Bersama dengan Falcon 180, Aveta Malaysia turut melancarkan Nova 200 Limited Edition untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM8,788 tidak termasuk insurans. Model ini hanya akan dikeluarkan terhad 1,688 unit dan menampilkan kemasan istimewa, membuatkan ia berbeza dengan Nova 200 biasa yang dilancarkan Jun lalu.
Paling jelas kelihatan adalah penggunaan warna kuning yang dipanggil sebagai Cyber Yellow bersama grafik yang tertulis Limited Edition, serta rim yang menggunakan warna emas. Melengkapkan penampilannya adalah rekaan penghadang angin kecil hadapan yang berbeza serta lencana yang menunjukkan nombor keluarannya (masih belum ditampal pada motosikal di dalam gambar).
Bahagian lain kekal seperti sebelum ini, bermula dengan enjin, iaitu unit satu silinder SOHC penyejukan cecair 183.3 cc bersama padanan transmisi automatik CVT, menghasilkan kuasa 18 hp pada 8,000 rpm dan tork 17.6 Nm pada 5,500 rpm. Enjin ini boleh dihidupkan dengan pemula elektrik, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 10 liter.
Skuter ini duduk di atas rim 14 inci dengan saiz tayar 100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, masing-masing dipegang oleh fork teleskopik dan dua penyerap hentak dengan tabung gas. Brek di kedua-dua roda adalah unit cakera, datang lengkap dengan sistem ABS dual-channel.
Ciri keselamatan ditambah lagi dengan sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup secara mudah melalui butang di bahagian kiri pemegang, manakala kemudahan lain yang disediakan adalah termasuk kunci pintar, poket barangan dengan soket pengecas USB C dan A serta ruang simpanan di bawah tempat duduk.
Selain panel badan yang nampak sporty, Nova 200 juga didatangkan dengan perincian berkonsep sama, seperti yang boleh dilihat pada tempat duduk serta motif lampu LED-nya. Informasi penting dipaparkan melalui meter digital LCD. Tiga warna ditawarkan untuk Nova 200 ini iaitu Neon, kelabu dan biru.
