Toyota membuat kejutan pada Tokyo Auto Salon tahun lalu dengan mendedahkan sebuah GR Yaris yang digerakkan oleh enjin 2.0 liter empat silinder turbo, di mana enjin berkenaan diletakkan pada bahagian belakang pemandu dan kuasa dari enjin tersebut masih dialirkan ke empat-empat roda.
Menurut Toyota, jentera tersebut bukan lagi digelar sebagai GR Yaris, sebaliknya adalah model prototaip yang digelar sebagai Toyota GR Yaris M Concept yang bakal digunakan dalam siri perlumbaan endurance Super Taikyu di Jepun, dalam kelas ST-Q iaitu kelas yang dikhaskan untuk jentera-jentera prototaip eksperimen.
Toyota kemudiannya membuat satu lagi kejutan apabila sebuah lagi prototaip diuji di litar Fuji Speedway pada Julai tahun ini. Prototaip berkenaan hadir dengan bentuk badan kereta sport berenjin tengah yang lebih rendah dan lebar, tetapi masih menggunakan lampu hadapan dan belakang GR Yaris. Dan ia turut mengenakan kit aerodinamik seakan sebuah kereta lumba spesifikasi GT4.
Teka-teki berkenaan jentera berkenaan akhirnya terjawab apabila ia muncul dalam pusingan keenam perlumbaan Super Taikyu 2026 di litar Okayama pada 24 Oktober lalu, dan Toyota menyatakan bahawa ia adalah Toyota GR Yaris M Concept yang telah diperbaharui.
Dengan kemunculan M Concept ini, khabar bahawa Toyota akan menghasilkan model generasi baharu kereta sport berenjin tengah iaitu MR2 (dijangka akan digelar sebagai GR MR2) semakin bertiup kencang. Namun dengan sistem pacuan semua roda yang dibekalkan, ada juga khabar angin menyatakan bahawa ia adalah model pembangunan bagi Toyota GR Celica, iaitu Celica GT-4 generasi baharu.
Kami berpeluang berjumpa dengan salah seorang pemandu jentera M Concept berkenaan iaitu Masahiro Sasaki ketika kunjungannya ke Malaysia minggu ini. Menurut beliau, sebenarnya Toyota sendiri masih belum membuat keputusan sama ada ia akan diproduksi sebagai GR MR2 atau GR Celica.
Sasaki-san menjelaskan lagi bahawa pembangunan jentera berkenaan masih dalam peringkat pertengahan, dan beliau sendiri bukan sahaja menguji prototaip berkenaan di Jepun, malah ia sudah dibawa ke beberapa kawasan lain di seluruh dunia. Jadi model produksi sebenar yang akan dijelmakan dari jentera prototaip berkenaan mungkin akan mengambil masa yang masih lama.
Selain berlumba, Masahiro Sasaki juga merupakan pemandu penguji untuk model-model produksi Gazoo Racing yang membangunkan model-model seperti GR Yaris dan GR 86. Beliau juga berlumba disamping Akio Toyoda (dengan nama samaran Morizo) bagi membimbing pengerusi Toyota itu menjadi pemandu yang lebih baik, menggantikan tugas yang ditinggalkan oleh mendiang Hiromu Naruse.
Kedatangan Sasaki ke Malaysia minggu ini adalah untuk mengunjungi pengedar jenama Grow Design di Malaysia iaitu SC Custom Styling di Setapak, Kuala Lumpur, di mana beliau merupakan pengasas dan pemilik jenama peralatan prestasi aftermarket berkenaan.
GALERI: Toyota GR Yaris M Concept di Tokyo Auto Salon 2025
GALERI: Toyota GR Yaris M Concept kemaskini 2026










