Rapid KL telah mengumumkan bahawa operasi perkhidmatan rel akan bermula lebih awal di stesen-stesen terpilih pada 3 dan 4 Oktober 2026 bagi memudahkan peserta serta orang ramai menuju ke Dataran Merdeka sempena acara larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026.

Pembukaan awal waktu operasi ini melibatkan stesen-stesen terpilih bagi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Kelana Jaya, serta MRT Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya. Perkhidmatan tren akan bermula seawal 4 pagi pada Sabtu, (3 Oktober) dan 1.45 pagi pada Ahad (4 Oktober).

“Sepanjang tempo perkhidmatan khas ini, kekerapan tren bagi Laluan Ampang/Sri Petaling dan Kelana Jaya adalah setiap 15 minit manakala Laluan Kajang dan Putrajaya pula adalah setiap 20 minit. Peserta yang menggunakan perkhidmatan rel Rapid KL dalam tempoh yang ditetapkan oleh penganjur acara juga boleh menikmati perjalanan tanpa caj tambang sehingga jam 6 pagi,” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Stesen-stesen yang terlibat dalam pembukaan awal waktu operasi adalah seperti berikut:

LRT Ampang/Sri Petaling, KJ dan MRT Kajang, Putrajaya beroperasi mulai 4 pg pada 3 Okt, 1.45 pagi pada 4 OktLRT Ampang/Sri Petaling, KJ dan MRT Kajang, Putrajaya beroperasi mulai 4 pg pada 3 Okt, 1.45 pagi pada 4 Okt

Tambah Rapid KL, peserta yang menuju ke lokasi acara di Dataran Merdeka, disarankan menggunakan Stesen Masjid Jamek, Stesen Bandaraya atau Stesen Pasar Seni.

“Bagi pengguna yang memandu ke stesen, boleh menggunakan kemudahan Park N’ Ride yang disediakan di stesen-stesen terpilih sebelum meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan rel Rapid KL. Semua stesen yang terlibat dalam perkhidmatan khas ini akan kembali beroperasi mengikut jadual perkhidmatan hari minggu biasa mulai jam 6 pagi,” sambungnya lagi.

Rapid KL menggalakkan peserta dan orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal memandangkan pelbagai acara besar turut berlangsung di sekitar Lembah Klang pada hujung minggu ini, yang dijangka meningkatkan jumlah pergerakan orang ramai di beberapa kawasan.

Walau bagaimana pun, menurut penganjur program larian berskala besar ini, pihaknya akan memaklumkan status penganjuran KLSCM 2026 pada jam 4 petang ini menerusi laman media sosial rasmi mereka, memandangkan jerebu masih rancak ‘menyerang’ Malaysia akibat pembakaran terbuka di Kalimantan, Indonesia.