Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan pihaknya akan menyediakan keseluruhan lapan tren tambahan bagi perkhidmatan tren elektrik tambahan (ETS) sempena Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Ia adalah susulan pengumuman oleh Menteri Pengangkutan baru-baru ini bagi Perkhidmatan Pengangkutan Awam Istimewa Sempena Perayaan 2026.
Menurut KTMB berkata, perkhidmatan yang ditambah merangkumi sektor KL Sentral – Ipoh – KL Sentral, KL Sentral -Butterworth – KL Sentral, KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral, JB Sentral – KL Sentral – JB Sentral dan JB Sentral – Butterworth – JB Sentral.
Untuk Tahun Baharu Cina, sebanyak 26,460 tiket tambahan bagi tempoh 13 hingga 22 Februari akan disediakan. Jualan tiket tambahan ini juga telah mula dibuka sejak 24 Januari lalu.
Dalam masa yang sama, KTMB turut memperkenalkan perkhidmatan Electric Multiple Unit Plus (EMU+) pada 13 hingga 15 Februari dan 20 hingga 22 Februari ini bagi laluan KL Sentral-Ipoh-KL Sentral, dengan kapasiti 1,200 penumpang sehari melalui empat perjalanan harian sepanjang tempoh operasi dan tiket bagi perkhidmatan itu telah habis dijual.
Untuk Hari Raya Aidilfitri tahun ini pula, tren tambahan bagi ETS melibatkan perjalanan antara 13 hingga 29 Mac 2026. Sebanyak 36,540 tiket perjalanan untuk perkhidmatan tambahan akan ditawarkan. Jualan tiket tambahan ini akan dibuka mulai jam 12 tengahari pada 1 Mac 2026.
“Dengan penambahan trip perjalanan ini, jumlah keseluruhan perjalanan perkhidmatan ETS dan EMU+ semasa Hari Raya Aidilfitri meningkat sehingga maksima 56 trip sehari. Oleh itu, jumlah keseluruhan yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia sempena musim perayaan ini yang merangkumi perkhidmatan EMU+ dan ETS tambahan adalah sebanyak 70,200 tiket.
“Penyediaan tren ETS tambahan ini mencerminkan keprihatinan berterusan KTMB dengan sokongan Kementerian Pengangkutan dalam memastikan keperluan perjalanan rakyat sentiasa diberi keutamaan,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
KTMB turut menyarankan orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal dan membuat pembelian tiket terlebih dahulu bagi menikmati tambang yang lebih menjimatkan serta mengelakkan kesesakan dan pembelian pada saat akhir.
“Para penumpang turut dingatkan untuk tiba di stesen sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu berlepas kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren bertolak. Bagi kemudahan pengguna, maklumat terkini berkaitan perkhidmatan ETS boleh diperoleh melalui saluran media sosial rasmi KTMB dari semasa ke semasa,”tambahnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

