Harga minyak 1-7 Okt – petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun 5 sen, diesel turun 15 sen

Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi tempoh 1 hingga 7 Oktober 2026, harga runcit bagi petrol RON 97 diturunkan sebanyak 5 sen seliter, menjadi RM5.00 seliter.

Begitu juga RON95 tanpa subsidi yang diturunkan sebanyak 5 sen seliter, menjadi RM4.52 seliter. Walau bagaimana pun, harga bersubsidi di bawah program Budi95 tetap dikekalkan pada RM1.99 seliter. Untuk Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), ia masih ditetapkan pada harga RM2.05 seliter.

Manakala harga diesel tanpa subsidi pula diturunkan sebanyak 15 sen seliter, menjadi RM5.27 seliter. Walau bagaimana pun, diesel di bawah program subsidi Budi Diesel masih berharga RM2.10 seliter. Bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula, ia masih ditetapkan pada RM2.15 seliter.

Semua harga runcit yang dinyatakan ini berkuatkuasa pada 12 tengahmalam ini (1 Oktober) sehingga jam 11.59 malam pada 7 Oktober 2026. Ini merupakan edisi ke-41 bagi format harga minyak mingguan untuk tahun 2026, dan yang ke-344 secara keseluruhan sejak format ini diperkenalkan pada tahun 2019.

Mulai 1 September lalu, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa had kelayakan asas bulanan Budi95 telah dinaikkan semula kepada 300 liter. Manakala pengguna diesel pula mendapat peningkatan dengan had penggunaan keseluruhan bagi pemilik trak pikap dan jip daripada 300 liter kepada 400 liter.