Peugeot XP 400 turun RM10k – skuter 400 cc kini dari RM33,990, tambah RM2k untuk Adventure Package

Peugeot Motocycles Malaysia menyemak semula harga skuter adventure XP400 kepada RM33,990, iaitu pengurangan sebanyak RM10,000 berbanding harga ketika pelancarannya di Malaysia. Skuter yang diimport sepenuhnya (CBU) itu turut ditawarkan bersama Adventure Package pada harga RM35,990, tidak termasuk insurans, cukai jalan dan yuran pendaftaran.

XP400 ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu Mad Black dan Satin Technium, dengan unit terhad bergantung pada ketersediaan stok. Adventure Package pula merangkumi kotak simpanan belakang (top box) asli Peugeot serta besi pelindung badan (crash bar), dengan nilai keseluruhan RM2,000. Pakej ini juga ditawarkan dalam kuantiti terhad.

Dari segi mekanikal, XP400 menggunakan enjin satu silinder PowerMotion berkapasiti 400 cc dengan penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa 36.7 hp pada 8,150 rpm dan tork 38.1 Nm pada 5,400 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik CVT dan pacuan akhir menggunakan tali sawat.

Menggabungkan praktikaliti sebuah skuter untuk kegunaan harian dengan gaya motosikal adventure, XP400 dilengkapi roda hadapan 17 inci dan roda belakang 15 inci. Kedua-duanya dipadankan dengan tayar bersaiz 110/70 di hadapan dan 160/60 di belakang. Sistem suspensi terdiri daripada fork terbalik (USD) 41 mm dengan jarak gerak 140 mm di hadapan, serta penyerap hentak tunggal di bahagian belakang.

Sistem brek menggunakan cakera berkembar 295 mm di hadapan dan cakera 240 mm di belakang, selain dilengkapi sistem brek ABS dual-channel sebagai kelengkapan standard. XP400 mempunyai ketinggian tempat duduk 815 mm, jarak roda 1,545 mm dan berat tanpa muatan bahan api serta penunggang (berat kerb) 231 kg. Tangki bahan apinya pula berkapasiti 13.5 liter.

Antara kelengkapan lain yang disediakan termasuk lampu LED dan paparan instrumen TFT-LCD dengan dua meter analog. Skuter ini turut dilengkapi sistem sambungan Bluetooth Peugeot i-Connect yang membolehkan telefon pintar dihubungkan untuk menggunakan navigasi turn-by-turn. Ruang simpanan di bawah tempat duduk juga disediakan bagi memberi kemudahan kepada pengguna.

Tags: