PM arah MoT dan Rapid KL tangani isu kesesakan tren yang berulang serta cari penyelesaian untuk atasinya

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan (MoT) supaya memberi perhatian terhadap isu kesesakan penumpang tren dan mencari penyelesaian bagi menangani masalah tersebut dengan segera. Arahan itu dikeluarkan susulan aduan yang dimuat naik semalam di platform Threads oleh seorang pengguna yang dikenali sebagai siti.anisahj, berhubung kesesakan melampau di platform stesen tren, laporan New Straits Times.

Menerusi maklum balas terhadap hantaran tersebut, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mengarahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, serta pihak Rapid KL supaya meneliti isu berkenaan bagi memastikan penyelesaian segera dapat dilaksanakan.

“Wasalam. Saya mohon @myrapidkl dan @ministryoftransportmy @lokesiewfook ambil perhatian terhadap permasalahan ini dan cari penyelesaian segera. Kerap kali terjadi dan ia pastinya merencatkan rutin harian rakyat…,” balas beliau sekaligus telah menarik perhatian ramai, dengan meraih kira-kira 37,000 tanda suka, hampir 360 komen dan sekitar 2,200 perkongsian semula.

Terdahulu, pengguna Threads berkenaan, siti.anisahj, telah memuat naik beberapa keping gambar yang memaparkan kesesakan harian yang terpaksa dihadapi oleh pengguna perkhidmatan tren, khususnya di ibu negara.

“Assalamualaikum @anwaribrahim_my. Nak mintak gerabak train lebih sikit boleh? Hari2 begini. Drive jem, naik train full…”katanya.

PM arah MoT dan Rapid KL tangani isu kesesakan tren yang berulang serta cari penyelesaian untuk atasinya

Isu kesesakan dan gangguan perkhidmatan tren terus berlaku secara berkala, meskipun jumlah kerosakan tren yang dilaporkan pada tahun ini adalah lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pada 8 Oktober lalu, stesen MRT Bukit Bintang di Laluan Kajang mengalami kesesakan berikutan peningkatan mendadak jumlah penumpang, dengan keadaan tersebut berlarutan selama kira-kira tiga jam. Kesesakan itu turut memberi kesan kepada pengguna di stesen-stesen tren lain, termasuk stesen LRT Bangsar, sehingga menyebabkan ramai penumpang terkandas.

Insiden kecurian kabel turut menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada gangguan perkhidmatan tren. Pada 12 Oktober, perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit dilaporkan mengalami gangguan susulan dua kes kecurian kabel yang berlaku dalam tempoh beberapa jam di sepanjang laluan rel ke lapangan terbang. Kejadian itu menyebabkan penumpang terpaksa berdepan tempoh perjalanan yang lebih lama serta perubahan jadual perjalanan tren.

Pada 16 Oktober, satu cubaan mencuri kabel di Laluan MRT Kajang hingga menyebabkan bekalan kuasa terpaksa diputuskan atas faktor keselamatan, sekali gus menjejaskan jadual perjalanan tren pada waktu pagi. Sebelum itu, laluan yang sama turut mengalami insiden kecurian kabel berhampiran stesen Taman Equine pada 4 Oktober, yang menjejaskan perjalanan penumpang yang menuju ke Litar Antarabangsa Sepang sempena hari perlumbaan Formula 1 Bahrain GP di Malaysia.