Kawasaki KLE650 didedah – enjin dua silinder 649 cc, TC dan cruise control standard, SE dapat quickshifter, TFT

Kawasaki memperkenalkan KLE650 bagi tahun 2027 sebagai model adventure touring kelas pertengahan yang dibangunkan dengan penekanan terhadap keselesaan perjalanan jarak jauh. Menggunakan konsep rekaan rally seperti KLE500, model baru ini menawarkan enjin lebih besar serta kelengkapan tambahan untuk kegunaan harian, tunggangan di jalan raya dan pengembaraan.

KLE650 digerakkan enjin dua silinder selari 649 cc sejukan cecair yang turut digunakan pada beberapa model Kawasaki lain, bersama transmisi enam kelajuan dengan klac assist & slipper. Enjin ini menerima sistem pendikit elektronik serta perubahan pada sistem kemasukan udara dan ekzos bagi menghasilkan tork lebih kuat pada rpm rendah hingga pertengahan, selain prestasi bertenaga pada rpm tinggi. Jumlah kuasa keseluruhan adalah 70 hp pada 8,600 rpm dan tork 64 Nm pada 7,500 rpm.

Dari segi casis, KLE650 menggunakan rangka trellis kompak yang mengambil inspirasi daripada KLE500, dipadankan dengan suspensi jarak gerak panjang, terdiri daripada fork USD Kayaba di depan dan monoshock di belakang, digabungkan dengan padanan rim spoked 21 inci di depan dan 17 inci di belakang.

Bagi meningkatkan keselesaan, KLE650 dilengkapi sistem kawalan cengkaman Kawasaki Traction Control (KTRC) dan Electronic Cruise Control sebagai kelengkapan standard. Ia melengkapi tetapan brek cakera tunggal 300 mm dengan angkup dua piston di hadapan, cakera 230 mm dengan angkup satu piston di belakang, serta sistem ABS dual-channel yang boleh ditutup.

Selain varian standard, Kawasaki turut menawarkan versi SE untuk KLE650, dengan ia menerima beberapa kelengkapan tambahan termasuk sistem Kawasaki Quick Shifter (KQS), paparan meter TFT lima inci dengan sambungan kepada aplikasi Rideology, tayar tanpa tiub, soket pengecas USB-C, pelindung tangan, pelindung bawah enjin aluminium serta penghadang angin hadapan lebih besar.

Tangki bahan api bagi kedua-dua varian bagaimanapun masih lagi sama, iaitu 16 liter, manakala kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk lampu LED, tayar Dunlop Trailmax Mixtour 90/90 di hadapan dan 150/70 di belakang serta tinggi tempat duduk 870 mm.

Kawasaki KLE650 didedah – enjin dua silinder 649 cc, TC dan cruise control standard, SE dapat quickshifter, TFT

Kawasaki turut menawarkan tiga pakej edisi khas melalui pengedar rasminya, iaitu Top Case, Rally dan Adventure Tourer. Ketiga-tiganya menggunakan aksesori tulen Kawasaki untuk memenuhi keperluan penunggang yang mahukan kapasiti penyimpanan tambahan atau penampilan lebih berorientasikan pengembaraan. Namun, butiran lengkap aksesori yang disertakan dalam setiap pakej belum diperincikan dalam siaran akhbar.

Melihat kepada pasaran Amerika Syarikat, KLE 650 dijual pada harga bermula USD8,799 (RM35,889), iaitu USD2,200 (RM8,973) lebih tinggi berbanding KLE 500 di sana, manakala KLE 650 SE pula dijual pada harga bermula USD9,999 (RM40,783).

GALERI: Kawasaki KLE 650

GALERI: Kawasaki KLE 650 SE