Aveta Falcon 180 dilancar untuk pasaran M’sia – RM10k

Bersempena dengan acara Aveta Mega Gathering yang berlangsung di Setia City Convention Centre hari ini, Aveta Malaysia melancarkan sebuah model baru untuk pasaran Malaysia, iaitu Falcon 180. Ia dijual pada harga RM9,798 tidak termasuk insurans dan ditawarkan dalam pilihan warna Sahara Bronze, Alpine White dan Storm Grey.

Menggerakkan Falcon 180 ini adalah enjin sama seperti Vanguard 180 dan Viper 180, iaitu unit satu silinder SOHC 174 cc bersama padanan kotak gear automatik CVT, menghasilkan kuasa 18 hp pada 8,500 rpm dan tork 17.2 Nm pada 6,500 rpm.

Membawa konsep skuter adventure, Falcon 180 ini dilengkapi dengan fork USD di hadapan dan dua penyerap hentak dengan tabung gas di belakang, untuk memegang masing-masing rim aluminium 14 inci dan 13 inci. Tayar yang diberi dalam keadaan standard adalah daripada CST.

Informasi penting motosikal dipaparkan melalui skrin TFT tujuh inci dan ia juga boleh memainkan semula video yang dirakam melalui kamera yang diletakkan di hadapan. Pada bahagian keselamatan, ia dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman serta ABS dual-channel, yang mana kedua-duanya boleh ditutup menggunakan butang di bahagian kiri hendal.

Membantu aspek praktikaliti adalah ruang simpanan di bawah tempat duduk, poket barangan di bawah hendal lengkap dengan soket pengecas USB A dan C, kunci pintar serta tangki bahan api 14 liter. Turut disediakan adalah semua lampu jenis LED termasuk lampu kabus, penghadang angin boleh laras serta tapak untuk kotak barangan.

Tags: