Perbelanjaan subsidi diesel, petrol negara akan cecah RM40 bilion tahun ini; dua kali ganda dari peruntukan

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perbelanjaan kerajaan Malaysia untuk subsidi petrol dan diesel akan mencecah RM40 bilion tahun ini, atau lebih dua kali ganda berbanding RM15 bilion yang telah diperuntukkan di bawah Belanjawan 2026, lapor The Star.

Beliau yang turut bertindak sebagai Menteri Kewangan Malaysia berkata, kerajaan telah membelanjakan hampir RM800 juta sebulan untuk subsidi petrol diesel dan RON 95 bagi tempoh Januari dan Februari, dan angka itu meningkat mendadak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April lalu.

“Jika harga pasaran semasa berterusan, kerajaan dijangka membelanjakan hampir RM40 bilion untuk tujuan subsidi produk petroleum bagi tahun 2026,” kata Anwar dalam jawapan bertulis parlimen kepada Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan peruntukan terkini untuk subsidi petrol dan diesel.

Tambah beliau, peningkatan peruntukan subsidi ini telah membolehkan kerajaan terus menawarkan petrol RON 95 pada kadar subsidi semasa iaitu RM1.99 seliter. Anwar juga memaklumkan bahawa bekalan petroleum Malaysia kekal stabil dan mencukupi.

Bulan lalu, perbelanjaan kerajaan Malaysia masing-masing diunjurkan menurun kepada RM2 bilion dan RM1.5 bilion sebulan bagi subsidi petrol RON 95 dan diesel, dengan jumlah RM3.5 bilion sebulan, susulan sedikit penurunan harga minyak mentah Brent global. Itu adalah susulan kepada harga kemuncak sebanyak RM7.5 bilion sebulan pada yang direkodkan pada April.