Buat pertama kalinya untuk tempoh satu suku tahun penuh, pengeluar kereta China mencatatkan jumlah jualan mengatasi jenama Jepun di Eropah, lapor Bloomberg. Menurut firma penyelidikan pasaran DataForce, jumlah pendaftaran kereta jenama China di mana kebanyakkannya merupakan model-model hibrid meningkat dua kali ganda pada bulan September berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mewakili 12.7% daripada jumlah jualan di rantau tersebut.
Ia sekaligus mengatasi jenama-jenama Jepun yang memegang bahagian pasaran sebanyak 11.9%, manakala jenama Eropah terus mendominasi pasaran buat masa ini. Lima tahun lalu, jenama dari China hanya mencapai hampir 1% daripada jumlah jualan di Eropah, namun jenama seperti BYD dan Chery telah berjaya mengukuhkan kedudukan mereka dengan pantas sejak itu.
Sekitar 20 jenama dari China menyertai Paris Motor Show tahun ini bagi mempamerkan model-model kenderaan masing-masing, dalam masa yang sama jenama-jenama tersebut turut mengumumkan rancangan pengembangan untuk pasaran Eropah. Jenama-jenama China berkenaan juga kini lebih menumpukan kepada model-model kenderaan dengan teknologi elektrifikasi bagi meraih bahagian pasaran yang lebih besar ketika harga bahan api melonjak naik sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Kesatuan Eropah (EU) telah berusaha melindungi industri automotifnya dengan mengenakan tarif ke atas kenderaan elektrik (EV) buatan China, namun langkah ini tidak terpakai bagi kenderaan hibrid (termasuk jenis yang boleh dicas melalui soket seperti PHEV), membolehkan jenama-jenama dari China mengambil peluang tersebut.
Dalam perkembangan lain, EU sedang mempertimbangkan peraturan baharu yang memberi kelebihan kepada kereta-kereta yang dibuat di benua berkenaan dalam pemberian subsidi dan insentif, termasuk manfaat cukai bagi kereta syarikat, selari dengan jumlah pelanggan korporat dan pelanggan flit yang besar di rantau tersebut. Juga untuk mengambil kesempatan tersebut, kini semakin banyak pengeluar kenderaan dari China mula bertapak di Eropah.








