Nampaknya pengumuman Proton awal tahun ini bahawa ia mensasarkan untuk menjual 200,000 unit kenderaan sepanjang 2026 bukan cakap-cakap kosong. Bagi bulan pembukaan tahun ini, Proton telahpun berjaya menjual sebanyak 19,833 unit kenderaan! Jumlah berkenaan bukan hanya untuk jenama Proton, tetapi untuk keseluruhan kumpulan Proton termasuk eMas dan smart.
Menurut Proton ini merupakan rekod jualan bulanan terbaik pernah dicatatkan sejak Mac 2011. Jualan Januari 2026 ini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 35.3% berbanding Disember 2025. Manakala sekiranya ia dibandingkan dengan jualan Januari 2025 dengan jumlah 9,918 unit, peningkatan yang dicatatkan adalah melebihi 100%.
Dengan angka jualan yang dicatatkan ini, Proton menjangkakan bahawa ia kini memegang sebanyak 30.6% bahagian pasaran, rekod tertinggi pernah dicatatkan sejak Januari 2012.
Pretasi memberangsangkan ini dipacu oleh model paling laris Proton iaitu Saga, di mana model kemaskini MC3 yang diperkenalkan pada hujung tahun lalu telah menambat hati rakyat Malaysia dengan tempahan yang kini telah mencecah 100,000 unit, di mana pada sepanjang Januari 2026 sebanyak 10,285 unit telah berjaya dihantar kepada pelanggan.
Manakala untuk model lain, SUV segmen-B Proton X50 telah terjual sebanyak 2,429 unit, dan SUV segmen-C X70 pula terjual sebanyak 672 unit, atau kedua-duanya naik masing-masing sebanyak 69.3% dan 16.5% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Satu lagi sedan Proton iaitu model segmen-C Proton S70 juga mencatatkan jualan terbaik sejak Mei 2025 dengan terjual sebanyak 1,604 unit sepanjang Januari 2026, atau naik 40.3% berbanding Januari tahun lalu. Manakala SUV paling besar Proton iaitu X90 terjual sebanyak 252 unit pada Januari 2026, naik 24.1% berbanding bulan sama tahun lalu.
“Proton mencatat permulaan yang sangat baik pada tahun 2026. Usaha kami memperbaharui barisan produk dengan penawaran enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV), serta pendekatan komunikasi teknologi yang lebih jelas untuk setiap model, kini mula menunjukkan hasil positif. Banyak lagi yang akan menyusul apabila kami terus mengukuhkan kehadiran pasaran dan memperluaskan aktiviti pengeluaran tempatan bagi memastikan pelanggan menerima kenderaan terbaik pada harga yang kompetitif,” kata Timbalan CEO Proton, Abdul Rashid Musa.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.


