Pulau Pinang telah menerima kumpulan pertama bas elektrik (EV) yang akan digunakan dalam rangkaian pengangkutan awam di negeri terbabit, laporan The Star.
Untuk kumpulan pertama itu, sebanyak 15 unit bas EV telah diterima, dengan 14 daripadanya berukuran 8.25 meter panjang, dam satu lagi berukuran 12 meter panjang.
“Saiznya yang kompak membolehkan bas-bas ini melalui jalan yang lebih sempit dan kawasan yang lebih sibuk dengan mudah, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan bagi pengguna pengangkutan awam,” kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pada majlis pelancaran rasmi di depoh Rapid Penang di sepanjang Weld Quay.
Sebanyak 75 buah bas elektrik akan mula beroperasi di seluruh kawasan pulau dan tanah besar Pulau Pinang menjelang Mac tahun depan, kata Menteri Pengangkutan itu lagi.
Perolehan 75 buah bas elektrik untuk negeri itu merupakan sebahagian daripada perolehan fasa pertama yang lebih besar, keseluruhannya melibatkan 250 buah bas elektrik, dengan 175 buah daripadanya diperuntukkan untuk Rapid KL. Dalam jangka panjang, Rapid Bus akan memperoleh sebanyak 1,600 buah bas elektrik secara berperingkat menjelang 2031 bagi menggantikan sebahagian bas berenjin diesel dalam perkhidmatan Rapid KL dan Rapid Penang.
Infrastruktur pengecasan khusus di depoh sedang dipasang di seluruh kawasan operasi bagi memastikan kelancaran perkhidmatan harian serta penyelenggaraan yang cekap, kata Menteri Pengangkutan itu.
Sehingga 13 Oktober, Rapid Bus telah menerima 52 buah bas elektrik di bawah fasa pertama, iaitu 37 buah di Kuala Lumpur dan 15 buah di Pulau Pinang.









