Proton S70 mungkin menjadi model yang paling sibuk dan paling kerap dibicarakan tahun ini. Baru Februari lalu versi MC1-nya dilancarkan, yang menampilkan perubahan penting: peralihan kepada enjin i-GT empat-silinder versi turbo — sama seperti Proton X50 dan Proton X70 sebelum itu.
Unit enjin BHE15-EFZ yang terbaru ini menghasilkan kuasa sebanyak 181 PS pada 5,500 5pm dan tork maksima 290 Nm antara 2,000 rpm-3,500 rpm (dengan kitaran Otto-Miller; DVVT dengan pam air elektrik), dan menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo terdahulu yang hanya datang dengan janaan kuasa sebanyak 150 PS/226 Nm.
Dengan tambahan kuasa sebanyak 31 PS/64 Nm, ini bermakna Proton S70 MC1 2026 turut melibatkan perubahan prestasi dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat (S70 lama dalam 9.6 saat). Kuasa masih disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7-DCT, tetapi telah ditala semula bagi memberikan tukaran gear yang lebih lancar. Ini sahaja sudah merupakan perubahan yang sangat penting untuk S70, dan baru sahaja dilakukan oleh Proton.
Kemudian, setelah desas-desus dan beberapa pengesahan dan tempoh tempahan, varian paling rendah yang turut dikenali dengan nama MC2 (dengan sedikit perpezaan penampilan berbanding MC1) pula dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan — S70 Prime dan Lite. Dua varian ini merupakan versi enjin i-GT tanpa turbo (NA) untuk S70, dan dijual dengan harga yang lebih murah: RM56,800 untuk Lite, dan RM59,800 untuk Prime. Ini menjadikan penawaran untuk S70 ketika ini terdiri daripada lima varian yang cukup bervariasi.
Tidak cukup dengan itu: muncul pula berita dan penampakan versi S70 MC2 Turbo yang dilihat sedang diuji. Bayangkan, untuk hanya satu model, dalam masa yang belum genap setahun, sudah bermacam-macam versi diperkenalkan dan sedang dipersiapkan untuk masuk ke pasaran. Dan, semua ini tentulah bukan secara tidak sengaja. Semuanya sudah dalam perancangan sejak awal.
Apa pun, dalam artikel ini kami ingin mengajak pembaca untuk melihat dengan lebih terperinci varian paling tinggi, Proton S70 Flagship X 2026. Ketika dilancarkan pada Februari lalu, ia dikenakan harga RM94,800. Ini adalah tahap paling tinggi, sporty dan kemas yang boleh didapatkan untuk S70, yang dikeluarkan langsung oleh kilangnya.
Selain perbezaan penampilan berbanding varian lebih rendah, Flagship ke atas menerima rim bersaiz 17-inci. Di dalam, paparan instrumen adalah melalui skrin TFT 10.25-inci, serta skrin sentuh infotainmen 12.3-inci yang dikekal seperti sebelum ini. Cuma, dua varian tertinggi ini datang siap dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar – sesuatu yang sangat membantu meletakkan penawaran S70 ini satu takuk lebih tinggi di mata pengguna-pengguna muda.
Varian Flagship juga menerima tambahan pengecas telefon tanpa wayar, kamera 360-darjah HD dengan paparan 3D, kerusi pemandu dengan larasan enam-hala serta filem penapis haba. Bagaimanapun, masih tiada ciri paddle shifter — walaupun model ini dipasarkan sebagai sedan sporty. Proton memaklumkan, ini adalah kerana di China juga memang tidak ada ciri berkenaan ditawarkan untuk model setara di sana.
Antara Flagship X dan Flagship, keduanya dipisahkan dengan perbezaan yang sangat tipis — selain bodykit dan pelapik bumbung hitam, Flagship X dilengkapi juga dengan sunroof dan DVR depan sebagai ciri tambahan.
Aspek keselamatan juga lengkap untuk varian tertinggi ini. Ia antara lain dilengkapi dengan sistem bantuan ADAS dengan fungsi pemanduan autonomi Tahap 2 seperti sebelumnya, menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik (AEB), bantuan kekal lorong (LKA), kawalan melayar adaptif dan bantuan ke tengah lorong.
Jadi, anda boleh bersetuju bahawa Proton S70 kini menjadi model tunggal yang paling banyak menarik perhatian umum di Malaysia ketika ini?
Proton S70 Flagship X MC1 2026



Proton S70
dari RM59,800
Proton X90
dari RM106,800
Proton eMas 7 PHEV
dari RM109,800
Proton X70
dari RM106,800
Proton Saga
dari RM38,990
Proton eMas 5
dari RM59,800
Proton X50
dari RM89,800
Proton eMas 7
dari RM103,800