Mercedes-Benz Malaysia lantik Kevin Barbian sebagai COO baharu, efektif 1 Sept – gantikan Nadia Trimmel

Kevin Barbian (kiri) & Nadia Trimmel (kanan)

Mercedes-Benz Malaysia telah mengumumkan pelantikan Kevin Barbian sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharu, berkuatkuasa 1 september 2026.

Dengan pengalaman meluas dalam bidang pembangunan perniagaan, pendigitalan dan perkhidmatan pemilikan pelanggan di Mercedes-Benz, Barbian memulakan kerjayanya pada 2011 sebagai perunding pembangunan perniagaan. Beliau kemudiannya mengetuai bidang telematik komersil dan perkhidmatan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) sebelum menubuhkan Mercedes-Benz Connectivity Services GmbH pada 2016, di mana beliau berkhidmat sebagai ketua jualan dan pemasaran.

Dalam tempoh sedekad yang lalu, Barbian memegang beberapa jawatan kepimpinan dalam bidang IT dan transformasi digital, termasuk sebagai peneraju digital untuk bahagian Mercedes-Benz EQ, yang melibatkan pengurusan kemas kini over-the-air (OTA) serta fungsi atas permintaan. Kemudian beliau terlibat pula dalam penubuhan dan pengembangan unit digital, data dan AI dalam bahagian perkhidmatan pelanggan IT syarikat di beberapa hab antarabangsa.

Jawatan terakhir beliau sebelum ini ialah mengetuai program ‘Retail of the Future’ di Eropah, dengan tanggungjawab menyelia pelaksanaannya di Jerman dan pasaran-pasaran lain. Program tersebut kemudiannya diperkenalkan ke Malaysia pada September 2023.

Mercedes-Benz Malaysia lantik Kevin Barbian sebagai COO baharu, efektif 1 Sept – gantikan Nadia Trimmel

“Malaysia merupakan pasaran yang penting dan dinamik bagi Mercedes-Benz, dengan potensi besar untuk pertumbuhan dan inovasi berterusan. Saya tidak sabar untuk meneruskan momentum kukuh perniagaan ini dan bekerjasama dengan pasukan kami yang berbakat serta rangkaian peruncit bagi terus meningkatkan pengalaman pelanggan. Fokus kami kekal untuk menawarkan produk yang diingini, pengalaman yang lancar serta nilai yang bermakna kepada para pelanggan,” kata Barbian.

Barbian menggantikan Nadia Trimmel, yang akan meneruskan kerjayanya dengan tugasan baharu sebagai pengarah jualan Mercedes-Benz Vans UK. Beliau menyertai Mercedes-Benz Malaysia sebagai naib presiden jualan dan pemasaran pada 2024, dan menyelia pelaksanaan program ‘Retail of the Future’, selain beberapa pelancaran produk utama, dengan yang terbaharu ialah CLA elektrik.

“Tempoh saya di Malaysia merupakan satu pengalaman yang amat bermakna dan memberikan banyak kepuasan, dan saya berbangga dengan apa yang telah kami capai bersama. Daripada pasukan dan rakan sekerja saya, hinggalah rakan kongsi peruncitan, pelanggan serta pihak berkepentingan, semangat, komitmen dan ketabahan mereka yang berada di sekeliling saya menjadikan fasa ini begitu bermakna.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini dan mengalu-alukan kedatangan Kevin ke sini. Di bawah kepimpinannya, saya yakin perniagaan ini akan terus membina momentum kukuh yang telah dicapai dan mampu meraih kejayaan yang lebih besar pada tahun-tahun akan datang,” kata Trimmel.