Memandangkan aplikasi Smart Intelligent Parking (SIP) atau Smart Selangor dan Flexi Parking masih berhadapan dengan gangguan teknikal, Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan tiada caj parkir atau kompaun dikenakan kepada pengguna.
Menerusi perkongsian di laman Instagram rasminya, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menerima makluman berhubung aplikasi parkir itu yang tidak dapat diakses oleh pengguna akibat isu teknikal semalam.
“Saya telah dimaklumkan terdapat aduan berkenaan aplikasi parking yang tidak dapat diakses oleh pengguna. Pasukan teknikal sedang menaiktaraf sistem untuk dimigrasi ke server baharu. Sementara urusan teknikal ini berjalan, saya telah mengarahkan agar tiada caj parkir ataupun kompaun akan dikenakan kepada para pengguna sehingga isu teknikal ini diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Walau bagaimana untuk pengguna di bandaraya Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula berkata, orang ramai disarankan untuk menggunakan aplikasi pembayaran parkir alternatif seperti EZ KL Smart Park, Setel dan Mcash untuk bayaran parkir.
Di Putrajaya pula, para pengguna dinasihatkan untuk menggunakan Touch ‘n Go, kad debit dan kad kredit sebagai kaedah pembayaran alternatif bagi Tempat Letak Kereta Terkawal (berpalang).
