Wing Hin lancar Grow Design di Malaysia – jenama talaan Jepun dibangunkan oleh jurutera penguji Gazoo Racing

Jenama penala dari Jepun, khusus untuk kenderaan-kenderaan jenama Toyota iaitu Grow Design kini secara rasmi dilancarkan di Malaysia. Peralatan prestasi jenama ini diwakili oleh pengedar eksklusifnya di sini iaitu Wing Hin Motorsport. Ini membolehkan Wing Hin meluaskan lagi portfolionya selain dari menjadi pengedar rasmi bagi peralatan prestasi Toyota yang lain termasuk GR Parts, TRD dan Modelista. Malah Wing Hin turut menjalinkan kerjasama dengan Grow Design Japan, bagi mewujudkan Grow International untuk menjual peralatan prestasi Grow Design ini ke seluruh dunia.

Grow Design diasaskan oleh jurutera penguji Toyota Gazoo Racing iaitu Masahiro Sasaki pada 2008. Beliau bukan sahaja terlibat dalam pembangunan model-model produksi Gazoo Racing seperti Toyota GR Yaris dan Toyota GR 86, malah Sasaki turut berlumba dalam siri perlumbaan Super Taikyu Endurance di Jepun untuk pasukan ORC Rookie Racing, satu pasukan dan memandu satu kereta yang sama dengan pengerusi Toyota, Akio Toyoda yang juga merupakan GR Master Driver dikenali dengan nama alter ego, Morizo.

Untuk Grow Design, Sasaki memastikan kelengkapan yang ditawarkan memberikan rupa, pengendalian dan prestasi yang lebih baik, tetapi dalam masa yang sama ia tidak merubah karekter asal kereta-kereta tersebut.

Wing Hin lancar Grow Design di Malaysia – jenama talaan Jepun dibangunkan oleh jurutera penguji Gazoo Racing

Pengasas Grow Design, Masahiro Sasaki

Jenama ini menghasilkan kit aero dan peralatan prestasi untuk semua model-model GR yang masih dijual di bilik pameran buat masa sekarang iaitu GR Yaris, GR Corolla dan GR 86. Malah kembar GR 86 iaitu Subaru BRZ turut boleh menggunakan kelengkapan-kelengkapan prestasi Grow Design ini.

Kit aero yang ditawarkan oleh Grow Design adalah lengkap dari spoiler bawah bampar hadapan, diffuser udara bawah skirt sisi, diffuser bawah bampar belakang dan juga spoiler belakang, di mana kesemuanya diperbuat dari material gentian karbon yang ringan.

Selain itu ia turut menghasilkan spring sport bersama kit pelaras ketinggian dengan kerjasama HAL Spring Japan, sistem eksoz ysng dibina bersama jenama ekzos terkenal dari Jepun iaitu Fujitsubo, serta tempat duduk bucket karbon yang dibina bersama pengeluar tempat duduk perlumbaan dari Jepun iaitu Bride.

Wing Hin lancar Grow Design di Malaysia – jenama talaan Jepun dibangunkan oleh jurutera penguji Gazoo Racing

Bukan sahaja untuk model prestasi GR, Grow Design turut ada menawarkan kit aero dan juga sistem suspensi yang selesa untuk model-model mewah Toyota seperti MPV Toyota Alphard/Vellfire dan juga SUV Toyota Crown Sport.

Pelancaran jenama ini dibuat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang sempena berlangsungnya Tokyo Auto Salon (TAS) Malaysia bermula hari ini 2 Oktober 2026, sehingga 4 Oktober. Ketika dilancarkan, Wing Hin turut mendedahkan demo car Grow Design iaitu Toyota GR Corolla Morizo Edition yang dilengkapi kit aero, spring sport, sistem ekzos dan juga tempat duduk hadapan jenama tersebut.

GALERI: Grow Design Toyota GR Corolla Morizo Edition di Tokyo Auto Salon Malaysia 2026

Gambar rasmi Grow Design Malaysia