Ketika dilancarkan pada hujung Mac lalu, keadaan pasaran tidak menyebelahi Isuzu D-Max 2.2L 2026 terbaru. Sejak 10 Jun 2024, penyelarasan semula harga diesel telah dilaksanakan di Malaysia, menjadikan harga seliter bahan api diesel lebih mahal berbanding sebelumnya — RM3.35 seliter berbanding RM2.15 seliter. Ketika itu, pemilik kenderaan diesel yang layak diberikan bantuan subsidi Budi Madani dalam bentuk tunai RM200 yang dikreditkan ke akaun mereka setiap bulan.
Kemudian, keadaan bertambah sulit dengan pecahnya perang Iran-Amerika Syarikat. Dengan harga bahan api yang melambung selepas itu, bantuan subsidi diesel Budi Madani sempat dinaikkan kepada RM300, dan kali kedua dengan kadar RM400 sebulan kepada pengguna yang layak. Ini tentunya memberi kesan langsung kepada pasaran kenderaan diesel, terutamanya bagi segmen yang banyak digunakan sebagai kenderaan penumpang seperti trak pikap. Bagi kenderaan dalam sektor pengangkutan yang terlibat, kesannya mungkin boleh dijangka dan dikendalikan kerana adanya Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Hanya selepas 1 Julai 2026 barulah keadaan kembali menyebelahi pengeluar kenderaan diesel — dan pemilik atau bakal pemilik juga sudah mampu menarik nafas lega. Ini kerana subsidi bersasar untuk diesel (Budi Diesel) dengan penyelarasan terbaru mula dilaksanakan. Bersamanya, harga diesel untuk pengguna biasa yang layak telah diturunkan kepada RM2.10 seliter di seluruh Malaysia (sebelum itu sempat belangsung sistem dengan dua harga runcit, dengan Sabah & Sarawak kekal menikmati harga RM2.15 seliter walaupun selepas penyelarasan pada 2024).
Budi Diesel 2026 ini juga diberikan secara automatik kepada pemilik kenderaan diesel yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah nama mereka — kini dengan pelaksanaan yang lebih mudah dan seragam, sama seperti agihan subsidi bersasar untuk RON 95. Namun, ada beberapa situasi yang dikhususkan untuk keperluan kepenggunaan diesel, yang membezakan antara keduanya. Dalam latar seperti inilah, yang mana telah menyediakan suasana yang lebih baik untuk pasaran dan pengguna kenderaan diesel, Isuzu D-Max 2.2L 2026 mendapatkan kesempatan dan kelebihan untuk kembali menawarkan sesuatu yang bermakna untuk pasaran tempatan.
Ada sesuatu yang “real” dan maskulin akan dapat dirasakan ketika memandu trak pikap dengan enjin diesel ini. Gegaran enjin yang agak ketara boleh dirasakan, bunyi enjin dari luar yang bising dan garang (bunyi yang sama sudah ditebat dengan banyak juga untuk trak-trak generasi moden kini, menjadikan suasana dalam kabin lebih selesa), cara penyampaian tork dan bagaimana respon pedal minyak memantik semuanya dengan penuh tenaga, serta rasa keteguhan dan gagah yang terhasil daripada binaan dan rekaannya, yang sememang dikhususkan untuk tujuan lasak. Semua hal ini dirasakan lebih diperhalusi untuk Isuzu D-Max 2.2L Auto 4×4 Premium, yang dinilai dari varian yang dicuba ini.
Masih menggunakan binaan D-Max generasi ketiga, Isuzu D-Max 2.2L 2026 hadir dan diberikan pembaharuan yang sangat penting — jantung dan nadinya disalin penuh. Enjin 1.9 liter yang digunakan sebelum ini sejak pengenalan rasmi model generasi ketiga tersebut untuk pasaran tempatan sejak lima tahun lalu pada 2021 telah digantikan sepenuuhnya, dan bukan dikemaskini daripada unit lama itu.
Jika enjin 1.9 liter sebelum ini lebih cenderung untuk memberikan penjimatan yang baik, tetapi sebaliknya terpaksa berkompromi dengan prestasi dan rasa pemanduan yang kurang bertenaga secara umumnya, enjin 2.2L terbaru ini kembali membawakan keseimbangan terhadap prestasi dan penjimatan itu ke tahap baru yang lebih menarik untuk dimanfaatkan ramai orang. Seperti yang dinyatakan oleh Isuzu, unit yang ada kini adalah enjin terbaik yang pernah syarikat itu hasilkan. Betulkah?
Enjin turbo diesel RZ4F-TC 2.2 liter terbaru yang ditawarkan kini memberikan 56% lebih start-up tork dan 5% kecekapan bahan api yang lebih baik berbanding unit 1.9 liternya. Serba-serbi tentang enjin berkenaan adalah serba baru: pengecas turbo geometri pembolehubah elektorniknya adalah baru, yang hadir dengan kebuk pembakaran pusaran tinggi, piston dengan geseran rendah, serta penyuntik bahan api bertekanan tinggi — semua ini sudah tentulah menepati piawaian diesel bersih Euro 5.
Peningkatan kapasiti enjin ini juga secara berkadaran bermaksud melibatkan juga peningkatan prestasi keseluruhan: unit 2.2L kini menghasilkan janaan sebanyak 163 PS pada 3,600 rpm, manakala tork pula ialah 400 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,400 rpm. Jika diterjemahkan, semua ini bersamaan dengan 8.7% lebih kuasa yang dihasilkan, serta 14.3% lebih banyak tork jika dibandingkan dengan enjin 1.9L terdahulu.
Enjin berkenaan digandingkan pula dengan transmisi automatik lapan-kelajuan yang juga baru dan khusus untuknya. Ini menggantikan transmisi automatik enam-kelajuan pada model 1.9L, sekali gus memberikan julat dan kecekapan penukaran gear yang lebih lancar dan senyap, selain menyokong prestasi serta penjimatan keseluruhan yang lebih baik seperti ditawarkannya.
Satu lagi perkara yang berbeza antara kedua-dua versi D-Max 2.2L dan 1.9L ini tentulah kadar cukai jalan tahunan yang perlu dibayar. Model 2026 dengan enjin 2.2L turbo diesel akan memerlukan anda untuk membayar anggaran RM571 setahun, manakala untuk model 1.9L turbo diesel sebelum ini memerlukan bayaran dalam anggaran sekitar RM350. Ini melibatkan perbezaan kos cukai jalan sekitar RM221 jika anda beralih daripada pemilikan model 1.9L kepada 2.2L.
Bagaimana semua pembaharuan tersebut diterjemahkan ke dalam pengalaman pemanduan sebenar? Dalam kesempatan meluangkan masa dalam perjalanan sejauh kira-kira 800 km — dari Kuala Lumpur-Taiping-Pulau Pinang dan kembali semula — memandu Isuzu D-Max 2.2L Auto 4×4 Premium 2026 ini memberi pengesahan bahawa ada banyak perkara yang bertambah halus dan diberi perhatian yang terperinci oleh Isuzu di dalam penawarannya yang terkini.
Mula “memanjat” pemijak sisi dan masuk ke dalam kabin sahaja perkara kehalusan ini sudah boleh diperhatikan. Kabin yang dalam warna hitam tampil ringkas dan dalam masa yang sama, elegan — perhatian diberikan untuk menjadikan kabin tersebut sebagai sebuah ruang praktikal yang nyaman, walaupun untuk sebuah trak pikap. Ini mungkin perkara biasa untuk trak pikap gaya hidup yang banyak ditawarkan dalam varian tertinggi seperti X-Terrain untuk D-Max, tetapi untuk melihat varian Premium juga makin menghampiri tahap penawaran yang sama, tentulah itu sesuatu yang bakal memberikan nilai tambah.
Dalam keadaan pegun dan enjin telah dihidupkan, ruang kabinnya berada dalam keadaan yang cukup senyap. Bunyi enjin diesel dari luar hanya akan semakin kedengaran di dalam apabila pedal minyak ditekan ketika dalam perjalanan. Bergantung kepada cara anda memandang “kebisingan” ini, ia memberikan rasa nyata yang mungkin dirindui oleh sesetengah orang, kerana kebanyakan generasi kenderaan hari ini tidak lagi menawarkan pengalaman yang sama — semuanya ingin terlalu “sempurna” dan klinikal dalam konteks ini. Itu bukanlah satu masalah, tetapi untuk sekali-sekali berdepan dengan model kenderaan yang tak segan-segan dengan rasa kasar yang diberikan, itu sangat menyenangkan.
Rekaan tempat duduknya juga sangat baik dan menarik. Ia memberikan banyak sokongan; dari visualnya sahaja sudah terserlah “otot-otot” yang ada di kerusi, yang memberikan kedudukan tinggi dan sangat melegakan pandangan ke luar kenderaan atau jalan raya, tetapi dalam masa yang sama memeluk badan dengan penuh. Rekaan papan pemuka juga nampak kemas, dengan pendekatan bersegi yang walaupun ringkas, tetap kelihatan praktikal dan kontemporari.
Perkara yang paling menarik perhatian di tengahnya adalah paparan 10-inci baru untuk sistem infotainmen dengan sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto. Ini tentunya satu ciri yang akan sangat dihargai oleh pelbagai lapisan pengguna kini — walaupun sebuah trak pikap, tahap kelengkapan dan penggunaannya kini sudah tidak jauh beza berbanding kereta keluarga atau sedan lain.
Mengingatkan ini sebuah trak pikap, Isuzu D-Max 2.2L Auto Premium 4×4 mempunyai sistem bunyi yang tidak mengecewakan. Ini terdiri daripada lapan pembesar semuanya, termasuk apa yang Isuzu disebut sebagai “roof speaker“. Walaupun memang akan kedengaran bunyi dan deruman enjin diesel dari luar hud depan ketika memandu, sistem bunyi berkenaan sedikit sebanyak membantu mengimbangi bunyi enjin tersebut, dan menawarkan satu “keseronokan” lain melalui audio yang hadir dengan kuasa yang mencukupi.
Menarik juga untuk dinyatakan: sistem audio tersebut turut membenarkan penetapan volume audio yang berasingan antara pemain media dan juga sistem navigasi. Ini bukanlah sesuatu yang baru atau unik kepada D-Max, tetapi cara ia dilaksanakan cukup berguna. Bagi mereka yang lebih gemar mendengar audio atau muzik tanpa gangguan turun-naik volume yang sangat mengganggu ketika ada makluman suara oleh sistem navigasi seperti Waze, ini sangat menyenangkan.
Tahap volume antara keduanya boleh ditetapkan lebih tinggi atau lebih rendah — atau setara — di antara keduanya. Kami lebih senang membiarkan audio makluman navigasi berada pada tahap yang rendah, dan jika ada suara navigasi yang terdengar itu muncul, kami akan kembali memerhatikan skrin dan melihat peta visual untuk tahu arahan atau paparan amaran yang diberikan. Ini mungkin hal yang sangat kecil, tetapi sangat berguna.
Untuk kadar penggunaan bahan api, Isuzu D-Max memang sudah sangat terkenal dengan penjimatan. Hal itu tentulah diwariskan juga kepada model terbaru ini, dan dijadikan lebih baik. Sepanjang pemerhatian ketika menggunakan trak pikap ini, bacaan penggunaan diesel yang terbaik secara purata yang dapat dicatatkan berdasarkan pemanduan sebenar adalah sekitar 7.5 l/100 km. Untuk sebuah trak pikap yang besar dan berat berbanding sebahagian jenis kenderaan penumpang lain, angka ini boleh dikatakan agak baik, hampir menyamai bacaan oleh sesebuah sedan keluarga secara umum.
Jarak perjalanan dengan satu tangki penuh juga memang dipaparkan dengan angka atau jarak capaian yang jauh, dengan sekitar 850 km — dan akan naik-turun mengikut corak pemanduan, bahkan satu tangki boleh pergi lebih daripada itu dalam keadaan pemanduan terkawal. Tetapi jangan lupa, kapasiti tangki minyaknya juga lebih besar sekali ganda berbanding kereta penumpang biasa: 76 liter. Ini juga hal yang menjadi satu kelebihan yang sangat disenangi oleh pemilik trak pikap — kurangnya keperluan untuk kerap singgah bertujuan isian semula di stesen minyak.
Dari segi penampilan, trak pikap ini masih mengekalkan bentuk umum yang sama seperti yang pernah disaksikan pada model 1.9L. Ukuran dimensinya adalah seperti berikut: 5,280 mm panjang, 1,870 mm lebar, 1,810 mm tinggi dengan jarak roda 3,125 mm. Jarak kelegaan tanahnya pula ialah 240 mm, dan boleh meredah air pada kedalaman 800 mm. Radius pusingannya pula ialah 6.25 meter — trak pikap ini memerlukan ruang yang agak besar untuk membuat pusingan penuh.
Bagaimanapun, wajah depannya tampil dengan pembaharuan. Rekaan lampu utama LED, jalur gril serta bukaan udara di bahagian bampar yang diberikan rekaan baru memberi kesegaran khusus kepada model baru ini berbanding model 1.9L. Rim yang diberikan juga hadir dengan rekaan baru — dalam saiz 18-inci, dengan saiz tayar 265/60R18 All-Terrain.
Satu perkara yang kurang kami senangi dalam hal penampilan ini ada di belakang. Dari luar D-Max ini walaupun dari varian Premium, ia nampak kosong kerana tidak dipasangkan dengan sport bar di bahagian truck bed. Kalau ada kemasan khusus yang dipasangkan di situ, ia akan jadi lebih menarik dan berguna. Atau, mungkin ini caranya Isuzu — seperti pengeluar lain juga — akan memberikan ciri berkenaan kepada varian lebih sporty atau lebih lengkap?
Unik juga untuk D-Max terbaru ini, jika diperhatikan susunan lampu LED belakang, bahagian yang di sebelah kiri ada dua perumah putih, berbanding satu merah. Ini diterbalikkan pula di sebelah kanan, yang mempunyai dua perumah lampu atau reflektor merah dan satu perumah putih. Ini kerana, lampu undur untuk D-Max ini hanya ada satu, iaitu petak lampu kedua di sebelah kiri sahaja. Bahagian belakangnya juga hadir dengan bukaan pintu ruang barangan yang lengkap dengan damper untuk memudahkan buka-tutupnya, dan supaya tidak terlalu berat. Ini merupakan ciri yang sudah dibanyak ditawarkan untuk trak pikap.
Aspek keselamatan, walaupun D-Max baru ini datang dengan ciri keselamatan aktif dan pasif yang lengkap, ia bagaimanapun hanya ada dua fungsi ADAS untuk membantu pemanduan. Pertama ialah Blind Spot Monitoring (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Itu sahaja. Jika fungsi ini menjadi keutamaan dalam mempertimbangkan pemilikan kenderaan, maka D-Max ini, atau bahkan trak pikap lain dalam tahap penawaran yang lebih rendah, mungkin bukanlah calon terbaik — melainkan versi spesifikasi yang paling tinggi dan lebih mahal.
Selebihnya, ciri keselamatan aktif seperti ABS, EBD, ESC, bantuan mula mendaki HSA, Isofix dan banyak lagi merupakan penawaran standard yang lengkap, sesuai dengan jangkaan sebuah kenderaan moden hari ini. Untuk ciri keselamatan pasif, Isuzu D-Max 2.2L Auto 4×4 Premium 2026 ini dilindungi oleh enam-beg udara.
Isuzu D-Max 2.2L Auto 4×4 Premium ini dijual dengan harga RM141,821. Ia turut ditawarkan dalam varian enjin 3.0 liter, dengan harga RM145,138. Semuanya ada enam pilihan warna — dua warna baru Inishmore Green dan Obsidian Grey, Namibu Orange, Onyx Black, Dolomite White Pearl dan Mercury Silver.
Dalam pasaran tempatan ketika ini, varian Isuzu D-Max 2.2L 2026 ini mempunyai kelebihan dari sudut kemampuannya untuk menyeimbangkan antara kuasa enjin dan nilai penjimatan yang ditawarkan (kapasiti enjin 2.2L dan juga transmisi lapan-kelajuan barunya). Beberapa pesaing yang ada (dalam julat harga yang berdekatan) termasuklah Mitsubishi Triton AT Premium (RM145,980); Mazda BT-50 3.0 6AT High Plus (RM140,418); Maxus Terron 9 2.5 (RM 145,888.00); Ford Ranger 2.0 Sport 4×4 AT (RM145,888); Nissan NP300 Navara VL 2.5 Auto (RM146,900) dan Toyota Hilux Double Cab 2.4 V AT 4×4 (RM149,580).
Adakah Isuzu D-Max 2.2L Auto 4×4 Premium ini mampu menandingi yang lain?





Isuzu D-MAX
dari RM103,121