Honda City 2026 dilancar di M’sia – imej luaran baharu, naiktaraf spesifikasi, waranti 8-tahun; dari RM90k-112k

Selepas beberapa kali ditampilkan dalam siri jelajah di Putrajaya dan Pantai Timur, akhirnya Honda Malaysia 2026 dilancarkan secara rasmi di pasaran tempatan. Merupakan kemas kini kedua untuk City generasi keempat, yang sudah berusia enam tahun sejak diperkenalkan, City versi facelift juga telah dibuka tempahan akhir Ogos lalu.

Buat masa ini, Honda Malaysia memperkenalkan barisan City sedan terlebih dahulu memandangkan ia masih kekal relevan, terutama dengan persaingan daripada jenama China yang semakin sengit.

Harga atas jalan tanpa insurans untuk barisan City 2026:

  • City 1.5L E – RM89,900
  • City 1.5L V – RM94,900
  • City 1.5L RS – RM99,900
  • City 1.5L e:HEV RS – RM111,900

Ia turut didatangkan dengan waranti lapan-tahun tanpa had perbatuan dan lima kali servis buruh percuma, yang kini turut ditawarkan untuk semua model Honda petrol dan hibrid berkuatkuasa 1 Sept 2026. Bagi model e:HEV, ia masih dikekalkan dengan waranti 10-tahun untuk kompenan hibrid.

Bagi City 2026, hanya dimensi panjang luarannya sahaja yang berubah di mana versi bukan RS kini berukuran 4,577 mm panjang, iaitu tiga mm lebih pendek berbanding model sebelumnya. Manakala versi RS baharu pula berukuran 4,594 mm iaitu lima mm lebih panjang berbanding versi 2023. Selain itu, lebarnya kekal pada 1,748 mm, manakala ketinggiannya ialah 1,467 mm. Begitu juga dengan kapasiti ruang but, yang menawarkan 519 liter bagi varian petrol dan 410 liter bagi varian e-HEV.

Honda City 2026 dilancar di M’sia – imej luaran baharu, naiktaraf spesifikasi, waranti 8-tahun; dari RM90k-112k

Untuk barisan City sedan 2026 ini,perubahan paling jelas dapat dilihat pada bahagian hadapan yang kini tampil lebih tajam, dengan lampu utama LED lebih nipis (dari jenis projektor bi-LED, seperti pada RS) serta lampu nyalaan siang (DRL) yang lebih menonjol. Bagi varian lebih tinggi, kedua-dua elemen ini disambungkan oleh jalur lampu merentasi gril hadapan yang turut direka semula dengan bentuk lebih kecil.

Bampar hadapan turut direka semula dengan salur udara tengah berbentuk menurun bagi kebanyakan varian, manakala RS mendapat reka bentuk salur udara yang menghala ke atas. Manakala varian bukan RS hadir dengan gaya ke bawah yang kurang menarik, diapit oleh elemen tirai udara yang kelihatan agresif warna hitam.

Elemen ‘unibrow’ yang sebelum ini hadir dalam kemasan krom atau hitam berkilat pula kini menggunakan warna badan untuk penampilan lebih kemas. Ia juga ditampilkan dengan logo ‘H’ baharu yang kini dengan rekaan 2D (lebih kurang sama seperti Prelude). Walau bagaimana pun, bagi varian e:HEV, lencananya tidak lagi hadir dengan elemen perincian biru yang biasa digunakan untuk membezakan model hibrid Honda.

Untuk varian V dan RS, ia diberikan kemasan hitam pada perumah cermin sisi dan pemegang pintu, sama seperti Civic RS. Ia turut menerima rim 16-inci baharu dengan reka bentuk seakan turbin dalam warna Berlina Black dengan tayar Toyo Proxes R57 bersaiz 185/55. Manakala varian E masih kekal dengan roda aloi 15-inci yang dibaluti tayar 185/60.

Kesemua varian City 2026 turut tidak diberikan tayar simpanan kerana Honda Malaysia berpendapat ia lebih selamat dan cepat bila menggunakan kit baiki tayar. Tetapi jika tayar alami kerosakan yang lebih serius, pemilik kenderaan boleh menghubungi bantuan trak tunda 24/7 untuk ke kedai tayar berhampiran.

Di bahagian belakang, rekaan baharu ini masih membuatkan ia mudah dikenali sebagai City generasi GN, khususnya menerusi lampu berbentuk trapezium yang mengapit ruang nombor pendaftaran pada penutup but. Berbeza dengan model di Thailand dan India yang menggunakan lampu belakang jernih bagi varian lebih tinggi, City untuk pasaran Malaysia masih mengekalkan lampu belakang berwarna merah untuk semua varian. Untuk RS, walaupun rekaan lampu belakangnya masih sama, namun ia diberikan perumah “albino” jernih, dengan bahagian dalamnya menggabungkan elemen jernih dan hitam — warna merah hanya akan kelihatan ketika lampu menyala.

Bampar belakang telah menerima rekaan semula dan hadir dengan bahagian tengah “berjaring” ala gril hitam, kemasan ala diffuser, rekaan “gading” berkembar dan reflektor menegak. Selain itu, banyak elemen hitam ditampilkan termasuk pada sambungan spoiler but, pemegang pintu, antena sirip jerung dan penutup cermin sisi. Manakala bahagian belakang City RS boleh dikatakan mirip dengan apa yang ditampilkan pada Civic RS.

Walaupun bahagian luaran diberikan perubahan besar, kabin City facelift ini secara asasnya masih mengekalkan susun atur sedia ada. Bagi varian RS, kemasan papan pemuka ditukar dari kemasan merah sepenuhnya sebelum ini kepada kemasan perak dan permukaan bertekstur dengan garisan perincian merah. Ia juga menerima ciri pencahayaan ambien dengan rona merah untuk RS dan biru bagi varian V.

Honda City 2026 dilancar di M’sia – imej luaran baharu, naiktaraf spesifikasi, waranti 8-tahun; dari RM90k-112k

Varian E masih kekal dengan unit utama Display Audio bersaiz lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay berwayar. Namun varian V dan ke atas menerima skrin sentuh infotainmen 10-inci baharu yang lebih besar dengan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Skrin ini turut dilengkapi dengan sistem kamera 360-darjah yang telah ditambah ke atas City awal tahun ini, yang turut dikemas kini dengan sudut berbilang pandangan serta ciri pengesanan objek bergerak.

Sebuah suis telah ditambah pada hujung tuil di kiri stereng untuk membolehkan pengguna mengalih paparan dan melihat semua sudut. Sedikit pemerhatian tentang skrin sentuh terapungnya — kejelasan visual unit adalah sangat baik, tetapi sudutnya terasa agak terlalu condong.

Sementara itu, balutan tempat duduk bagi RS juga telah diperbaharui dan tiada lagi jahitan tengah di tempat duduk hadapan versi facelift sebelumnya, dan kini tampil lebih ringkas, serta permukaan kontras kemerahan bahagian tengahnya telah dipindahkan ke sisi.

Kemaskini lain yang dilakukan kali ini termasuklah varian e:HEV RS kini menerima pengecas peranti tanpa wayar baru yang terletak di bahagian hadapan konsol tengah. Bagaimanapun, pedal sport pada versi RS baru ini telah ditukar melibatkan dua bahagian dan tiada lagi tempat letak kaki aloi sebelum ini. Honda City facelift 2026 spesifikasi Malaysia juga tidak menerima tempat duduk berliang atau bumbung suria yang diberikan untuk pasaran lain.

Dari segi keselamatan, City facelift akan terus dilengkapi dengan Honda Sensing sebagai fungsi standard. Suit bantuan pemandu termasuk ciri brek kecemasan autonomi, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go (eksklusif untuk e:HEV RS), bantuan ke tengah lorong, penghindar keluar jalan, amaran pergerakan hadapan serta lampu tinggi automatik.

Ciri yang baru ditambah untuk model facelift 2026 ini ialah pemantauan titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang, dan ini berfungsi dengan kamera LaneWatch sedia ada – masih boleh diakses dari tuil di sebelah kanan stereng — yang kini memberikan amaran kepada pemandu di kedua-dua sisi (kamera untuk sebelah kiri, peninjau titik buta untuk sebelah kanan).

Risalah spesifikasi Honda City 2026. Klik untuk besarkan

Untuk rangkaian kuasa, City facelift meneruskan dua pilihan enjin seperti model semasa. Varian petrol akan menampilkan enjin empat-silinder L15Z 1.5 liter DOHC i-VTEC yang biasa, menawarkan 121 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm pada 4,300 rpm serta digandingkan dengan Earth Dreams CVT.

Begitu juga dengan sistem i-MMD untuk versi hibrid e:HEV masih tidak berubah. Sistem ini terdiri daripada motor elektrik utama dengan janaan 109 PS dan 253 Nm, yang menyediakan pacuan melalui transmisi kelajuan tunggal, dengan versi kitaran Atkinson bagi enjin 1.5 liter yang bertindak sebagai penjana untuk mengecas semula bateri. Enjin ini menjana sebanyak 98 PS dari 5,600 hingga 6,400 rpm dan 127 Nm antara 4,500 dan 5,000 rpm, hanya akan membantu pacuan kuasa secara langsung ketika berada di kelajuan yang lebih tinggi.

Sekali lagi, barisan City facelift 2026 ini diberikan pilihan varian E yang berharga dari RM89,900, V (dari RM94,900), Petrol RS (dariRM99,900) dan hibrid e:HEV RS (dari RM111,900). Untuk warna luarannya pula, ia didatangkan dengan pilihan Blazing Red Pearl dan Platinum White Pearl yang kedua-duanya dikenakan kos tambahan sebanyak RM400, serta Meteroid Gray Metallic dan Stellar Diamond Pearl.

Sempena dengan ulangtahun ‘kelahiran’ City yang ke-24, Honda Malaysia turut menawarkan Program Ganjaran City Istimewa bernilai RM3,000 untuk 2,400 pembeli pertama sama ada pemilik baharu atau sedia ada mana-mana model Honda, yang naiktaraf ke City baharu dan juga penjawat awam.

Senarai pakej aksesori/Modulo Honda City sedan 2026. Klik untuk besarkan

GALERI: Honda City e:HEV 2026

GALERI: Honda City RS 2026

GALERI: Honda City 2026 dengan kit Modulo