Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah memperkenalkan Kawasaki Ninja ZX-10RR 2026 untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan RM169,900, tidak termasuk insurans. Model ini merupakan versi lebih berorientasikan litar berbanding Ninja ZX-10R standard, dengan beberapa komponen enjin dan casis yang dibangunkan bagi meningkatkan prestasi ketika ditunggang pada kelajuan tinggi.
Ninja ZX-10RR merupakan model keluaran terhad 500 unit untuk seluruh dunia, dihasilkan untuk memenuhi keperluan penunggang yang mahukan sebuah jentera supersport dengan spesifikasi lebih dekat kepada motosikal perlumbaan. Bagi model 2026, Kawasaki mengekalkan enjin empat silinder sebaris berkapasiti 998 cc, namun ia dilengkapi beberapa komponen khas daripada Pankl untuk memberikan respons enjin yang lebih pantas serta keupayaan beroperasi pada putaran lebih tinggi.
Menurut spesifikasi yang diumumkan, enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 197 PS pada 13,200 rpm, manakala penggunaan sistem kemasukan udara RAM Air meningkatkan angka berkenaan kepada 207 PS pada putaran enjin yang sama. Tork maksimum pula mencecah 110 Nm pada 11,400 rpm, dengan kuasa dihantar ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan.
Antara perbezaan utama Ninja ZX-10RR berbanding ZX-10R biasa ialah penggunaan connecting rod titanium Pankl dan piston ringan khas yang turut dibangunkan oleh syarikat pembekal komponen berprestasi tinggi tersebut. Penggunaan komponen lebih ringan ini mengurangkan reciprocating mass dalam enjin, sekaligus membantu enjin mencapai putaran tinggi dengan lebih lancar. ZX-10RR juga mempunyai had rpm lebih tinggi berbanding model standard.
Selain itu, ZX-10RR menggunakan tetapan suspensi belakang yang ditala khusus untuk kegunaan litar, manakala tiub dalam fork hadapannya menerima salutan titanium khas bagi mengurangkan geseran dan meningkatkan kelancaran pergerakan suspensi. Sistem brek hadapan Brembo turut dilengkapi hos steel-braided, sementara tayarnya menggunakan Pirelli Diablo Supercorsa SP V3 yang direka untuk memberikan cengkaman lebih baik ketika tunggangan berprestasi tinggi.
Bagi sistem suspensi, bahagian hadapan menggunakan fork USD Showa Balance Free berdiameter 43 mm yang boleh dilaraskan untuk mampatan, lantunan dan prabeban spring. Di belakang pula terdapat penyerap hentak gas Showa BFRC Lite jenis Horizontal Back-link dengan tabung piggyback, yang turut menawarkan pelarasan mampatan, lantunan dan prabeban spring.
Sistem brek hadapan menggunakan set cakera 330 mm berkembar, dipadankan dengan angkup Brembo M50 empat piston. Bahagian belakang pula menggunakan cakera tunggal berdiameter 220 mm. Berat keseluruhan motosikal ini ialah 207 kg, manakala tangki bahan apinya berkapasiti 17 liter.
Dari segi kelengkapan elektronik, ZX-10RR dilengkapi pelbagai sistem bantuan tunggangan termasuk Kawasaki Cornering Management Function (KCMF), Sport-Kawasaki Traction Control (S-KTRC), Kawasaki Launch Control Mode (KLCM), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS) dan Kawasaki Engine Brake Control. Ia turut menerima Kawasaki Quick Shifter (KQS) dua hala serta cruise control.
Untuk model 2026, Ninja ZX-10RR turut hadir dengan komponen aerodinamik baru termasuk winglet pada bahagian hadapan, selain damper stereng Öhlins yang ditawarkan sebagai kelengkapan standard. Model ini juga menggunakan konfigurasi tempat duduk tunggal yang membezakannya daripada ZX-10R biasa.

