Baru malam tadi Proton melancarkan model kemaskini MC2 bagi sedan S70, di mana model tersebut kini hadir dengan dua varian lebih ‘Rahmah’ yang digerakkan oleh enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT, dijual pada harga bawah RM60k. Sebenarnya barisan model S70 MC2 ini masih belum lengkap, kerana varian-varian dengan enjin turbo turut akan mendapat peningkatan, dan apa yang anda lihat merupakan adalah unit prototaip yang sedang diuji di atas jalan raya.
Gambar yang anda lihat ini ditangkap sendiri oleh salah seorang ‘bos’ kami di paultan.org iaitu Harvinder Singh ketika melalui Lebuhraya Kesas pagi tadi. Ini sebenarnya bukan kali pertama unit prototaip tersebut ditemui, malah Proton sudah dilihat menguji model tersebut lebih sebulan yang lalu.
Bagi kemaskini terbaharu ini, Proton S70 dengan enjin turbo dijangka akan menampilkan penyegaran rupa yang lebih besar bagi membezakan versi lebih berkuasa ini dengan varian-varian yang digerakkan oleh enjin NA. Seperti yang boleh anda lihat, bahagian belakang unit ujian ini dilindungi oleh pelekat penyamaran hampir sepenuhnya.
Walau bagaimanapun masih dapat dilihat lampu belakang S70 facelift ini mungkin direka lebih nipis berbanding versi sedia ada. Malah menerusi imej-imej yang dilihat sebelum ini, lampu berkenaan turut menampilkan grafik LED berbeza dengan rekaan hampir seperti pada grafik LED lampu belakang Proton Saga MC3.
Manakala perbezaan paling jelas adalah pada bahagian di bawah bampar, di mana versi kemaskini sedan turbo ini akhirnya menyerlah dua tip ekzos berkembar, sama seperti yang diberikan pada SUV Proton X50.
Dalam beberapa imej sebelum ini turut kelihatan beberapa perubahan yang dibuat pada bahagian muka dan beberapa bahagian lain. Pada bahagian muka, lampu hadapan yang digunakan mungkin masih sama, tetapi boleh dilihat ia telah digelapkan pada sebelah dalam bagi memberikan rupa yang lebih garang.
Bampar hadapan juga nampaknya telah diperbaharui di mana pada bahagian sisi ia kini telah diberikan kemasan pengalir udara yang berlainan dan lebih besar. Untuk pembuka pintu, nampaknya versi facelift ini turut akan menerima suis kunci keyless pada sebelah penumpang hadapan.
Ada juga unit prototaip yang mengenakan rim aloi rekaan baharu, serta menyerlahkan angkup brek di sebaliknya yang telah dilayangkan dengan warna merah.
Berkemungkinan besar rekaan facelift kali ini dibuat sepenuhnya oleh Proton. Ini kerana kembar S70 di China iaitu Geely Emgrand masih belum menerima perubahan rupa yang menyeluruh, dan ia telah pun digantikan dengan Emgrand generasi baharu.
Ada kemungkinan juga versi facelift untuk S70 turbo ini akan menampilkan rekaan papan pemuka baharu yang turut direka oleh Proton sendiri. Ini tidak mustahil kerana Proton sememangnya telah mereka sendiri papan pemuka baharu untuk X50 facelift, dan rekaan tersebut kemudiannya turut diberikan kepada Geely Coolray pasaran Afrika Selatan dan juga pasaran Indonesia.
Bagi unit rangkaian kuasa, S70 pastinya akan terus menerima enjin 1.5 liter empat silinder turbo i-GT berkuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm yang baharu sahaja dikemaskini menerusi versi MC1 yang dilancarkan pada awal tahun ini. Enjin berkenaan digandingkan klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7-DCT membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat.
Dengan versi NA yang sudahpun dilancarkan, mungkin versi facelift untuk S70 turbo ini akan dilancarkan pada lewat tahun ini juga?











Proton S70
dari RM59,800
Proton X90
dari RM106,800
Proton eMas 7 PHEV
dari RM109,800
Proton X70
dari RM106,800
Proton Saga
dari RM38,990
Proton eMas 5
dari RM59,800
Proton X50
dari RM89,800
Proton eMas 7
dari RM103,800