BMW X5 2027 diperkenal – model generasi G65 terima rupa, teknologi Neue Klasse, versi EV 845 km WLTP

BMW secara rasminya memperkenalkan BMW X5 generasi kelima, model yang menjadi antara tonggak paling penting dalam sejarah jenama itu sejak diperkenalkan 27 tahun lalu. Sebagai SUV premium yang membuka laluan kepada perkembangan rangkaian model X BMW, X5 memainkan peranan besar dalam menjadikan pengeluar dari Munich itu sebagai antara pemain utama dalam segmen SUV dan crossover global.

Model terbaru ini menggunakan nama kod G65, sekaligus menggantikan generasi G05. Walaupun reka bentuknya banyak dipengaruhi bahasa rekaan Neue Klasse dan menampilkan pelbagai teknologi terkini, X5 baru tidak dibina menggunakan platform elektrik khusus seperti iX3 dan i3 generasi baru.

Sebaliknya, ia masih menggunakan platform CLAR yang telah dinaik taraf bagi menyokong pelbagai jenis trenkuasa termasuk enjin pembakaran dalaman, plug-in hybrid (PHEV), elektrik sepenuhnya dan juga hidrogen.

Buat pertama kalinya dalam sejarah model ini, BMW memperkenalkan versi elektrik penuh yang dikenali sebagai iX5. Selain itu, versi hidrogen iX5 Hydrogen turut dijadualkan memasuki pasaran pada tahun 2028 sebagai model pengeluaran besar-besaran pertama BMW yang menggunakan teknologi sel bahan api hidrogen.

BMW X5 2027 diperkenal – model generasi G65 terima rupa, teknologi Neue Klasse, versi EV 845 km WLTP

Dari segi dimensi, BMW X5 baru berukuran 4,994 mm panjang, 2,000 mm lebar dan 1,742 mm tinggi. Ia 59 mm lebih panjang berbanding model terdahulu, manakala jarak rodanya kini meningkat kepada 3,035 mm, sekaligus memberikan lebih banyak ruang dalaman.

Reka bentuk luar jelas menampilkan identiti Neue Klasse dengan bentuk keseluruhan yang menyerupai iX3 baru tetapi dalam skala lebih besar. Bahagian hadapan masih mengekalkan gril kidney yang lebih nipis serta panel hitam berkilat, dipadankan dengan lampu hadapan yang menampilkan grafik berbentuk huruf “X” sebagai lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu isyarat.

BMW turut menyediakan pilihan untuk mematikan sebahagian grafik tersebut bagi pasaran tertentu yang mempunyai sensitiviti terhadap simbol berbentuk silang. Lampu hadapan juga menggunakan projektor yang disembunyikan dalam elemen grafik tersebut, manakala lampu tinggi Matrix LED ditempatkan di bahagian tengah. Varian prestasi M60e menerima lampu DRL berwarna kuning, satu ciri yang sebelum ini hanya digunakan pada model berprestasi tinggi BMW M seperti M5 CS.

Di bahagian sisi, BMW menggunakan sistem pembuka pintu elektronik tanpa pemegang pintu konvensional. Sebaliknya, pintu dibuka menggunakan sirip kecil yang mengaktifkan mekanisme elektronik, namun sistem pelepas mekanikal masih disediakan sekiranya berlaku kemalangan.

Di belakang pula, lampu LED direka lebih lebar dengan grafik baru yang membezakannya daripada iX3. BMW juga tidak lagi menggunakan pintu belakang dua bahagian, yang menjadi identiti X5 sejak sekian lama dan menggantikannya dengan pintu belakang satu bahagian.

Pilihan rim kini bermula daripada saiz 21 inci sehingga 23 inci, yang merupakan pertama kali ditawarkan pada X5. Varian M60e pula didatangkan standard dengan rim 22 inci serta empat muncung ekzos.

Ruang kabin menerima perubahan besar dengan penggunaan konsep Panoramic iDrive yang diperkenalkan menerusi keluarga Neue Klasse. Ia menggabungkan skrin sesentuh tengah bersaiz 17.9 inci, paparan Panoramic Vision yang merentasi keseluruhan papan pemuka serta paparan head-up display.

Turut ditawarkan ialah skrin penumpang bersaiz 14.6 inci sebagai pilihan. Dari aspek kemasan, BMW meningkatkan lagi tahap kemewahan menerusi pilihan kulit BMW Individual Merino, balutan Alcantara serta kemasan kristal pada suis kawalan.

BMW X5 2027 diperkenal – model generasi G65 terima rupa, teknologi Neue Klasse, versi EV 845 km WLTP

Stereng masih menggunakan rekaan baru Neue Klasse, namun pelanggan boleh memilih stereng M Sport yang lebih konvensional. Pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi2 dengan fungsi magnet turut disediakan bersama aksesori pemegang magnet untuk penumpang belakang.

Sistem audio standard menggunakan 12 pembesar suara dengan kuasa 280 watt, manakala sistem premium Bowers & Wilkins 775 watt dengan 18 pembesar suara serta sokongan Dolby Atmos ditawarkan sebagai pilihan. Walaupun tempat duduk belakang tidak lagi menawarkan fungsi gelongsor atau pelarasan sudut sandaran, ruang kabin kekal luas hasil dimensi badan yang lebih besar.

Ruang kargo menawarkan kapasiti 650 liter bagi model biasa dan boleh ditingkatkan kepada 1,850 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Varian PHEV menyediakan ruang bagasi lebih kecil iaitu 525 liter. Menariknya, iX5 turut menerima ruang simpanan hadapan atau frunk buat pertama kali bagi model BMW berasaskan platform CLAR, walaupun saiznya agak kecil.

BMW turut menamatkan pilihan konfigurasi tujuh tempat duduk yang diperkenalkan pada generasi terdahulu, selain tidak lagi menawarkan penutup ruang bagasi automatik yang boleh disimpan di bawah lantai.

BMW X5 2027 diperkenal – model generasi G65 terima rupa, teknologi Neue Klasse, versi EV 845 km WLTP

Ketika pelancarannya hujung tahun ini, BMW X5 akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin pembakaran dalaman. X5 40 menggunakan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo B58 yang menghasilkan 400 PS dan 540 Nm. Sistem hibrid ringkas 48 volt menambah 18 PS serta 200 Nm ketika pecutan, menjadikan jumlah tork mencecah 580 Nm. Dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF dan sistem pacuan semua roda xDrive, model ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat.

Varian diesel X5 40d pula menggunakan enjin B57 3.0 liter enam silinder yang menghasilkan 313 PS dan 670 Nm, dengan catatan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam tempoh 6.2 saat.

Awal tahun hadapan, BMW akan memperkenalkan varian PHEV X5 50e yang menggabungkan enjin B58 berkuasa 313 PS bersama motor elektrik 197 PS. Gabungan kedua-duanya menghasilkan 490 PS dan 700 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa lima saat. Pek bateri berkapasiti 26.5 kWh pula membolehkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya antara 86 hingga 102 kilometer mengikut kitaran WLTP.

Varian M60e menjadi model M Performance pertama X5 yang menggunakan sistem PHEV. Ia menghasilkan kuasa keseluruhan 612 PS dan 800 Nm, sekaligus membolehkan pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 4.5 saat. Walaupun lebih berkuasa, jarak pemanduan elektriknya masih mencecah antara 81 hingga 98 kilometer.

Bagi peminat kenderaan elektrik, iX5 60 dilengkapi dua motor elektrik yang menghasilkan 578 hp dan 805 Nm. Model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.6 saat.

Tumpuan utama iX5 ialah penggunaan bateri NMC berkapasiti bersih 141 kWh, yang merupakan bateri terbesar pernah dipasang pada model elektrik BMW. Ia membolehkan jarak perjalanan antara 645 hingga 845 kilometer mengikut piawaian WLTP.

Selain itu, iX5 turut menjadi model pertama berasaskan platform CLAR yang menggunakan sistem elektrik 800 volt, sekaligus menyokong pengecasan pantas DC sehingga 460 kW. Pengecasan daripada 10 hingga 80 peratus hanya memerlukan sekitar 23 minit, manakala pengecasan AC sehingga 22 kW membolehkan bateri dicas penuh dalam tempoh kira-kira tujuh jam 30 minit.

BMW turut mengesahkan bahawa versi iX5 Hydrogen akan dibangunkan bersama Toyota. Model ini menggunakan tangki hidrogen yang lebih nipis bagi membolehkan ruang kabin dan ruang bagasi dikekalkan sama seperti versi elektrik, selain menawarkan jarak pemanduan sekitar 750 kilometer.

BMW X5 2027 diperkenal – model generasi G65 terima rupa, teknologi Neue Klasse, versi EV 845 km WLTP

Dari aspek pengendalian, BMW X5 baru menggunakan suspensi hadapan jenis double wishbone dan suspensi belakang five link. Semua varian dilengkapi penyerap hentak adaptif sebagai standard, manakala sistem suspensi udara, stereng gandar belakang sehingga 3.5 darjah dan sistem kawalan olengan aktif ditawarkan sebagai pilihan bergantung kepada varian.

Bagi aspek keselamatan, BMW melengkapkan X5 dengan pakej Driving Assistant Plus sebagai ciri standard. Ia menyokong pemanduan separa autonomous Tahap 2 serta dilengkapi brek kecemasan automatik, bantuan mengelak halangan, pemantauan titik buta, amaran trafik lintang bersama fungsi membrek automatik dan amaran ketika membuka pintu.

Turut ditawarkan ialah sistem pemanduan automatik lebuh raya tanpa perlu memegang stereng, pemanduan automatik dalam bandar menggunakan peta digital berketepatan tinggi serta sistem parkir automatik yang dibantu kecerdasan buatan. Fungsi parkir kawalan jauh juga disediakan sebagai pilihan.

Dengan reka bentuk yang jauh lebih moden, pilihan trenkuasa paling lengkap dalam sejarah model ini serta pelbagai teknologi baru, BMW X5 generasi kelima dijangka terus menjadi antara SUV premium paling penting dalam portfolio BMW apabila mula memasuki pasaran global hujung tahun ini.

GALERI: BMW X5 40 xDrive 2027

GALERI: BMW iX5 60 xDrive 2027

GALERI: BMW X5 M60e xDrive 2027

Tags: