Acara paultan.org Auto Car Expo (ACE) 2026 – dikuasakan oleh Petronas Primax – telah pun membuka tirainya hari ini, di Setia City Convention Centre (SCCC). Ia berlangsung selama dua hari, dari jam 9 pagi hinggalah 7 petang dan banyak jenama pengeluar kenderaan yang mengambil bahagian.
Antaranya GWM yang turut mengambil peluang ini untuk mempamerkan model baharunya, Ora 5 HEV yang dijangka akan dilancarkan untuk pasaran tempatan pada bulan hadapan. Ora 5 HEV ini diberikan enjin 1.5 liter turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu menghamburkan kausa hingga 150 PS dari 5,500 rpm hingga 6,000 rpm dan tork 340 Nm dari 1,800 rpm hingga 4,000 rpm. Turut dipadankan dengan transmisi hibrid khusus dua-kelajuan (DHT) dengan motor elektrik bersepadu berkuasa 190 PS dan 236 Nm, serta bateri 1.09 kWh.
Gabungan output tersebut memberikan kuasa kepada Ora 5 HEV mencecah 223 PS dan 476 Nm. Membolehkannya mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat dengan kelajuan tertinggi hingga 180 km/j.
Ora 5 HEV menawarkan jarak gerak gabungan sehingga 1,100 km daripada rangkaian kuasa hibrid dan tangki bahan api berkapasiti 55 liter. Kadar penggunaan bahan apinya didakwa sekitar 4.4 liter per 100 km, atau 22.7 km per liter, sekaligus menggambarkan ia sebagai sebuah SUV crossover hibrid yang memiliki kecekapan bahan api yang cemerlang.
Bentangan suspensi bagi Ora 5 HEV adalah sama dengan versi EV iaitu topang MacPherson di hadapan dan larasan multi-link di belakang, bersama stereng kuasa elektrik. Sistem breknya pula menggunakan cakera ventilasi di hadapan dan cakera solid di belakang.
Bagi dimensinya, Ora 5 HEV ini berukuran 4,471 mm panjang, 1,833 mm lebar dan 1,641 mm tinggi dengan jarak roda 2,720 mm. Jarak kelegaan tanah (ground clearance) bagi crossover lima-tempat duduk ini pula mencecah 175 mm.
Ora 5 HEV dilengkapi ciri luaran termasuk lampu hadapan LED automatik, lampu siang LED, lampu belakang LED, spoiler belakang dengan lampu brek aras tinggi, pintu but yang dikendalikan secara manual, pengelap cermin hadapan dengan pengesan hujan, cermin sisi boleh laras elektrik serta rel bumbung.
Untuk bahagian kabin, ia diberikan skrin sentuh infotainmen 14.6-inci menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, manakala kesambungan perkakasan termasuk pengecas telefon tanpa wayar 50 watt, satu soket USB-A dan satu soket USB-C di baris hadapan serta satu soket USB-C di baris kedua, di samping upholsteri kulit sintetik.
Selain GWM, banyak lagi jenama yang menyertai ACE 2026, termasuk Audi, BMW, BMW Motorrad, Chery, Dongfeng, Hyundai, iCaur, Jetour, Leapmotor, Lotus, Perodua, Mazda, MINI, Mitsubishi, Omoda | Jaecoo, Proton, Proton eMas, smart, Volkswagen dan Zeekr, serta banyak lagi. Selain Petronas Primax, ACE 2026 turut ditaja bersama oleh Jacar, TNB Electron dan Carro.
Selain tawaran daripada setiap jenama yang menyertai, pelanggan bagi 200 tempahan terawal yang disahkan di ACE 2026 akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada kami.
Setiap tempahan yang disahkan juga melayakkan anda, selaku pembeli, menyertai cabutan bertuah dengan hadiah bernilai keseluruhan RM57,000, termasuk hadiah utama pakej percutian bernilai RM10,000, tiga set filem cermin gelap Llumar oleh Jacar bernilai RM4,000 setiap satu, lima telefon pintar bernilai RM3,000 setiap satu serta lima naik taraf upholsteri kulit DK Schweizer Prestige bernilai RM4,000 setiap satu. Turut ditawarkan ialah beg cenderahati daripada V-Kool, Harman Kardon, DK Schweizer, Dodo, The Carage dan Kuzig Glanz Detailing.
paultan.org Auto Car Expo (ACE) – dikuasakan oleh Petronas Primax – berlangsung dari 31 Oktober hingga 1 November di Setia City Convention Centre (SCCC); dapatkan maklumat lanjut di laman mikro ACE 2026. Jumpa anda di sana!











GWM Ora Good Cat
dari RM109,800
GWM Wey G9
dari RM249,800
GWM Tank 500
dari RM328,800
GWM Haval H6
dari RM139,800
GWM Tank 300
dari RM250,000