Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah telah mengeluarkan 4,447 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dilaksanakan mulai 17 Jun 2026 sehingga 30 September 2026.
Dalam tempoh itu juga, sebanyak 164 buah kenderaan telah disita dan daripada jumlah tersebut, ia melibatkan 128 unit motosikal, 28 unit kereta dan lapan unit kenderaan lain.
Ini termasuklah Ops Khas Gempur PEWA yang dilaksanakan antara 28 Sept hingga semalam. Dalam tempoh tiga hari tersebut sebanyak 115 unit kenderaan telah diperiksa, dengan 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Selain itu, sebanyak 16 unit kenderaan telah disita, yang melibatkan pemandu warga Rohingya. Antara kesalahan utama yang dikesan sepanjang pelaksanaan operasi tersebut adalah memandu tanpa lesen memandu yang sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan yang telah tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans yang sah.
“Selain tindakan terhadap pemandu warga asing, JPJ Kedah turut memberi perhatian kepada pemilik kenderaan warganegara Malaysia yang membenarkan warga asing memandu kenderaan milik mereka tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” kata JPJ Kedah menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Antara kesalahan yang turut dikesan ialah membenarkan seseorang memandu tanpa lesen memandu yang sah, membenarkan kenderaan digunakan dengan LKM atau cukai jalan yang telah tamat tempoh serta membenarkan kenderaan digunakan tanpa perlindungan insurans yang sah atau telah tamat tempoh.
Dalam masa yang sama, JPJ Kedah turut menegaskan bahawa pemilik kenderaan tidak boleh mengambil mudah atau menyerahkan kenderaan mereka kepada mana-mana individu untuk dipandu tanpa memastikan segala keperluan undang-undang dipatuhi.
“Tanggungjawab memastikan pemandu dan kenderaan mematuhi peraturan bukan hanya terletak kepada pemandu, malah turut melibatkan pemilik kenderaan. Penguatkuasaan ini merupakan langkah berterusan JPJ Kedah bagi memastikan semua pemandu, termasuk warga asing yang menggunakan kenderaan di jalan raya, mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.
“JPJ Kedah turut mengingatkan pemilik kenderaan supaya memastikan mana-mana individu yang diberikan kebenaran untuk memandu kenderaan mereka mempunyai lesen memandu yang sah, manakala kenderaan yang digunakan mempunyai LKM dan perlindungan insurans yang mash berkuat kuasa. Kegagalan mematuhi peraturan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pada masa yang sama boleh meningkatkan risiko kepada keselamatan pemandu, penumpang serta pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya.
Sehubungan dengan itu, JPJ Kedah akan terus mempergiatkan operasi secara berfokus dan berterusan di seluruh negeri bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang serta memastikan aspek keselamatan dan ketertiban di jalan raya sentiasa diberi








