Kita dah lihat beberapa perincian bagi model Proton S70 facelift menerusi unit prototaip ujian yang dilihat berkeliaran di uji di atas jalan raya awam minggu lalu. Dan minggu ini, seorang pengguna Threads bernama sherryfaty terjumpa satu lagi unit prototaip S70 facelift yang berlainan.
Unit prototaip yang dijumpai kali ini menampilkan dua tip ekzos berkembar seperti yang diberikan pada Proton X50, berbeza dengan model sedia ada di mana ia langsung tidak mendedahkan tip ekzos pada bampar belakang. Penulis berpendapat S70 sepatutnya sudahpun diberikan perincian ini sejak dari versi pertama dilancarkan pada November 2023 kerana tidak seperti kembarnya iaitu Geely Emgrand yang hanya dibekalkan dengan enjin 1.5 liter NA, S70 menerima enjin 1.5 liter turbo seperti pada X50.
Sama seperti unit yang dijumpai sebelum ini, unit ini juga menampilkan lampu belakang baharu yang nampak lebih nipis serta grafik LED di dalamnya menyerupai Saga MC3. Namun unit berkenaan masih bergerak dengan set rim yang sama seperti model sedia ada, berbeza dengan unit sebelum ini yang menampilkan rim aloi baharu yang menampilkan corak seakan bunga dengan lima kelopak.
Versi yang dijumpai sebelum ini juga dilihat menerima lampu hadapan yang digelapkan, bampar hadapan baharu, pembuka pintu sebelah penumpang hadapan yang diberikan suis kunci keyless serta angkup brek yang dilayangkan dengan warna merah.
Berkemungkinan besar rekaan facelift kali ini dibuat sepenuhnya oleh Proton. Ini kerana Geely Emgrand di China masih belum menerima perubahan rupa yang menyeluruh dan jualan model itu mungkin akan dihentikan di sana tidak lama lagi kerana Emgrand generasi baharu telahpun didedahkan sebelum ini.
Ada juga kemungkinan Geely akan menggunakan rekaan baharu ini untuk Emgrand facelift bagi pasaran luar China seperti di Timur Tengah, Filipina dan sebagainya. Sebagai contoh rekaan papan pemuka X50 facelift yang dibuat sendiri oleh Proton kini telah digunakan pada Geely Coolray pasaran Afrika Selatan dan Indonesia, di mana kedua-dua negara itu juga sebenarnya menerima Coolray yang dipasang di Tanjong Malim.
Bagi unit rangkaian kuasa, S70 pastinya akan terus menerima enjin 1.5 liter empat silinder turbo i-GT berkuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm yang baharu sahaja dikemaskini menerusi versi MC1 yang dilancarkan pada awal tahun ini. Enjin berkenaan digandingkan klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7-DCT membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat.
Namun kami jangkakan bagi model facelift ini, S70 bakal ditawarkan dengan satu lagi pilihan padanan enjin iaitu enjin 1.5 liter empat-silinder tanpa turbo bersama kotak gear CVT automatik yang sama seperti Geely Emgrand – setakat ini Emgrand tidak pernah ditawarkan dengan enjin turbo pada mana-mana pasaran. Model dengan enjin tanpa turbo ini mungkin tidak akan menampilkan tip ekzos berkembar seperti unit prototaip yang diuji ini, dan akan dijual pada harga lebih rendah, bagi menggantikan tempat Proton Persona yang bakal dihentikan jualannya tahun ini.
Malah Proton baru-baru ini dikesan memasang Geely Emgrand di Tanjong Malim dalam versi pemanduan sebelah kiri untuk dieksport ke luar negara, jadi unit rangkaian tersebut pastinya sudah dibekalkan ke kilang Proton dan bersedia untuk dipasang pada Proton S70 pasaran tempatan pula.
IKLAN: Pandu model Proton idaman anda. Hantar butiran anda dan Proton PJ akan menghubungi anda.




Proton X90
dari RM106,800
Proton S70
dari RM73,800
Proton eMas 7 PHEV
dari RM109,800
Proton X70
dari RM106,800
Proton Saga
dari RM38,990
Proton eMas 5
dari RM59,800
Proton X50
dari RM89,800
Proton eMas 7
dari RM103,800