Proton dah lancarkan Saga MC3 tahun lalu, di mana model berkenaan memberikan peluang kepada pembeli sedan pada julat harga paling mampu milik sebuah model yang datang dengan pelbagai perincian paling moden, tetapi pada harga yang masih tidak berubah berbanding model sebelumnya. Namun ini tidak menyelesaikan sebahagian keperluan pengguna. Ini kerana Saga masih lagi merupakan sedan segmen-A dengan saiz yang kecil, tidak sesuai untuk sebuah keluarga yang sedang membesar.
Proton memang ada sedan segmen-B sebelum ini iaitu Proton Persona. Namun model berkenaan perlukan pembaharuan kerana masih menggunakkan enjin 1.6 liter Campro yang agak ‘kuat’ menelan bahan api berbanding pesaing terdekatnya, dan yang paling banyak orang perkatakan berkenaan Persona adalah rupanya – sebagai Iriz yang di’sedan’kan, Persona tampil dengan rupa luaran serba tak kena.
Dan sebagai penyelesaian, Proton tidak membangunkan satu lagi generasi baharu Persona selepas model model generasi kedua tersebut dihentikan pengeluarannya tahun ini, sebaliknya menggantikan tempat yang ditinggalkan tersebut dengan varian lebih mampu milik sedan segmen-C Proton S70 i-GT Lite dan Prime. Kami diberi peluang untuk menguji S70 ‘Rahmah’ ini dalam varian Prime ketika sesi pandu uji media dari Shah Alam ke Sekinchan minggu lalu. Adakah ini sedan yang sedang anda cari? Teruskan membaca ulasan pandu uji ini.
Kedua-dua Proton S70 i-GT Lite dan Prime menerima enjin 1.5 liter empat-silinder tanpa turbo yang menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm (berbanding 181 PS/290 Nm untuk versi turbo), manakala transmisi DCT digantikan dengan kotak gear CVT bagi menyampaikan kuasa ke roda hadapan.
Ini membolehkan Proton S70 i-GT 1.5L Lite dijual pada harga atas jalan RM59,800, manakala varian Prime pula dijual pada harga RM62,800. Sempena pelancarannya, Proton turut menawarkan rebat sebanyak RM3,000 untuk kedua-dua varian bagi pelanggan yang mendaftarkan kereta mereka sebelum 31 Disember 2026, menjadikan S70 Lite dijual pada harga bermula RM56,800, manakala S70 Prime pula dijual pada harga RM59,800.
Jadi harga yang ditawarkan ini tidak jauh lari dari Persona di mana pada versi facelift kali terakhir, ia dijual pada harga bermula RM45k hingga RM55k.
Dengan menggantikan Persona dengan S70, pastinya isu ‘kehenseman’ terus bukan menjadi masalah. S70 merupakan sebuah sedan asli yang dibina dengan bumbung yang rendah dan badan yang lebar, memberikan stance yang nampak jauh lebih gagah dari Persona.
Malah secara tidak langsung, pembeli S70 Lite dan Prime menerima kabin yang lebih luas berbanding Persona. Sebagai perbandingan, S70 menampilkan dimensi ukuran panjang 4,602 mm, lebar 1,809 mm, tinggi 1,466 mm dan jarak antara roda sejauh 2,627 mm, manakala Persona pula direka dengan ukuran panjang 4,366 mm, lebar 1,722 mm, tinggi 1,554 mm dan jarak roda sejauh 2,555 mm.
Malah saiz S70 ini juga lebih besar dari saingan-saingan terdekat. Ia adalah 8 mm lebih panjang, 61 mm lebih lebar serta jarak roda 27 mm lebih jauh berbanding Honda City, manakala berbanding Toyota Vios pula Proton S70 ini adalah 177 mm lebih panjang, 69 mm lebih lebar serta jarak roda 7 mm lebih jauh.
Pada bahagian luar S70 Lite dan Prime masih kekal nampak seperti varian-varian 1.5TD, tetapi diberikan gril hadapan hitam sepenuhnya tanpa kemasan krom pada pin dan kemasan perak pada pada bar atas serta ‘busur panah’ di bawah. Kedua-duanya juga tidak diberikan bar lampu yang merentangi penutup but belakang.
Perbezaan paling ketara bagi varian Prime ini adalah pemadanan rim aloi 17-inci dengan tayar Giti GitiComfort F22 bersaiz 205/50R17, berbeza dengan varian Lite yang menerima rim aloi 16-inci dengan tayar Giti sama bersaiz 205/55R16. Varian Prime ini juga boleh kita kenal menerusi pemadanan penderia parkir hadapan, dan juga cermin sisi auto-lipat.
Varian Prime ini juga hadir dengan lampu hadapan LED dengan lampu isyarat membelok menggunakan mentol, serta diberikan fungsi sistem lampu follow me home. Lima warna badan ditawarkan untuk kedua-dua S70 i-GT 1.5 NA Lite dan Prime ini iaitu Quartz Black, Space Grey, Snow White, Marine Blue dan Armour Silver.
Masuk ke kabin, anda akan dapati hampir semua kemewahan dari S70 Turbo dibawa ke S70 Prime ini. Papan pemukanya menerima balutan pad lembut dengan tekstur dan bahagian lapisan atas dengan getah lembut. Ia juga menerima perapi-perapi kemasan perak yang nampak premium.
Pemandu akan dapat rasa duduk dikerusi yang direka dengan posisi pemanduan yang baik, bukan ‘tertenggek’ seperti kebanyakkan sedan segmen-B, roda stereng yang dibalut leatherette serta boleh dilaras bukan sahaja atas dan bawah, malah larasan teleskopik ke hadapan dan belakang boleh juga boleh dibuat (rasanya ini satunya-satunya model bawah RM60k di Malaysia yang diberikan larasan stereng teleskopik) bagi memberikan posisi yang sempurna, dan juga perehat tangan serta pemegang pintu yang diberikan balutan sentuhan lembut bagi membolehkan siku tangan kiri dan kanan dapat direhatkan dengan selesa.
Untuk pemandu atau penumpang wanita, ruang storan di bawah konsol gear ala-Volvo yang besar pada S70 ini tentunya sangat membantu untuk meletakkan beg tangan dengan selamat. Manakala penumpang belakang juga menerima tempat yang selesa – ia cukup lebar untuk menempatkan tiga orang dewasa dengan selesa, perehat belakang dengan kecondongan yang baik untuk berehat serta bahagian bawah yang menyokong sepenuhnya peha ketika duduk. Namun untuk varian NA, tempat duduk belakang ini tidak menerima perehat kepala boleh laras serta perehat tangan di tengah yang boleh dilipat.
Perincian-perincian lain yang turut diberikan dalam kabin S70 Prime ini termasuk upholsteri leatherette hitam (hanya fabrik untuk Lite) skrin infotainmen lapan-inci yang sama, dilengkapi Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, semua tingkap datang dengan fungsi Auto turun/naik dan Anti Trap, brek parkir elektrik (EPB), cruise control dan kamera undur.
Bahagian dalaman Proton S70 Prime ini juga diberikan beberapa kelengkapan yang sukar untuk kita jumpa pada model-model lain dengan harga dibawah RM60k, antaranya brek parkir elektrik (Honda City RS yang berharga RM100k pun masih pakai brek tangan manual) serta corong penghawa dingin belakang yang direka dengan cantik, yang turut disertakan port USB-A dan USB-C siap poket untuk meletakkan telefon pintar yang sedang dicas.
Ia turut hadir dengan butang penghidup enjin, serta sistem kemasukan tanpa kunci di mana enjin turut boleh dihidupkan menggunakan kunci kawalan jarak jauh. Namun ada juga perincian yang penulis rasa ia perlu dipertingkatkan iaitu paparan instrumen – tiada masalah pun menggunakan instrumen fizikal, namun skrin pelbagai informasi (MID) di tengah rasanya dah perlu ada warna seperti yang diberikan pada Proton Persona sebelum ini.
Untuk keselamatan pula, kedua-dua S70 Lite dan Prime ini dibekalkan dengan enam-beg udara, kamera undur, penderia parkir belakang, pengingat tempat duduk belakang serta beberapa sistem bantuan pemanduan termasuk pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan tukar lorong, amaran buka pintu dan amaran pelanggaran belakang.
Pakej keselamatan yang diberikan ini agak baik, tapi penulis rasakan ia masih perlu ada brek kecemasan automatik (AEB) di hadapan. Perodua Myvi dah pun menerima ciri ini sejak 2017, malah Saga MC3 Premium yang lebih murah juga dah ada AEB.
Jadi adakah gandingan enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT ini membuatkan S70 ini tak cukup kuasa? Pertama sekali anda perlu ingat, model asal S70 iaitu Geely Emgrand bukanlah direka sebagai sebuah sedan segmen C, sebaliknya ia merupakan model dalam kelas segmen B+, iaitu segmen-B yang lebih besar dari biasa. Dan Emgrand memang tiada varian dengan enjin turbo di mana-mana pasaran sekalipun.
Bila pedal pendikit mula ditekan, kereta mula bergerak dengan lancar. Enjin memberikan tujahan yang baik, dan kuasa dipindahkan ke kotak gear CVT menerusi torque converter dengan begitu lancar tanpa ada rasa jerking atau tersengguk-sengguk.
Tiada masalah untuk kereta ini untuk mengikut trafik dalam bandar yang kadang kala laju, kadang-kala perlahan, kadang kala terberhenti terus dan jalan kembali. Malah ketika cruising di lebuhraya dalam kelajuan 110 km/j, nisbah gear yang lebar pada kotak gear CVT ini membolehkan enjin ‘tenang’ berputar pada kilasan sekitar 2,100 rpm. Di tambah pula dengan kabin S70 ini yang memang kedap bunyi, pemanduan memang benar-benar selesa, jauh lebih selesa dari Proton Persona.
Ini juga memberikan penggunaan bahan api yang agak baik di mana kami mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 7L/100km sepanjang perjalanan dalam laluan bercampur trafik sesak, lebuh raya dan jalan lama dari Shah Alam ke Sekinchan dalam sesi pandu uji ini.
Namun ada perkara ‘tak sedap’ berlaku sekiranya anda memerlukan pecutan secara tiba-tiba, misalnya mahu memotong. Apabila pedal pendikit terus di tekan ke lantai, meter RPM terus naik mencanak dan enjin meraung, tapi, meter kelajuan pula kelihatan amat berat untuk naik.
Pada ketika ini baru boleh dapat rasa kuasa dari enjin agak kecil untuk sebuah sedan dengan berat sekitar 1.2 tan. Manakala untuk kotak gear pula, ia terasa seperti kotak gear CVT era 2010 dulu di mana ‘rubber band effect‘ begitu terasa, dan langsung tiada rasa ‘step’ tukaran gear. Malah kalau anda guna mod manual pada tombol gear sekali pun, masih tiada rasa ‘gear maya’ seperti transmisi CVT terkini yang lain.
Tiga mod pemanduan iaitu Eco, Comfort dan Sport masih lagi diberikan, dan penulis rasa mod Sport memang membuatkan kereta ini terasa sedikit ‘ringan’ ketika memecut. Namun mod ini kurang selesa untuk digunakan dalam trafik biasa kerana putaran enjin akan sentiasa bersedia sekitar 1,500 rpm untuk memberikan terjahan lebih cepat.
Apa yang menjadi masalah, dan masalah ini penulis sudah suarakan sejak versi turbo tiga selinder lagi adalah ketiadaan suis fizikal khas untuk tukaran mod pemanduan ini. Pemandu perlu slide skrin infortainmen ke bawah, kemudian barulah keluar pelbagai suis kawalan maya, termasuk mod pemanduan.
Bayangkan anda sedang memandu di jalan dua lorong, nak memotong lori di hadapan, perlu slide skrin dulu baru terkial-kial cari mod Sport, barulah boleh mula memotong. Dah selesai memotong, rasa jerking bila pandu tak laju guna mod Sport, nak tukar ke mod Comfort kena slide lagi skrin. Kan mudah kalau ada satu butang mod sebelah tombol gear atau roda stereng kan?
Kami difahamkan bahawa Proton tidak membuat sebarang talaan semula terhadap suspensi versi NA ini, dan ia masih sama seperti pada varian-varian dengan enjin turbo. Dan penulis sendiri akui memang sama. Jadi talaan suspensi yang diberikan adalah tertumpu pada aspek keselesaan, bukan prestasi pemanduan.
Namun ini bukan bererti S70 sebuah sedan yang terasa membuai. Ia masih lagi sangat stabil pada permukaan jalan raya yang beralun, dan olengan badan juga tidaklah rasa begitu terasa ketika mengambil selekoh. Cuma rasa dinamik seperti respon stereng sewaktu membelok dan kelincahan menukar arah tidaklah begitu baik. Malah rasa stereng itu sendiri yang terlalu ringan dan ‘kaku’ membuatkan pemandu tidak dapat merasai keadaan jalan raya.
Kesimpulannya kalau anda nak prestasi atau sebuah sedan yang seronok dipandu, S70 NA bukanlah keretanya, malah Persona generasi kedua dan juga Saga MC3 adalah lebih baik untuk aspek ini. Tetapi sekiranya anda mahukan sebuah sedan yang luas dan selesa untuk pengangkutan keluarga setiap hari dan juga untuk perjalanan jauh, harga yang ditawarkan oleh Proton S70 ini boleh dikatakan sangat-sangat berbaloi.
Penulis rasa model ini bukan hanya akan menggugat jualan Honda City dan Toyota Vios sahaja, malah untuk yang merancang membeli Perodua Myvi atau Perodua Bezza juga mungkin boleh berpaling dan menuju ke bilik pameran Proton untuk melihat S70 Lite dan Prime ini.














Proton S70
dari RM59,800
Proton X90
dari RM106,800
Proton eMas 7 PHEV
dari RM109,800
Proton X70
dari RM106,800
Proton Saga
dari RM38,990
Proton eMas 5
dari RM59,800
Proton X50
dari RM89,800
Proton eMas 7
dari RM103,800