berkaitan ADAS untuk kenderaan ICE, selepas kontraknya untuk menyediakan komponen sedemikian bagi QV-E EV terdahulu. Ini meluaskan lagi “portfolio komponen dan sistem bernilai lebih tinggi,” jelasnya dalam satu kenyataan.

    “Hubungan kami yang telah lama terjalin dengan Perodua telah memberikan peluang kepada kami untuk berkembang bersama syarikat itu, serta membolehkan MCE untuk secara progresif mengendalikan produk yang lebih canggih, membina keupayaan reka bentuk dan pembuatan yang sekali gus membolehkan kami untuk meningkatkan rantaian nilai automotif syarikat yang sedia ada,” jelas Pengarah Urusan Kumpulan, Goh Kar Chun.

    Kontrak bekalan bukanlah sesuatu yang baru, dan bukan juga kali pertama untuk pembekal memecahkan berita berkaitan produk akan datang oleh pengeluar kenderaan nasional. Ini sekali gus seperti mengesahkan bahawa tidak akan ada model baru yang akan diperkenalkan oleh Perodua tahun ini — selepas memperkenalkan dua model serba baru tahun lalu, QV-E dan juga Traz.

    Perodua: Model ICE baru bakal masuk produksi Q2 2027; Myvi D01D atau Bezza FL dahulu tiba tahun depan?

    Mengenai model yang akan datang ini, ada dua kemungkinan: Myvi dan Bezza semasa ketika ini masing-masing sudah berusia lapan dan sepuluh tahun, dan khabar angin tentang generasi seterusnya bagi kedua-dua model itu telah bertiup sejak sekian lama. Daripada kedua-dua model tersebut, Myvi lebih memerlukan pembaharuan segera (generasi keempat, dengan kod nama D01D), memandangkan Bezza masih lagi laku keras dalam pasaran dalam penawaran sedia ada.

    Satu teaser untuk model baru ini telah ditunjukkan di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS), yang memberikan beberapa petunjuk reka bentuk yang diilhamkan oleh QV-E. Jika garis masa yang dinyatakan ini benar, makan Proton akan mempunyai banyak masa untuk mengembangkan peratusan perkongsian pasaran mereka sementara Perodua mempersiap model terbaru ini.

    Bezza generasi seterusnya pula dijangka tidak akan tiba sebelum tahun 2030, dan sebaran kemaskini besar-besaran pasti akan dapat memuaskan hati pembeli sementara model generasi barunya diperkenalkan. Jika inilah model yang akan diperkenalkan dahulu, maka kemungkinannya Bezza akan diberikan naik taraf major seperti enam-beg udara. Melihat kepada tempoh kontrak dan masa yang singkat itu, masuk akal juga kontrak yang dimaksudkan ini adalah untuk Bezza yang dinaik taraf.

    Dengan pembekal sistem infotainmen dan ADAS tempatan bermula dengan QV-E, ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa Perodua sedang mengendalikan kawalan yang lebih luas ke atas sistem tersebut.

    Pada masa ini, model ICE Perodua menggunakan ciri bantuan pemandu daripada Daihatsu, manakala sistem dalam QV-E dibangunkan sendiri, seperti kebanyakan kereta. Memandangkan Perodua semakin berpengalaman dalam membangunkan model tempatannya sendiri, maka komponen yang dibekalkan oleh Daihatsu selepas ini mungkin hanya enjin dan kotak gear — komponen lain dihasilkan sendiri oleh Perodua.

    Model baru itu juga hampir pasti akan terus menggunakan rangkaian enjin empat-silinder NR dari Toyota/Daihatsu, yang ditawarkan dalam dua varian, 1.3 liter 1NR-VE (95 PS) dan 1.5 liter 2NR-VE (103 PS) dan digandingkan dengan CVT Dwi-Mod (D-CVT).

    Perodua juga mempunyai aspirasi untuk membawa rangkaian kuasa hibrid ke pasaran, dan model baru ini boleh menjadi batu loncatan yang tepat. Ia boleh menggunakan sama ada Daihatsu e-Smart Hybrid — yang menggunakan motor elektrik untuk pemacu dengan enjin pembakaran bertindah hanya generator kuasa — atau sistem Toyota yang digunakan untuk Vios dan Yaris Cross hibrid di sini. Bagaimanapun, model Ativa Hybrid yang akan menjadi model hibrid pertama untuk Perodua, sebelum teknologi sama mungkin diperturunkan kepada model-model lain pada masa hadapan.

     
  • BMW 218 Gran Coupe M Sport di Malaysia – 50 unit lagi ditambah, kelengkapan dan harga sama, dari RM193k

    BMW 218 Gran Coupe M Sport di Malaysia – 50 unit lagi ditambah, kelengkapan dan harga sama, dari RM193k

    Susulan permintaan pelanggan yang tinggi, BMW Malaysia kini menawarkan tambahan 50 unit BMW 218 Gran Coupe M Sport untuk pasaran tempatan. Pengumuman itu dibuat hari ini, lebih sebulan selepas varian baru bagi 2 Series Gran Coupe generasi kedua (F74) tersebut diperkenalkan semasa acara BMW Clubhouse Julai lalu.

    Dengan tambahan 50 unit, kepada kumpulan pertama sebanyak 50 unit ini, jumlah keseluruhan 218 Gran Coupe M Sport yang ditawarkan di Malaysia kini meningkat kepada 100 unit. Harga kekal RM192,800 dengan waranti standard dua tahun, atau RM204,800 apabila dipilih dengan program BMW Service & Repair Inclusive (BSRI), yang merangkumi waranti lanjutan empat tahun serta pakej servis. Kedua-dua harga adalah atas jalan tanpa insurans.

    Pada harga tersebut, versi M Sport kekal RM19,000 lebih mahal berbanding 218 Gran Coupe Sport, iaitu varian pertama F74 yang diperkenalkan di Malaysia. Buat masa ini, varian Sport ditawarkan pada harga promosi RM173,800 dengan waranti dua tahun, atau RM185,800 termasuk pakej BSRI selama empat tahun.

    BMW 218 Gran Coupe M Sport di Malaysia – 50 unit lagi ditambah, kelengkapan dan harga sama, dari RM193k

    Namun, tanpa tawaran harga terhad berkenaan, 218 Gran Coupe Sport sebenarnya dijual pada harga RM219,800 dengan waranti dua tahun atau RM241,500 dengan pakej BSRI empat tahun. Ini bermakna harga asal Sport boleh menjadi sehingga RM36,700 lebih mahal berbanding M Sport sekiranya pakej BSRI dipilih, manakala perbezaannya ialah RM27,000 tanpa BSRI.

    Dari segi kelengkapan, M Sport tampil dengan reka bentuk bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif berbanding Sport. Bahagian hadapan turut diperkemaskan dengan gril kidney Iconic Glow sebagai kelengkapan standard.

    Kemasan luaran lain termasuk pakej M High-Gloss Shadowline dengan elemen hitam, menggantikan kemasan aluminium satin pada Sport, selain rim aloi dua tona 18 inci Y-spoke Style 975 M berbanding Y-spoke Style 974 pada Sport.

    BMW 218 Gran Coupe M Sport di Malaysia – 50 unit lagi ditambah, kelengkapan dan harga sama, dari RM193k

    Dalam kabin, 218 Gran Coupe M Sport menerima beberapa kelengkapan tambahan yang tidak ditawarkan pada Sport. Antaranya ialah stereng kulit M, sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara, head-up display serta kemasan siling berwarna Anthracite. Semua ciri ini melengkapkan suasana dalaman yang lebih sporty dan premium untuk varian M Sport.

    Kedua-dua varian bagaimanapun berkongsi kelengkapan seperti kemasan tempat duduk Veganza berliang, tempat duduk sport, kawalan pendingin hawa dua zon dan tempat duduk hadapan berkuasa dengan fungsi memori untuk pemandu.

    Turut disertakan ialah lampu suasana, tempat pengecasan tanpa wayar, Connected Package Professional dengan Android Auto dan Apple CarPlay, lampu utama LED adaptif serta Live Cockpit Professional yang terdiri daripada paparan pemandu 10.25 inci dan skrin infotainmen 10.7 inci.

    Untuk sistem bantuan pemanduan, M Sport mendapat Driving Assistant Plus dan Parking Assistant Plus yang lebih lengkap, berbanding versi tanpa Plus pada Sport. Antara ciri tambahan yang disediakan melalui kedua-dua pakej tersebut termasuk kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti dan gerak, bantuan stereng serta kawalan lorong, kamera pandangan keliling, Remote 3D View, Park Assist Professional dan BMW Drive Recorder.

    Dari segi mekanikal, kedua-dua M Sport dan Sport menggunakan enjin petrol tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo yang menghasilkan 156 PS (154 hp atau 115 kW) dan tork maksimum 230 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik klac berkembar Steptronic tujuh kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 8.6 saat serta kelajuan maksimum 230 km/j.

    Bagaimanapun, M Sport menawarkan satu lagi kelebihan berbanding Sport menerusi sistem suspensi Adaptive M yang didatangkan sebagai kelengkapan standard. Dengan tambahan unit terbaru ini, pelanggan Malaysia kini mempunyai peluang lebih besar untuk mendapatkan 218 Gran Coupe M Sport, khususnya selepas BMW Malaysia sebelum ini hanya memperuntukkan 50 unit untuk pasaran tempatan.

    BMW 218 Gran Coupé M Sport 2026

     
  • Pengeluar yang melabur lebih banyak untuk lokalisasi, R&D akan nikmati insentif lebih baik di bawah NCM

    Pengeluar yang melabur lebih banyak untuk lokalisasi, R&D akan nikmati insentif lebih baik di bawah NCM

    Kerajaan menjelaskan bahawa Mekanisme Insentif Penyesuaian Baru (NCM) yang akan datang bakal menjadikan lokalisasi sebagai pertimbangan utama dalam menentukan insentif yang akan dinikmati untuk sesebuah syarikat pengeluar automotif di Malaysia. Pendekatan ini adalah untuk menggalakkan kerja-kerja lokalisasi, dan mekanisme berkenaan akan memberi ganjaran kepada pengeluar kenderaan yang membangunkan model kenderaan mereka di negara ini dengan insentif cukai yang lebih besar, jelas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin.

    “Jika melakukan lebih banyak kerja-kerja lokalisasi, anda akan menikmati lebih banyak pengecualian cukai. Jika menjalankan kerja-kerja pembangunan bakat, R&D, atau perkara seperti itu, maka anda akan mendapat lebih banyak pengurangan cukai,” katanya di luar Ekspo Automotif dan Teknologi Global (GATE) 2026 semalam.

    Beliau berkata insentif itu boleh merangkumi dalam bentuk pengurangan duti eksais, dengan syarikat yang menyumbang lebih banyak kepada ekosistem automotif Malaysia berpotensi menerima faedah yang lebih besar, lapor The Star. “Lebih banyak mereka lakukan di sini, meka lebih baiklah mereka,” katanya.

    Pengeluar yang melabur lebih banyak untuk lokalisasi, R&D akan nikmati insentif lebih baik di bawah NCM

    Beliau juga berkata, kerajaan mahu pengeluar kenderaan menjalankan lokalisasi komponen, terutamanya komponen yang kritikal, sambil melabur dalam penyelidikan dan pembangunan serta membangunkan bakat tempatan. “Kami mahukan lokalisasi sebenar. Objektifnya adalah untuk memastikan berlangsungnya lokalisasi sebenar,” katanya, mengulangi apa yang dikatakan oleh menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bulan lalu.

    Sim menjelaskan, NCM akan meliputi insentif untuk kedua-dua kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan juga kenderaan elektrik (EV) apabila ia diperkenalkan nanti. Beliau menambah, bahawa mekanisme yang dirombak itu akan dipermudahkan untuk menjadikannya kurang kompleks bagi perniagaan, sambil mengekalkan tumpuannya terhadap lokalisasi.

    Beliau berkata pendekatan itu bertujuan untuk menggalakkan pengeluar kereta membina kehadiran yang lebih berkesan dan mendalam di Malaysia berbanding terlalu bergantung pada import, sambil membantu mengukuhkan rantaian bekalan automotif negara. Beliau juga menambah bahawa insentif yang lebih besar terhadap tahap lokalisasi yang lebih tinggi akhirnya boleh diterjemahkan kepada kenderaan yang lebih murah untuk pengguna Malaysia.

    Perincian mekanisme yang disemak semula itu masih diperhalusi dan masih belum dimuktamadkan, namun Sim menjelaskan bahawa pihak kementerian akan mengadakan sesi libat-urus bersama pemain industri sebelum pelaksanaannya. “Dasar yang baik memerlukan sedikit masa, dan kami tentunya akan mula berinteraksi dengan industri,” katanya.

    Pelaksanaan NCM yang telah diusahakan sejak sekian lama, dijadualkan mula dilaksanakan tahun depan, seperti yang ditegaskan semula oleh Sim. “Mulai tahun depan dan seterusnya, mekanisme penyesuaian baru akan diperkenalkan,” katanya.

     
  • Seri Kembangan bakal dapat tiga jalan baharu – Bukit Serdang, Tmn Universiti Indah, Tmn Puncak Jalil

    Seri Kembangan bakal dapat tiga jalan baharu – Bukit Serdang, Tmn Universiti Indah, Tmn Puncak Jalil

    Berita baik untuk mereka yang menetap di Seri Kembangan dan kawasan sekitarnya. Kawasan kejiranan berkenaan bakal menerima beberapa jalan baharu bagi meningkatkan hubungan antara lokasi serta mengurangkan kesesakan trafik dengan mengagihkan aliran kenderaan ke laluan alternatif.

    Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, berkata jalan-jalan yang dicadangkan itu melibatkan laluan dari Taman Universiti Indah ke Taman Bukit Serdang, sambungan Jalan Cemara ke Jalan Inovasi 8 (dalam kawasan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation) serta jalan yang menghubungkan Bukit Serdang Seksyen 11 dengan Taman Puncak Jalil.

    Bagi laluan pertama, kajian kebolehlaksanaan kini sedang dijalankan dan dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi. Sementara itu, kajian serta perancangan bagi laluan kedua, yang merupakan kerjasama antara Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sedang dilaksanakan.

    Bagi jalan ketiga pula, laluan tersebut akan merentasi Lebuhraya MEX, manakala kajian dan perancangan berkaitan struktur jalan berkenaan masih dijalankan. Izham mendedahkan perkara itu ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada awal bulan ini, laporan The Star.

    Beliau turut berkata bahawa kerajaan negeri telah meluluskan Pelan Strategik Pembangunan Jalan dan Lebuhraya Selangor 2035. “Pelan ini akan menjadi rujukan utama negeri dalam mengenal pasti jalan-jalan yang perlu dinaik taraf dan diperluaskan, serta pautan jalan yang masih terputus dan perlu dibina,” katanya.

     
  • Jetour T2 facelift didedah – rekaan lebih kemas, 2.0T dapat transmisi 8AT, PHEV kini berkuasa 782 PS

    Jetour T2 facelift didedah – rekaan lebih kemas, 2.0T dapat transmisi 8AT, PHEV kini berkuasa 782 PS

    Selepas beberapa imej dan maklumat awal bocor sebelum ini, Jetour akhirnya memperkenalkan T2 versi facelift semasa Pameran Motor Chengdu yang sedang berlangsung sekarang. Tempahan bagi SUV itu kini dibuka, dengan model kemas kini ini sekali lagi ditawarkan dalam pilihan enjin petrol serta plug-in hybrid Intelligent Dual Mode (i-DM), yang dikenali sebagai Chery Dual Mode atau C-DM di China.

    Jetour T2 dikenali sebagai Traveller di pasaran China, manakala versi terbaru ini akan menggunakan nama Traveller 7. Walaupun terdapat angka 7 pada namanya, model ini masih merupakan versi lima tempat duduk biasa dan bukannya model tujuh tempat duduk yang lebih panjang, iaitu Traveller Plus. Angka tersebut dipercayai digunakan untuk membezakannya daripada model baru lebih premium, Traveller 8, yang turut membuat kemunculan di Chengdu.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, perubahan paling ketara pada T2 facelift terletak pada bahagian hadapan yang kini kelihatan lebih kemas. Lampu utama berbentuk bulat menggantikan unit empat segi pada model lama, menjadikan penampilannya semakin menyerupai Land Rover Defender. Kedua-dua lampu ini disambungkan oleh jalur cahaya yang merentasi gril, manakala tulisan Jetour kini diletakkan lebih tinggi pada hud.

    Jetour T2 facelift didedah – rekaan lebih kemas, 2.0T dapat transmisi 8AT, PHEV kini berkuasa 782 PS

    Bampar hadapan juga menerima perubahan besar apabila bentuk sebelum ini yang menonjol jauh keluar dan menggunakan plastik hitam kini dibuat lebih sekata dengan badan serta dicat mengikut warna badan. Ia turut menampilkan salur udara yang lebih besar, sementara lampu kecil gaya lasak dan cangkuk tunda palsu pada model lama telah dibuang.

    Bahagian belakang masih mengekalkan ciri paling dikenali T2, iaitu lampu belakang menegak dengan empat titik, tetapi kini hadir bersama spoiler baru, kemasan tiang-D yang lebih kemas tanpa corak garisan serta bampar yang direka semula. Kemasan pemegang pada hud, lengkuk roda dan bampar belakang juga kini menggunakan warna badan. Bampar belakang pula hadir dengan reka bentuk lebih ringkas serta lampu tambahan baru.

    Tema lebih kemas itu diteruskan ke ruang kabin. Walaupun seni bina asas papan pemuka masih dikekalkan, hampir setiap bahagian sebenarnya menerima sentuhan baru dengan kebanyakan elemen berimej garang pada T2 sedia ada diubah. Papan pemuka kini lebih bersih, dengan corong pendingin hawa menegak berkembar yang lebih bersepadu pada kedua-dua hujung, selain kemasan krom yang menambahkan sentuhan premium.

    Jetour T2 facelift didedah – rekaan lebih kemas, 2.0T dapat transmisi 8AT, PHEV kini berkuasa 782 PS

    Konsol tengah juga diberikan reka bentuk lebih teratur, namun T2 masih mengekalkan banyak suis fizikal termasuk kawalan pendingin hawa dan tombol pemilih untuk tujuh mod pemanduan. Turut dikekalkan ialah butang X-Mode bagi sistem pacuan semua roda XWD serta dua ruang meletak telefon pintar dengan pengecas tanpa wayar Qi.

    Antara kelengkapan baru yang ditawarkan ialah tempat duduk Comfort dengan pelarasan kuasa 10-hala, binaan 12 lapisan dan fungsi urutan lapan titik. Sistem audio 23 pembesar suara serta lampu suasana dengan 256 pilihan warna turut ditambah.

    Kemasan upholsteri berjahit corak berlian memberikan suasana lebih mewah, manakala pemegang tangan besar yang banyak masih dikekalkan untuk mengekalkan imej lasak. Melengkapkan perubahan di bahagian dalam adalah stereng baru daripada model G700.

    Jetour T2 facelift didedah – rekaan lebih kemas, 2.0T dapat transmisi 8AT, PHEV kini berkuasa 782 PS

    Untuk pasaran China, T2 facelift hanya akan ditawarkan dengan enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter pada peringkat awal, sekaligus menggugurkan pilihan asas 1.5 liter. Kuasa sebenar belum didedahkan, namun ia dijangka masih 254 PS dan 390 Nm seperti model pasaran China sebelum ini. Lebih menarik, transmisi klac berkembar tujuh kelajuan kini digantikan dengan unit automatik lapan kelajuan yang sebelum ini hanya tersedia pada varian paling tinggi.

    Versi plug-in hybrid pula menerima peningkatan besar – masih menggunakan enjin 1.5 liter turbo empat silinder, tetapi kini dipadankan dengan dua motor elektrik yang lebih berkuasa. Gabungan sistem tersebut menghasilkan jumlah kuasa 782 PS dan 835 Nm.

    Jetour mendakwa jarak pemanduan menggunakan kuasa elektrik meningkat kepada 245 km berdasarkan kitaran CLTC, berbanding 212 km sebelum ini, manakala jarak keseluruhan dengan satu tangki bahan api dan cas penuh mencecah sehingga 1,400 km.

    Jetour T2 facelift didedah – rekaan lebih kemas, 2.0T dapat transmisi 8AT, PHEV kini berkuasa 782 PS

    Dari segi keselamatan dan bantuan pemanduan, semua varian T2 kini dilengkapi fungsi pemanduan autonomous bandar dan lebuh raya. Walaubagaimanapun, sistem yang digunakan berbeza mengikut rangkaian kuasa. Model petrol menggunakan teknologi Falcon 500 milik Chery, manakala varian PHEV mendapat sistem Qiankun ADS5 daripada Huawei untuk fungsi bantuan pemanduan yang lebih canggih.

    Kesemua penambahbaikan ini hadir ketika Jetour T2 mencatat jualan global terkumpul melebihi 550,000 unit. Model tersebut turut menyumbang kepada jumlah jualan keseluruhan Jetour di seluruh dunia yang kini mencecah 2.45 juta unit. Buat masa ini, maklumat mengenai harga dan pasaran eksport T2 facelift masih belum diumumkan, termasuk sama ada versi baru ini akan ditawarkan di Malaysia.

     
  • Honda City facelift dibuka untuk tempahan di Malaysia – sedan dahulu, skrin sesentuh 10 inci, BLIS, rebat RM3k

    Honda City facelift dibuka untuk tempahan di Malaysia – sedan dahulu, skrin sesentuh 10 inci, BLIS, rebat RM3k

    Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa Honda City versi facelift dibuka untuk tempahan di pasaran tempatan. Ini merupakan kemas kini kedua untuk City generasi keempat, yang sudah berusia enam tahun sejak diperkenalkan. Perubahan kali ini hadir dengan reka bentuk luaran yang lebih ketara bagi memastikan model sedan ini kekal relevan, terutama dengan persaingan daripada jenama China yang semakin sengit.

    Perubahan paling jelas dapat dilihat pada bahagian hadapan yang kini tampil lebih tajam, dengan lampu utama LED lebih nipis serta lampu nyalaan siang (DRL) yang lebih menonjol. Bagi varian lebih tinggi, kedua-dua elemen ini disambungkan oleh jalur lampu merentasi gril hadapan yang turut direka semula dengan bentuk lebih kecil.

    Elemen ‘unibrow’ yang sebelum ini hadir dalam kemasan krom atau hitam berkilat pula kini menggunakan warna badan untuk penampilan lebih kemas. Bahagian ini turut menempatkan logo Honda, yang masih menggunakan rekaan lencana berbentuk segi empat seperti sebelum ini dan bukannya logo ‘H’ baru. Bampar hadapan turut direka semula dengan salur udara tengah berbentuk menurun bagi kebanyakan varian, manakala RS mendapat reka bentuk salur udara yang menghala ke atas.

    Honda City facelift dibuka untuk tempahan di Malaysia – sedan dahulu, skrin sesentuh 10 inci, BLIS, rebat RM3k

    Di bahagian belakang, rekaan baru ini masih membuatkan ia mudah dikenali sebagai City generasi GN, khususnya menerusi lampu belakang berbentuk trapezium yang mengapit ruang nombor pendaftaran pada penutup but. Bampar belakang juga menerima reka bentuk baru yang sepadan dengan bahagian hadapan, termasuk kemasan tengah seakan gril, elemen seperti diffuser, dua kemasan berbentuk ‘taring’ serta pemantul cahaya menegak.

    Untuk varian RS, Honda memberikan kemasan hitam pada perumah cermin sisi dan pemegang pintu, sama seperti Civic RS. Ia turut menerima rim 16 inci baru dengan reka bentuk seakan turbin dalam warna Berlina Black. Berbeza dengan model di Thailand dan India yang menggunakan lampu belakang jernih bagi varian lebih tinggi, City untuk pasaran Malaysia masih mengekalkan lampu belakang berwarna merah untuk semua varian.

    Walaupun bahagian luaran diberikan perubahan besar, kabin City facelift ini secara asasnya masih mengekalkan susun atur sedia ada. Namun, beberapa peningkatan turut diberikan termasuk jalur lampu pada papan pemuka serta skrin sesentuh untuk sistem infotainmen baru bersaiz 10 inci (sebelum ini lapan inci). Sistem kamera 360 darjah yang diperkenalkan pada City awal tahun ini juga dikemas kini dengan paparan interface pelbagai sudut.

    Honda City facelift dibuka untuk tempahan di Malaysia – sedan dahulu, skrin sesentuh 10 inci, BLIS, rebat RM3k

    Dari segi keselamatan, City pasaran Malaysia kekal dilengkapi sistem bantuan pemanduan Honda Sensing sebagai kelengkapan standard. Ia merangkumi brek kecemasan autonomous, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti dan gerak khusus untuk e:HEV RS, bantuan pemusatan lorong, mitigasi keluar jalan, amaran kenderaan di hadapan serta lampu tinggi automatik. Turut ditambah ialah pemantauan titik buta bersama amaran lintasan trafik belakang, manakala kamera LaneWatch sedia ada masih ditawarkan.

    Untuk rangkaian kuasa, City facelift meneruskan dua pilihan enjin seperti model semasa. Varian petrol menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC empat silinder NA yang menghasilkan 121 PS pada 6,600 rpm dan tork maksimum 145 Nm pada 4,300 rpm. Kuasa dihantar ke roda melalui transmisi CVT, sama seperti model sebelum ini.

    Honda City facelift dibuka untuk tempahan di Malaysia – sedan dahulu, skrin sesentuh 10 inci, BLIS, rebat RM3k

    Sementara itu, varian hibrid e:HEV menggunakan motor elektrik pada roda hadapan yang menghasilkan 109 PS dan 253 Nm, dengan tenaga dibekalkan oleh bateri lithium-ion. Sistem ini turut disokong enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson yang menghasilkan 98 PS dan 127 Nm. Enjin tersebut lazimnya bertindak sebagai penjana elektrik, namun boleh disambungkan terus untuk memacu roda pada kelajuan lebih tinggi apabila ia beroperasi dengan lebih cekap.

    Tempahan Honda City facelift kini boleh dibuat menerusi laman web rasmi Honda Malaysia serta semua pengedar sah Honda di seluruh negara. Sebagai tawaran pengenalan, Honda Malaysia turut menawarkan ganjaran ‘Early Bird Reward’ bernilai RM3,000 kepada pelanggan yang membuat tempahan sebelum 30 September. Selain itu, sebuah New City Pop-up Store akan turut dibuka di lokasi-lokasi terpilih.

    GALERI: Honda City facelift 2026 di Thailand

     
  • Cadangan projek Lebuhraya Bertingkat Bandar Malaysia–Seri Kembangan diluluskan – dibiayai swasta

    Cadangan projek Lebuhraya Bertingkat Bandar Malaysia–Seri Kembangan diluluskan – dibiayai swasta

    Cadangan pembangunan Lebuhraya Bertingkat Bandar Malaysia–Seri Kembangan (BSE) telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat baru-baru ini bagi memperkukuh rangkaian pengangkutan serta meningkatkan kesalinghubungan di kawasan Greater Kuala Lumpur.

    Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, BSE dicadangkan sebagai laluan penghubung berkapasiti tinggi yang mengintegrasikan beberapa rangkaian lebuh raya utama, termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban, Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) serta rangkaian Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (SPRINT) yang lebih luas.

    “Pembangunan lebuh raya bertingkat di sepanjang jajaran strategik ini berpotensi menyediakan laluan alternatif kepada pengguna serta melancarkan pergerakan antara koridor utara, selatan dan pantai timur Semenanjung Malaysia. Kesalinghubungan yang lebih baik turut dijangka meningkatkan mobiliti rakyat, memperkukuh kecekapan logistik dan melancarkan pergerakan barangan.

    “Dari sudut kesejahteraan rakyat, BSE berpotensi mengurangkan masa perjalanan serta meningkatkan akses kepada pusat pekerjaan, institusi pendidikan dan perkhidmatan awam,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Cadangan projek Lebuhraya Bertingkat Bandar Malaysia–Seri Kembangan diluluskan – dibiayai swasta

    Tambahnya, pembangunan BSE bukan sekadar pembinaan sebuah lebuh raya baharu, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang dalam memperkukuh kesalinghubungan, keterangkuman pem- bangunan dan daya saing ekonomi negara.

    “Susulan kelulusan secara prinsip tersebut, KementerianKerjaRaya(KKR) bersama agensi-agensi berkaitan, termasuk Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), akan meneruskan rundingan dan penilaian terperinci bagi memuktamadkan struktur pelaksanaan projek.

    “Kerajaan akan memastikan setiap aspek projek dinilai secara menyeluruh, khususnya dari segi kepentingan awam, nilai terbaik kepada negara dan kemampanan fiskal, sebelum sebarang keputusan muktamad mengenai pelaksanaannya dibuat,” katanya lagi yang turut menambah cadangan pembangunan BSE juga berpandukan pendekatan pembiayaan sektor swasta, sekali gus memastikan pelaksanaannya tidak melibatkan komitmen kewangan langsung daripada Kerajaan Persekutuan.

    Pada masa yang sama, katanya, Kerajaan turut meneliti beberapa cadangan penyelesaian infrastruktur lain secara terpilih bagi melengkapkan rangkaian jalan raya dan menangani isu kesesakan lalu lintas di Lembah Klang. Cadangan berkenaan akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan strategik, peningkatan kapasiti serta impak terhadap kelancaran trafik.

     
  • Dapatkan model Chery dari RM80,800 sempena Hari Merdeka melalui kempen Chery Bersama Malaysia!

    Dapatkan model Chery dari RM80,800 sempena Hari Merdeka melalui kempen Chery Bersama Malaysia!

    Menjelang ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-69 yang bakal tiba, raikanlah dengan memulakan perjalanan bersama Chery baharu sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia ini. Melalui kempen Chery Bersama Malaysia, anda boleh menjangkakan tawaran hebat untuk barisan model petrol dan hibrid, serta beberapa hadiah percuma lain yang menarik.

    Tawaran yang diberikan bagi tempoh masa terhad ini antaranya melibatkan kenderaan Chery Super Hybrid (CSH) yang cekap kuasa seperti Chery Tiggo Cross HEV dengan harga dari RM91,800. Jika anda ingin sebuah kenderaan yang membolehkan pemanduan secara senyap dengan pacuan elektrik yang lebih lama, Chery Tiggo 8 PHEV tujuh-tempat duduk boleh menjadi milik anda hanya dengan RM138,800.

    Ingin beralih kepada kenderaan hibrid tetapi bimbang tentang kebolehpercayaan dalam jangka masa panjang? Anda tak perlu risau — setiap model hibrid dan plug-in hybrid Chery didatangkan dengan jaminan bateri sepuluh-tahun/200,000 km yang telah dilanjutkan untuk memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan.

    Anda mencari sebuah kenderaan petrol? Barisan kenderaan dengan pengecas turbo terkini Chery juga tersedia dengan harga yang menarik. Ini termasuklah Chery Tiggo Cross Turbo pada harga hanya RM80,800, Chery O5 dengan harga hanya RM99,800, Chery Tiggo 7 Pro dengan harga hanya RM108,800, Chery Tiggo 8 pada harga hanya RM115,800 dan Chery Tiggo 9 serba baharu dengan harga hanya RM166,800.

    Dapatkan model Chery dari RM80,800 sempena Hari Merdeka melalui kempen Chery Bersama Malaysia!

    Dekati juga rangkaian model Chery di Pusat Beli-belah MyTown di Kuala Lumpur pada Hari Malaysia ini dari 16 hingga 20 September. Di sana, anda akan disambut oleh kenderaan terkini, serta boleh juga menikmati promosi eksklusif serta mendapatkan tawaran terbaik yang disediakan sepanjang tempoh promosi.

    Pemilik Chery sedia ada juga tidak dilupakan — mereka boleh menikmati pemeriksaan kenderaan 28-poin percuma di semua pusat servis sah Chery yang di seluruh negara. Mereka yang berbelanja RM1,000 ke atas dalam satu invois servis juga akan menerima kamera papan pemuka Chery bernilai RM499* secara percuma!

    Jangan berlegah lagi, kunjungi bilik pameran atau pusat servis sah Chery berdekatan anda dan manfaatkan tawaran ini! Untuk maklumat lanjut, lawati laman web rasmi Chery Malaysia.

    Unit terpilih sahaja. Tertakluk pada terma dan syarat
    *Selagi stok masih ada.

     
  • Daerah Sepang dapat kos peruntukan RM17.5j untuk naiktaraf jalan; selesai pertengahan Sept sebelum F1

    Daerah Sepang dapat kos peruntukan RM17.5j untuk naiktaraf jalan; selesai pertengahan Sept sebelum F1

    Sebanyak RM17.5 juta diperuntukkan bagi menaik taraf infrastruktur jalan raya di seluruh daerah Sepang, termasuk laluan-laluan utama yang dijangka digunakan sempena Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober ini, laporan New Straits Times.

    Daripada jumlah tersebut, RM16 juta diperuntukkan bagi laluan termasuk FT26, FT27 dan FT29, manakala RM1.5 juta lagi diperuntukkan untuk laluan B48, kata Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu.

    Menurut laporan itu, peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mendapatkan pembiayaan daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), khususnya bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta kualiti infrastruktur di kawasan berkenaan.

    “Kerja-kerja naik taraf jalan raya dijangka siap pada pertengahan September bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar sebelum perlumbaan F1 bermula,” kata Aiman Athirah.

    Daerah Sepang dapat kos peruntukan RM17.5j untuk naiktaraf jalan; selesai pertengahan Sept sebelum F1

    Berhubung aduan mengenai jalan yang kurang pencahayaan serta lampu jalan yang tidak berfungsi, perkara tersebut turut sedang diberi perhatian kerana beberapa kawasan di daerah berkenaan, termasuk Cyberjaya, masih tidak mempunyai pencahayaan yang mencukupi, kata Aiman Athirah yang juga merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

    “Bagi kawasan Sepang khususnya, saya difahamkan laluan B48 kebanyakannya digunakan oleh kenderaan berat. Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, kerosakan boleh berlaku semula walaupun jalan telah dibaiki.

    “Sebab itu saya sendiri membuat pemeriksaan terhadap kualiti kerja yang dijalankan, termasuk ketebalan turapan jalan, bagi memastikan kerja-kerja naik taraf ini dapat bertahan lebih lama dan bukan sekadar penyelesaian sementara,” katanya.

    Kerja-kerja naik taraf di daerah berkenaan diketuai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sepang, manakala projek-projek lain termasuk fasa kedua kerja naik taraf laluan B48 sedang dilaksanakan, kata Ahli Parlimen Sepang itu.

     
  • Semua cawangan Puspakom di Selangor dibuka 1 Sept

    Semua cawangan Puspakom di Selangor dibuka 1 Sept

    Semua cawangan Puspakom di Selangor akan beroperasi seperti biasa pada 1 September ini, yang telah diisytiharkan sebagai cuti umum untuk negeri tersebut. Syarikat pemeriksaan kenderaan ini berkata pelanggan yang telah membuat temujanji di cawangan di Selangor masih boleh meneruskan urusan seperti yang direncanakan dan semua perkhidmatan akan disediakan sepanjang waktu operasi.

    Bagi yang mungkin tidak mengetahuinya, 1 September telah diisytiharkan sebagai cuti khas oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi meraikan kejayaan negeri itu menduduki tempat teratas dalam kutipan pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) 2026 yang baru sahaja berakhir dan dianjurkan oleh Selangor.

    Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mengumumkan perkara itu pada majlis penutupan Sukma di Shah Alam pada Isnin lalu. Beliau berkata, cuti tersebut merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri kepada seluruh kontinjen Selangor kerana telah mengharumkan nama negeri.

    Selangor meraih 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, mengatasi Wilayah Persekutuan yang memperoleh 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa. Terengganu pula menduduki tempat ketiga dengan 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa. Perenang Selangor, Eliza Tan, dan penembak Pahang, Cheah Zen Hong, masing-masing dinobatkan sebagai atlet terbaik Sukma 2026.

     
 

Jual kereta anda pada harga lebih tinggi, dibayar dalam 24 jam

 
Related PaulTan.org Content: Malaysia: Malaysia | Electric: Electric | Motorsports | Tech | Featured: Featured | Reviews: Reviews