Proton S70 MC2 1.5L NA 2026 dilancarkan – RM56,800-RM59,800, Prime & Lite, 120PS, CVT Torque Converter

Yang ditunggu-tunggu, Proton S70 Minor Change kali kedua (MC2) yang kini dikemaskini menampilkan pilihan enjin i-GT tanpa turbo secara rasminya telah pun dilancarkan di Malaysia malam ini. Seperti yang sudah dinyatakan sebelum ini, S70 i-GT 2026 berkenaan ditawarkan dalam dua varian iaitu varian asas Lite dan juga varian tertinggi Prime.

Bagi varian Lite ia dijual pada harga atas jalan RM59,800, manakala varian Prime pula dijual pada harga RM62,800. Sempena pelancarannya, Proton turut menawarkan rebat sebanyak RM3,000 untuk kedua-dua varian bagi pelanggan yang mendaftarkan kereta mereka sebelum 31 Disember 2026, menjadikan S70 Lite dijual pada harga bermula RM56,800, manakala S70 Prime pula dijual pada harga RM59,800.

Dengan kehadiran dua varian lebih mampu milik ini, Proton telah menggugurkan penawaran S70 Executive dengan enjin turbo. Jadi secara keseluruhan S70 kini ditawarkan dalam lima varian iaitu tiga varian dengan enjin turbo iaitu 1.5TD Premium, 1.5TD Flagship dan 1.5TD Flagship X, serta dua varian dengan enjin NA iaitu i-GT Lite dan i-GT Prime.

Proton S70 i-GT 1.5L NA Prime (atas) dan Lite (bawah)

Malah penawaran dua varian dengan enjin NA juga telah melengkapkan barisan model sedan Proton dengan mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Proton Persona yang telah pun dihentikan pengeluarannya, diletakkan pada julat harga betul-betul antara Proton Saga MC3 (RM38k-RM49k) dan juga S70 Turbo (RM75k-RM90k).

Proton S70 Lite dan Prime digerakkan dengan enjin i-GT 1.5 liter empat-silinder dengan sistem suntikan pelbagai titik (MPI) tanpa pengecas turbo yang sama seperti Proton Saga MC3, menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear CVT bagi memacu roda hadapan, namun transmisi CVT yang dipadankan adalah berbeza dari Saga kerana ia tidak menggunakan start-clutch untuk mula menggerakkan kereta, sebaliknya digantikan dengan dengan torque converter.

Selain itu kotak gear CVT pada S70 NA ini juga diberikan mod tukaran gear maya secara manual, di mana kedua-dua varian dibekalkan dengan tombol gear yang sama seperti varian-varian 1.5TD – tukaran gear maya berkenaan boleh dibuat dengan cara menggerakkan tombol tersebut ke kiri atau ke kanan. Jika padanan enjin dan kotak gear CVT ini sama dengan yang diberikan pada kembar S70 iaitu Geely Emgrand, boleh diagak transmisi yang diberikan juga adalah datang dari pembekal yang sama iaitu Wanliyang (WLY), bukan Punch seperti Saga.

Proton S70 i-GT 1.5L NA Prime

Sebagai perbandingan, S70 Premium, Flagship dan Flagship X menerima enjin 1.5 liter empat silinder dari keluarga enjin BHE15 yang sama, tetapi didesak dengan pengecas turbo serta menerima sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan kuasa sebanyak 181 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm antara 2,000 rpm-3,500 rpm. Enjin yang jauh lebih berkuasa berkenaan digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.

Pada bahagian luar tak banyak perbezaan antara varian Lite dan Prime, di mana kedua-duanya masih kekal nampak seperti varian-varian 1.5TD, tetapi diberikan gril hadapan hitam sepenuhnya tanpa kemasan krom pada pin dan kemasan perak pada pada bar atas serta ‘busur panah’ di bawah. Kedua-duanya juga tidak diberikan bar lampu yang merentangi penutup but belakang.

Namun terdapat beberaps perbezaan antara kedua-dua varian NA ini, di mana varian Lite tidak mempunyai penderia parkir hadapan, diberikan rim aloi 16-inci yang dibalut oleh tayar Giti GitiComfort F22 205/55R16, lampu hadapan jenis halogen (masih datang dengan lampu nyalaan siang LED). Tapi apa yang menarik, lampu hadapan halogen S70 Lite ini merupakan unit lampu yang sama seperti S70 Executive dengan enjin tiga-silinder turbo, jadi ia masih menerima lampu isyarat membelok jenis LED, berbanding versi MC1 yang telah ditukar dengan lampu isyarat membelok jenis mentol biasa. Sistem lampu follow me home juga masih diberikan pada S70 varian paling murah ini.

Proton S70 i-GT 1.5L NA Lite

Varian Prime pula datang dengan rim aloi 17-inci dengan tayar Giti GitiComfort F22 bersaiz 205/50R17, serta ditambah dengan cermin sisi auto-lipat, lampu hadapan LED dengan lampu isyarat membelok menggunakan mentol yang sama seperti varian-varian turbo untuk S70 MC1. Lima warna badan ditawarkan untuk kedua-dua S70 i-GT 1.5 NA Lite dan Prime ini iaitu Quartz Black, Space Grey, Snow White, Marine Blue dan Armour Silver.

Untuk bahagian dalaman, S70 Lite dan Prime berkongsi skrin infotainmen lapan-inci yang sama, dilengkapi Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Skrin infotainmen pada S70 ini menampilkan antara muka yang sama seperti Saga MC3. Jadi fungsinya juga nampak sama di mana ia turut boleh digunakan untuk kawalan sistem seperti penghawa dingin, bantuan pemanduan dan lain-lain termasuk menukar tetapan tiga mod pemanduan yang disediakan iaitu Eco, Comfort, dan Sport.

Perincian standard lain yang turut diberikan serta dikongsi antara varian Prime dan Lite termasuk, paparan instrumen analog dengan skrin pelbagai informasi monokrom di tengah, corong penghawa dingin untuk kabin belakang menampilkan sekali port pengecas USB-A dan USB-C untuk penumpang belakang, semua tingkap datang dengan fungsi Auto turun/naik dan Anti Trap, brek parkir elektrik (EPB), cruise control, kamera undur, penghidup enjin jarak jauh dan juga penderia parkir belakang.

Brosur spesifikasi Proton S70 iGT Lite dan Prime. Klik untuk besarkan

Tempat duduk belakang S70 Lite dan Prime ini tidak diberikan perehat kepala boleh laras dan perehat tangan seperti varian-varian dengan enjin turbo. Manakala untuk membezakan antara kedua-dua varian, bahagian kabin Proton S70 i-GT Prime diberikan beberapa peningkatan perincian dalaman berbanding Lite, termasuk upholsteri leatherette untuk tempat duduk (hanya fabrik pada Lite), roda stereng juga dibalut dengan leatherette serta pendingin hawa dengan fungsi automatik.

Untuk keselamatan pula, kedua-dua S70 Lite dan Prime ini dibekalkan dengan enam-beg udara, kamera undur, penderia parkir belakang, pengingat tempat duduk belakang serta beberapa sistem bantuan pemanduan termasuk pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan tukar lorong, amaran buka pintu dan amaran pelanggaran belakang.

Setiap pembelian Proton S70 i-GT Lite dan Prime ini dilindungi oleh waranti selama lima-tahun, tanpa had perbatuan. Ia juga diberikan servis dengan enam kali kos buruh percuma.

GALERI: Proton S70 i-GT 1.5L NA Lite

GALERI: Proton S70 i-GT 1.5L NA Prime

Brosur dan gambar rasmi Proton S70 2026

Tags: