Kita sudah sedia maklum bahawa model baru yang akan dilancarkan oleh Pro-Net untuk pasaran tempatan ialah Proton eMas 7 PHEV. SUV berkenaan sudah pernah dipertontonkan kepada umum — dengan pelekat samaran, tentunya — kira-kira sebulan lalu di acara Proton Tech Showcase di Centre of Excellence (COE) Proton, Shah Alam.
Kini, Proton eMas 7 PHEV sekali lagi ditunjuk, masih dengan pelekat samaran, tetapi dengan tambahan perincian spesifikasi penuh bagi penawarannya untuk pasaran Malaysia — termasuk seperti yang dapat dilihat terpapar di atas pelekat samarannya, yang antara lain agak jelas terpampang tulisan “Malaysia’s first dual-powered EV”.
Proton eMas 7 PHEV merupakan model plug-in hybrid pertama Proton. Bukan juga rahsia bahawa model ini diambil dan di-rebadge dari model Geely Starray EM-i di pasaran Australia, yang turut dikenali sebagai Geely Galaxy Starship 7 di China. Ini juga sama seperti Proton eMas 7 sebelum ini, yang diambil daripada model Geely Galaxy E5/EX5.
Jadi, tagline “Malaysia’s first dual-powered EV” yang diguna itu boleh jadi mengelirukan, kerana Proton eMas 7 PHEV bukanlah sebuah EV (tanpa enjin). Proton eMas 7 PHEV merupakan sebuah kenderaan plug-in hybrid, mempunyai enjin pembakaran dalaman (ICE) dan dibantu oleh sistem elektrifikasi hibrid. Untuk itu, cukai jalan kereta ini akan dikira mengikut kapasiti enjin ICE-nya, dan bukan mengikut output motor seperti EV. Serta, ia juga akan menggunakan nombor plat hitam seperti kereta biasa, dan bukannya plat putih untuk EV.
Dari segi dimensi, PHEV ini mempunyai ukuran 4,740 mm panjang, 1,940 mm lebar dan 1,685 mm tinggi dengan jarak roda 2,755 mm. Ini menjadikannya 125 mm lebih panjang, 39 mm lebih lebar dan 15 mm lebih tinggi berbanding versi EV (4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar dan 1,670 mm tinggi). Jarak rodanya juga 5 mm lebih panjang. Ia juga menggunakan platfrom GMA yang sama.
Untuk pasaran Malaysia, akan ada tiga varian ditawarkan — Prime, Premium dan Premium Plus. Ini terdiri daripada sistem EM-i (E-Motive Intelligence) Super Hybrid dari Geely, yang menggandingkan enjin 1.5 liter NA BHE15PFI (sama seperti enjin Saga MC3) dengan janaan 99 PS (98 hp atau 73 kW) dan 125 Nm tork, dan diganding dengan sebuah motor elektrik di depan dengan output 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 262 Nm — dengan enjin dalam versi kitaran Atkinson. Output maksimum PHEV ini ialah sebanyak 262 PS (258 hp, atau 193 kW) dan 262 Nm yang disalurkan ke roda depan.
Supaya lebih cekap, enjin berkenaan dijadikan lebih ringkas dan ringan untuk membolehkannya memberikan kecekapan yang lebih tinggi — VVT tunggal berbanding dual-VVT dan EGR (kitaran semula gas ekzos) yang lebih tinggi di belakang — serta dengan tahap kecekapan thermal 46.5%. Tetapan ini juga memberikan kadar output yang sedikit kurang daripada versi enjin sama di China yang menghasilkan 111 PS dan 136 Nm.
Kadar penggunaan minyak SUV ini juga menjadi antara kelebihan utamanya, iaitu 4.3 liter per 100 km untuk Prime/Premium dan 4.4 liter per 100 km untuk Premium Plus — tetapi itu angka dengan NEDC. Penggunaan sebenar mungkin akan lebih tinggi daripada ini. Untuk servis berjadual PHEV ini, ia hanya memerlukan servis setiap 12 bulan sekali atau 20,000 km — dengan kos penyelenggaraannya didakwa lebih menghampiri EV berbanding kereta ICE biasa.
Seperti dinyatakan ketika pratonton pertama, enjinnya tidak mengggunakan auxiliary belt dan meminimumkan parasitic loss. Pemampat AC dan bateri 12V-nya pula dicas melalui pengalih DC-DC dan bukannya oleh alternator, serta pam airnya mempunyai kapasiti lebih tinggi berbanding versi enjin yang digunakan untuk Saga MC3. Tangki minyaknya juga tahan tekanan.
Sistem ini digandingkan dengan dedicated hybrid transmission (DHT) 11-dalam-1 kelajuan tunggal yang menggabungkan sebuah integrated starter-generator dan motor cengkaman. Sistem ini akan membiarkan motor elektrik menggerakkan roda, tetapi turut mempunyai keupayaan untuk menghubungkan klac dan membantu enjin ICE dalam kelajuan yang lebih tinggi ketika enjin dalam keadaan lebih cekap — sama seperti sistem hibrid e:HEV Honda.
Angka prestasi pula terdiri daripada pecutan 0-100 km/j dalam masa 8 saat bagi Prime/Premium, dan 8.2 saat bagi Premium Plus, dengan semua varian mampu mencapai laju maksimum 170 km/j. Selain itu, setiap varian juga dibezakan dari sudut kapasiti bateri, jarak perjalanan dan kadar pengecasan DC. Perinciannya adalah seperti berikut:
- Premium Plus — bateri Aegis short blade lithium iron phosphate (LFP) 29.8 kWh, 146 km jarak EV, 996 km jarak (WLTP), pengecasan DC 60 kW (30%-80% SoC kurang 16 minit), 6.6 kW AC.
- Premium dan Prime — bateri CATL LFP 18.4 kWh, 83 km EV, 943 km jarak (WLTP), pengecasan DC 30 kW (30%-80% SoC kurang 20 minit), 6.6 kW AC.
Memang Proton menyatakan yang PHEV ini mampu mencapai 1,065 km jarak perjalanan bagi Premium Plus (dan 1,000 km bagi Prime dan Premium), tetapi bacaan itu adalah berdasarkan kitaran NEDC. Kitaran WLTP lebih dekat dengan penggunaan sebenar dunia nyata.
Sistem PHEV ini juga mampu menampung pengecasan sehingga 60 kW. Angka tersebut lebih rendah berbanding eMas 7 (80 kW dan 100 kW), namun bukanlah masalah kerana kapasiti bateri yang digunakan juga lebih kecil.
Dari segi rekaan, ada beberapa perkara yang membezakan antara versi EV dan PHEV bagi Proton eMas 7 ini. Pertama, wajah depan versi PHEV nampak lebih menarik dengan jalur lampu LED berkelebaran penuh yang menempatkan DRL dan lampu isyarat, yang kemas dan nipis. Lampu utama pula letaknya sedikit di bawah, di bahagian bampar.
Pemegang pintu untuk PHEV ini juga menggunakan rekaan biasa yang kelihatan, manakala bagi EV-nya pemegang pintu tersembunyi yang lebih kemas. Bahagian belakang juga berbeza, dengan versi PHEV tampil dengan rekaan jalur lampu yang lebih menarik dan jelas, berkelebaran penuh, dengan ruang untuk nombor plat dinaikkan ke bahagian pintu dari kawasan bampar.
Dan, walaupun menggunakan rim dengan saiz 19-inci yang sama, rekaannya berbeza. Semua ini dilakukan tanpa memberikan kesan besar terhadap kadar rintangan pergerakannya: 0.288 Cd untuk eMas 7 PHEV berbanding 0.275 Cd untuk eMas 7. Oleh kerana ia bukan EV, eMas 7 PHEV juga mempunyai ekzos di kedudukan yang sedikit tersembunyi di bahagian bawah.
Bahagian dalaman pula masih belum boleh ditunjuk. Tetapi ruang kabinnya boleh dijangka akan mirip dengan versi EV-nya. Antara kelengkapan yang ada adalah seperti juga versi EV-nya, model PHEV ini dilengkapi dengan Flyme OS (dengan sokongan bahasa Malaysia dan Inggeris), sistem dengan 16-pembesar suara, kesepaduan peta pengecasan live dan skrin infotainmen di tengah 2.5k 15.4-inci. Ciri Apple CarPlay dan Android Auto juga tersedia. Ada juga ciri head-up display dan tujuh beg udara (lebih satu berbanding EV).
Ruang barangan maksimum 2,055 liter di belakang — ini adalah 188 liter lebih daripada versi EV (dengan 1,888 iter) jika kerusi belakang di rebahkan. Dalam keadaan biasa, ruang barangan PHEV ini ialah seluas 528 liter dan 67 liter lebih besar (EV 461 liter). Selain itu, ada juga ruang storan 100 liter di bawah lantai barangan yang tersembunyi: ini 49 liter lebih kapasiti berbanding pada EV.
Pertanyaannya, berapa harga yang patut dikenakan untuk Proton eMas 7 PHEV ini berbanding pesaingnya dalam segmen PHEV yang sama?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.


















































