Hyundai Santa Fe Prestige 2026 di Malaysia — 1.6L turbo hibrid, 235 PS/367 Nm, tujuh-tempat duduk; RM245k

Selepas lebih setahun dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, Hyundai Santa Fe generasi kelima yang terbaru masih menjadi antara model SUV tujuh-tempat duduk yang membawakan nilai berlainan ke dalam segmen D SUV di sini.

Rekaannya yang unik dan berpetak menjadi antara faktor yang memisahkannya daripada pesaing, kebanyakannya terdiri daripada model-model dari jenama pengeluar China — misalnya yang paling baru ialah Chery Tiggo 9, tentunya dengan harga yang lebih rendah.

Yang ditampilkan di sini adalah dari varian Prestige, penawaran pertengahan daripada tiga varian keseluruhannya — Prime yang paling rendah, dengan tujuh-tempat duduk, dan Calligraphy yang paling tinggi, dengan konfigurasi enam-tempat duduk. Harganya juga jauh lebih premium berbanding pesaing dalam segmen yang sama. Untuk Prestige, harga yang dikenakan ialah RM245k.

Hyundai Santa Fe Prestige 2026 di Malaysia — 1.6L turbo hibrid, 235 PS/367 Nm, tujuh-tempat duduk; RM245k

Satu angka yang tidak senang dijangkau oleh ramai orang. Tetapi, sekiranya harga ini bukan penghalang, makan Hyundai Santa Fe memang akan memberikan nilai dan pengalaman keselesaan yang menepati kelas premium yang dijangkakan daripada sebuah kereta setanding harga tersebut.

Varian Prestige ini memanfaatkan tetapan janaan kuasa turbo hibrid melalui unit enjin 1.6 liter turbocas suntikan terus (T-GDi) Smartstream empat-silinder petrol yang menghasilkan sebanyak kuasa 180 PS pada 5,500 dan 265 Nm tork dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Ini digandingkan pula dengan sebuah motor elektrik 65 PS/264 Nm dan transmisi automatik enam-kelajuan untuk memberikan output keseluruhan 235 PS dan 367 Nm (naik 5 PS dan 17 Nm berbanding model lama) yang disalurkan ke roda depan.

Ini diterjemahkan kepada sebuah pemanduan yang cukup bertenaga, memandangkan saiz badan SUV ini besar dan tinggi. Tidak hanya itu, ia juga memberikan bacaan penggunaan bahan api yang cekap. Daripada pemerhatian ringkas, dengan kapasiti tangki 67 liter yang ada, varian Prestige ini mampu beberikan lebih daripada 800 km perjalanan dengan satu tangki penuh petrol yang digunakan, dengan bacaan purata yang terbaik sekitar 5.5 liter/100 km.

Hyundai Santa Fe Prestige 2026 di Malaysia — 1.6L turbo hibrid, 235 PS/367 Nm, tujuh-tempat duduk; RM245k

Ruang kabin juga lebih mewah rasanya, dengan rekaan minimalis yang “bersih”, serta penggunaan material berkilat sebagai kemasan antara yang menjadi elemen utama. Rekaan bentuk H seperti yang boleh dilihat di wajah depannya turut juga boleh dikesan diteruskan pada rekaan kabinnya, dikukuhkan lagi dengan rekaan corong pendingin berkelabaran penuh.

Di atas corong tersebut ada sebuah paparan skrin lebar melengkung yang terdiri daripada panel instrumen 12.3-inci dan paparan untuk infotainmen. Di bahagian penumpang pula ada dua bukaan glovebox; dengan bahagian atasnya turut dilengkapi dengan ciri pensterilan UV untuk varian lebih tinggi. Penggunaan butang capacitive touch masih dikekalkan untuk kawalan pendingin, tetapi untuk kawalan suhu ia menggunakan tombol fizikal.

Ruang storan di konsol tengah menjadikannya lebih praktikal untuk barangan, memandangkan tuil pemilih gear telah dipindahkan ke belakang stereng. Turut tersedia ialah dua pad pengecas tanpa wayar Qi, sementara storan di bahagian perehat lengan boleh dibuka dari depan dan belakang. Kerusi Relaxation Seat dengan perehat kaki penumpang depan juga boleh direbah dengan hanya satu sentuhan. Santa Fe banyak “dimanjakan” dengan ciri-ciri kemudahan dan keselesaan untuk pemandu dan penumpang seperti ini.

Ruang penumpang belakang juga lebih luas; kerusi barisan ketiganya menyediakan ruang yang terbaik bagi kenderaan dalam kelas yang sama, dengan penyandar yang 10-darjah lebih condong. Untuk masuk ke situ, kerusi barisan kedua boleh dilipat dengan hanya satu sentuhan — sangat memudahkan mereka yang perlu memanfaatkan ruang tersebut.

Kedua-dua kerusi paling belakang boleh dilipat rata untuk memberikan ruang yang luas untuk digunakan, terutama ketika pintu ruang barangan dibuka. Ruang but yang tersedia ialah 628 liter, manakala ketika kerusi barisan kedua dilipat, ia menjadi 1,949 liter. Kelengkapan lain yang ada termasuk cermin pandang belakang digital, head-up display 12-inci dan banyak slot USB-C dalam kabin, dengan kapasiti hingga 27 watt. Varian Prestige ke atas juga menerima sistem audio yang lebih baik daripada BOSE, dengan 12-pembesar suara.

Aspek keselamatan tidak ketinggalan: Hyundai Smartsense disediakan untuk semua varian, dengan Prestige menerima tahap kelengkapan yang mirip dengan Calligraphy yang paling atas. Antara ciri yang ada termasuklah fungsi canggih Lane Following Assist (LFA), Lane Keeping Assist – Line/Road-Edge (LKA-L/R), Parking Collision-Avoidance Assist – Reverse (PCA-R), Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA), Safe Exit Assist (SEA), Rear Occupant Alert (ROA), Smart Cruise Control (SCC) termasuk Stop & Go Function (SCC w/ S&G), Surround View Monitor (SVM) dengan Dynamic Parking Guidelines termasuk ciri 3D Surround View, Driving Rear-View Monitor (DRM), Trailer Connection Mode dan Remote Smart Parking Assist (RSPA).

Hyundai Santa Fe Prestige 1.6L HEV di Malaysia

Tags: