Kalau anda pernah main permainan video Need For Speed Underground, anda pasti tahu berkenaan model Nissan Sentra SE-R Spec-V yang menjadi antara jentera yang boleh dipilih untuk berlumba dan diubahsuai. Model berkenaan diasaskan dari versi biasa Nissan Sentra B15 pasaran Amerika Utara (berbeza dari Sunny/Sentra B15 pasaran Asia), kemudian disumbat dengan enjin QR25DE 2.5 liter NA berkuasa 175 PS/244 Nm bersama kotak gear manual enam-kelajuan lengkap dengan LSD, diberikan talaan suspensi lebih agresif serta kit badan yang lebih garang, menjadikan ia sebuah sedan dengan prestasi seperti kereta sport.
Varian berkenaan terus ditawarkan pada Sentra generasi ke-enam (B16), manakala masuk generasi ke-tujuh (B17) varian prestasi tersebut ditukar kepada Sentra SR Turbo yang dijana oleh enjin 1.6 liter empat silinder turbo berkuasa 188 PS. Namun Sentra pasaran Amerika Syarikat tidak lagi ditawarkan dalam varian prestasi untuk generasi ke-lapan (B18) dan model terkini iaitu generasi ke-sembilan (B19).
Khas untuk acara SEMA 2026 yang akan berlangsung bulan depan, Nissan telahpun mendedahkan model konsep yang digelar sebagai Nissan Sentra Spec V Concept untuk membayangkan Sentra SE-R Spec V sekiranya ia diasaskan dari Sentra generasi terkini.
Model konsep ini masih lagi mengekalkan enjin asal Sentra berkenaan iaitu enjin MR20DD 2.0 liter empat-silinder, tetapi melibatkan ubahsuai ekstensif dengan disuap oleh pengecas turbo Garrett G25-550. Bagi memastikan enjin berkenaan boleh menerima tekanan boost tanpa masalah, ‘isi perut’ enjin ini turut menerima tingkat taraf termasuk penggunaan omboh prestasi tinggi dari JE Piston yang digandingkan dengan rod penghubung dari Carillo, menghasilkan nisbah mampatan 10:1. Kepala silinder enjin dipasang pada blok dengan menggunakan stud ARP.
Selain itu, sistem penyampaian bahan apinya juga dipertingkat dengan pam bahan api AEM 400lph, serta menerima bantuan suntikan bahan api menerusi penyuntik sekunder 550cc Bosch EV14 yang dipadankan pada manifold spacer rekaan Jim Wolf Technologies. Manakala untuk sistem turbo, ia turut dibantu dengan intercooler dari Garrett, dan lebihan boost dibuang menerusi injap blow off Turbosmart Vee Port Pro.
Segala ubahsuai ini membolehkan enjin MR20DD turbo berkenaan menghasilkan kuasa 300 kuasa kuda yang dihitung pada roda (whp), berbanding kuasa asal 151 PS dan tork maksima 198 Nm. Kuasa berkenaan dialirkan ke roda hadapan menerusi set klac FX350 dan roda tenaga ringan dari Centerforce, bersama kotak gear manual enam-kelajuan RS6F94R yang diambil dari Nismo Juke RS yang lengkap dengan LSD bagi menggantikan kotak gear CVT asal. Tombol CVT asal juga sudah tentu tidak lagi boleh digunakan, di mana gear kini ditukar menggunakan set short shifter yang diubahsuai oleh Hybrid Racing.
Sentra Spec V Concept ini turut menerima sistem suspensi yang ditingkat taraf menerusi set penyerap hentak boleh laras yang diubahsuai oleh Nismo, bersama set sway bar juga dari Nismo. Ia kemudiannya turut menerima set brek Brembo yang diambil terus dari Nissan GT-R R35 dengan angkup enam omboh hadapan bersama cakera 390 mm, dan angkup empat omboh di belakang dengan cakera 380 mm.
Set brek gergasi ini disorokkan menerusi set roda yang juga bersaiz besar, menampilkan rim aloi forged Nismo LM-RS1 bersaiz 19-inci dan lebar 9.5 jj, dibalut dengan tayar Yokohama Advan Neova AD09 bersaiz 265/35R19.
Dengan set roda yang besar dan sangat lebar ini menyebabkan keempat-empat fender Sentra Spec V Concept tersebut perlu dilebarkan menerusi kit badan rekaan Bomex, memberikan gaya dan stance yang sangat agresif. Kit tersebut turut menampilkan bampar hadapan, skirt sisi dan bampar belakang yang lebih garang. Muncung ekzos Sentra Spec V Concept ini tidak terletak di belakang, sebaliknya keluar menerusi bahagian belakang skirt sisi.
Penampilan luaran model konsep ini dilengkapkan dengan spoiler belakang yang diambil dari Nismo GT-R, serta grafik badan Terminax dengan jalur sisi merah berkembar sereng pada pintu hadapan yang diinspirasikan dari jentera lumba Datsun pasukan Brock Racing Enterprise (BRE), yang berlumba dalam siri SCCA di Amerika Syarikat pada era 70’an.
Manakala pada bahagian dalaman, ia hadir dengan kemasan-kemasan hitam yang lebih garang, tempat duduk bucket hadapan Recaro yang juga diambil Nismo GT-R R35 bersama tali pinggang perlumbaan serta roda stereng juga dari Nismo.
Walau bagaimanapun Nissan tidak menyebut sama ada Sentra Spec V Concept ini akan direalisasikan sebagai model produksi atau tidak. Menurut Nissan, pembinaan model konsep ini adalah untuk “menunjukkan bagaimana nama-nama model paling ikonik jenama tersebut terus mendapat tempat di hati para peminat masa kini.”











Nissan Serena e-Power
dari RM154,800
Nissan Kicks e-Power
dari RM113,800
Nissan Navara
dari RM98,600
Nissan Almera
dari RM83,888
Nissan Leaf
dari RM168,888
Nissan NV200
dari RM79,800