Selepas membuat kemunculan di empat lokasi sekitar Lembah Klang, Honda City facelift 2026 kini meneruskan jelajah pra-pelancaran ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Jelajah yang meliputi Terengganu, Kelantan dan Pahang itu bermula hari ini, 8 September, memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat sendiri sedan segmen-B berkenaan sebelum pelancaran rasminya.
Di Terengganu, City facelift akan dipamerkan di KTCC Mall, Kuala Terengganu hari ini, sebelum bergerak ke Aeon Mall Kota Bharu pada 11 dan 12 September. Jelajah kemudian diteruskan ke Pahang dengan kunjungan ke East Coast Mall, Kuantan pada 15 September dan Semantan Walk, Temerloh pada 16 September. Kesemua lokasi dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Diperkenalkan di India pada Mei lalu sebelum membuat kemunculan sulung ASEAN di Thailand sebulan kemudian, model ini merupakan facelift kedua untuk City generasi kelima. Model dengan kod casis GN2 itu mula dipasarkan di Malaysia pada Oktober 2020, sebelum menerima kemas kini pertama yang lebih ringkas pada Ogos 2023.
Untuk facelift kedua ini, perubahan paling ketara dapat dilihat pada bahagian hadapan yang menjadikan City hampir tidak dikenali berbanding model sebelumnya. Ia kini menerima lampu utama lebih nipis dengan projektor bi-LED, seperti ditampilkan pada varian RS, yang digabungkan dengan reka bentuk ‘mask’ nipis dan bampar baru. Logo H pula diletakkan pada panel di atas gril.
Bagi varian RS, jalur cahaya yang menghubungkan lampu nyalaan siang LED turut menjadi ciri baru. Bahagian sisi dan belakang pula masih mengekalkan bentuk asas yang dikenali pada City sebelum ini, namun RS mendapat lampu belakang dengan kemasan jernih, selain bampar baru yang lebih agresif serta elemen hitam yang lebih banyak, seakan Civic RS.
Melengkapkan perubahan luaran ialah rim aloi 16 inci baru dengan rekaan seperti turbin dan kemasan dua tona. Ia dipadankan dengan tayar Toyo Proxes R57 berukuran 185/55. Secara keseluruhan, perubahan tersebut memberikan penampilan yang lebih sporty kepada City, khususnya pada varian RS yang menerima lebih banyak kemasan berwarna hitam.
Masuk ke dalam, papan pemuka asas GN2 masih dikekalkan, tetapi kemasan pada varian RS kini menggunakan permukaan perak bertekstur dengan jalur merah, menggantikan kemasan serba merah pada model sebelum ini. Lampu suasana turut disediakan, manakala perubahan paling mudah dilihat ialah skrin sistem infotainmen baru berukuran 10 inci yang lebih besar dan ditawarkan bermula daripada varian V.
Skrin baru itu turut menjadi sebahagian daripada sistem kamera 360 darjah yang diperkenalkan pada City awal tahun ini. Sistem tersebut kini menerima interface baru dengan pilihan pelbagai sudut pandangan serta pengesanan objek bergerak. Pemandu boleh menukar paparan kamera melalui suis pada hujung tangkai kawalan di sebelah kiri stereng.
Tempat duduk varian RS juga menerima sedikit perubahan. Jalur tengah pada tempat duduk hadapan yang digunakan pada facelift sebelum ini telah dibuang, manakala permukaan berliang dengan kemasan merah pada bahagian tengah tempat duduk kini dialihkan ke bahagian sisi. Hasilnya, reka bentuk kerusi kelihatan lebih ringkas berbanding sebelumnya.
Bagi City e:HEV RS, pengecas telefon tanpa wayar baru turut disediakan. Bagaimanapun, Honda mengubah pedal sport kepada reka bentuk dua keping berbanding tiga keping sebelum ini, menyebabkan tempat rehat kaki dengan kemasan aloi tidak lagi ditawarkan.
Dari aspek keselamatan, City facelift masih menawarkan Honda Sensing sebagai kelengkapan standard untuk semua varian. Ini membezakannya daripada beberapa model nasional yang biasanya hanya menyediakan sistem bantuan pemanduan penuh pada varian tertinggi. Antara ciri yang tersedia termasuk brek kecemasan autonomous, adaptive cruise control, bantuan kekal di tengah lorong, mitigasi keluar jalan, amaran kenderaan di hadapan dan lampu tinggi automatik.
City 2026 turut mendapat sistem pemantauan titik buta bersama amaran lintasan trafik belakang sebagai ciri baru. Fungsi ini digabungkan dengan kamera LaneWatch sedia ada yang masih boleh diaktifkan melalui tangkai kawalan di sebelah kanan stereng, sekaligus memberikan pemantauan pada kedua-dua sisi kenderaan. Bahagian kiri menggunakan paparan kamera, manakala sebelah kanan menggunakan sistem pemantauan titik buta konvensional.
Tiada perubahan dibuat pada aspek mekanikal. Model petrol masih menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC empat silinder yang menghasilkan 121 PS pada 6,600 rpm dan tork maksimum 145 Nm pada 4,300 rpm. Enjin L15Z tersebut dipadankan dengan transmisi CVT Earth Dreams seperti sebelum ini.
Sistem hibrid i-MMD pada varian e:HEV juga kekal sama. Ia menggunakan motor elektrik utama yang menghasilkan 109 PS dan tork 253 Nm, dengan kuasa dihantar melalui transmisi satu kelajuan. Enjin 1.5 liter kitaran Atkinson pula berfungsi sebagai penjana untuk mengecas bateri, selain boleh disambungkan secara mekanikal bagi memacu roda ketika kenderaan bergerak pada kelajuan lebih tinggi.
Ketika ini, Honda City ditawarkan dalam lima varian iaitu S, E, V, RS dan e:HEV RS. Bagaimanapun, terdapat kemungkinan rangkaian tersebut akan dikurangkan kepada empat varian untuk model facelift. Memandangkan kedua-dua RS petrol dan e:HEV RS sudah ditampilkan dalam acara pratonton di Lembah Klang, salah satu varian petrol yang lain berkemungkinan digugurkan.
Honda masih belum mendedahkan harga City facelift 2026 buat masa ini. Sebagai rujukan, model semasa berharga RM84,900 untuk S, RM89,900 bagi E dan RM94,900 untuk V, manakala RS petrol berharga RM99,900 dan e:HEV RS dijual pada harga RM111,900. Untuk makluman, City Hatchback hanya akan menerima facelift ini pada masa akan datang.











Honda City
dari RM89,900
Honda WR-V
dari RM94,900
Honda Prelude
dari RM278,000
Honda HR-V
dari RM115,900
Honda e:N1
dari RM149,900
Honda Civic
dari RM133,900
Honda City Hatchback
dari RM85,900
Honda CR-V
dari RM178,200
Honda Civic Type R
dari RM399,900
mungkin saya beli kereta city lama ke2 secondhand di kedai kereta lama atau carro