Chery telah pun mendedahkan dua model baharu yang akan dibawa ke pasaran global ketika berlangsungnya Chery Brand Night di China tahun ini. Pertama adalah Tiggo 7 generasi ketiga yang akan menggantikan model generasi kedua yang kini turut dijual di Malaysia, dan satu lagi adalah Tiggo X7 iaitu model pertama dari barisan model Tiggo X yang nampak lebih lasak.
Menurut Chery, kedua-dua SUV ini dikelaskan dalam SUV keluarga segmen-C, dan ia direka untuk memenuhi citarasa profil pelanggan yang berbeza.
Bagi Chery Tiggo X7, dengan bentuk yang kelihatan seperti diinspirasikan dari model-model seperti Land Rover Defender, ia disasarkan untuk keluarga yang lebih gemarkan aktiviti mencabar, menggabungkan kebolehan pemanduan seharian di bandar moden dan juga meredah laluan yang lebih lasak.
Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 4,636 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm, dan menerima rekaan bersegi pada lampu LED hadapan dengan jalur lampu nyalaan siang berbentuk-L, gril berbentuk oktagon, jalur lampu LED menegak pada sisi bampar, cangkuk tunda yang sengaja didedahkan serta ruang-ruang roda yang diberikan pelindung badan.
Chery belum mendedahkan sebarang perincian berkenaan unit rangkaian kuasa, namun ada laporan menyebut ia akan ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin petrol turbo empat-silinder sebaris. Laporan Motorist Thailand menyebut bahawa antara enjin yang ditawarkan termasuk 1.5 liter berkuasa 156 hp/230 Nm yang digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik, dan juga 1.6 liter berkuasa 194 hp/290 Nm dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.
Ia juga akan ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda berdasarkan varian, dan diberikan mod pemanduan antara tiga (Eco, Sport dan Normal) hingga enam mod termasuk mod off-road (Snow, Mud, Sand, Mountain, Rock dan Water Wading). Ia juga mampu untuk menunda sehingga 1,500 kg dan ditawarkan dengan pelbagai aksesori.
Unit yang didedahkan turut menampilkan penderia LiDAR pada bumbung yang membayangkan ia menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) tahap tinggi, dan ada laporan ia berkemampuan sehingga Tahap 2.5.
Bagi Tiggo 7 generasi ketiga pula, ia jelas merupakan SUV konvensional dengan kesinambungan dari model generasi kedua. Walaupun ia disebut sebagai model “serba baharu”, ia masih nampak sama dengan model generasi sedia ada yang diberikan rombakan pada gril serta bampar hadapan.
Perincian model ini juga masih belum didedahkan sepenuhnya, dan buat masa sekarang Chery meletakkan Tiggo 7 generasi ketiga ini sebagai “SUV berkualiti tinggi dan membawakan keselesaan kepada keluarga seluruh dunia.” Berdasarkan maklumat dari Chery International, Tiggo 7 baharu ini adalah 36 mm lebih pendek dari Tiggo X7 dengan panjang keseluruhan 4,600 mm, manakala jarak antara roda kedua-duanya adalah sama.
Jadi model generasi sedia ada ini jelas lebih panjang dari model generasi kedua. Bagi pasaran Malaysia, Chery Tiggo Pro yang digerakkan oleh enjin petrol sepenuhnya menampilkan panjang 4,513 mm, manakala versi PHEV pula adalah 4,553 mm.
Ada laporan media menyatakan bahawa bahagian dalaman Tiggo 7 baharu ini telah dipertingkat dengan perincian premium seperti pemadanan tempat duduk dengan fungsi pengurut dan juga diberikan perehat kaki. Perincian berkenaan unit rangkaian kuasa juga masih belum didedahkan, namun ia mungkin masih sama dengan pilihan yang ada pada model generasi sedia ada.
GALERI: Chery Tiggo X7
GALERI: Chery Tiggo 7 generasi ketiga











Chery Tiggo 7
dari RM129,400
Chery Tiggo 9
dari RM166,800
Chery Tiggo 8
dari RM159,800
Chery O5
dari RM116,800
Chery Tiggo Cross
dari RM88,800
Chery Omoda E5
dari RM146,800