Jaecoo J5 EV rasmi di Malaysia — 402 km, 0-100 km/j dalam 7.7 saat, CKD; RM118,800, RM10k lebih dari petrol

Selepas dipertontonkan dan kemudian dibuka untuk tempahan pada Julai 2026, Jaecoo Auto Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model SUV elektrik Jaecoo J5 EV untuk pasaran Malaysia. Merupakan model EV pertama bagi jenama ini untuk pasaranDiposisikan sebagai sebuah SUV segmen B yang lebih premium, Jaecoo J5 EV dijual dengan harga RM118,800 atas jalan belum termasuk insuran.

Ini lebih rendah berbanding harga anggaran yang dinyatakan sebelum ini, RM125,000 ketika ia dibuka untuk tempahan pada Julai. Dengan ini juga, harga versi elektrik ini adalah RM10k lebih mahal berbanding versi petrolnya, dengan varian 2WD-nya dijual dengan harga RM108,000 sebelum kos atas jaan dan insuran.

Sempena pelancarannya, Jaecoo J5 EV ditawarkan dengan pakej pelancaran untuk 1,000 pelanggan terawal. Ini merangkumi nilai keseluruhan sebanyak RM10,000, dan terdiri daripada: insuran percuma untuk setahun, tiga tahun data percuma, pengecas rumah 7 kW Jaecoo, kabel V2L Jaecoo percuma, aksesori gaya hidup J5 EV serta pengecasan percuma tanpa had oleh JomCharge.

Jaecoo J5 EV rasmi di Malaysia — 402 km, 0-100 km/j dalam 7.7 saat, CKD; RM118,800, RM10k lebih dari petrol

Model ini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) di kilang milik kumpulan syarikat Chery di Shah Alam, Selangor. Ia akan dilengkapi motor elektrik dengan output 211 PS (208 hp atau 155 kW) dan tork 288 Nm. Dari sudut prestasi, SUV ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat untuk mencapai laju maksimum 175 km/j.

Jaecoo J5 EV untuk pasaran tempatan dilengkapi dengan bateri CATL Lithium Iron Phosphate (LFP) 58.9 kWh yang mampu memberikan jarak perjalanan hingga 402 km WLTP. Ini menjadikan kapasiti bateri yang ditawarkan di sini lebih besar berbanding di Thailand (50.6 kWh) dan sedikit kecil berbanding di Indonesia (60.9 kWh).

Bateri berkenaan menyokong pengecas pantas DC 130 kW dengan SoC dari 30% hingga 80% boleh dicapai dalam 28 minit. Ia juga menyokong pengecasan AC 11 kW dan turut ditampilkan dengan sistem vehicle-to-load (V2L) dengan kuasa hingga 3.3 kW bagi menjana peranti elektrik lain.

Dari segi dimensi, Jaecoo J5 EV mempunyai ukuran 4,380 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,650 mm tinggi dengan jarak roda 2,620 mm. Ini hampir menyamai saiz SUV lain seperti Honda HR-V, Proton X50 dan Chery Tiggo Cross. Dalam kalangan kenderaan elektrik pula, pesaing paling rapat dan berada dalam kategori yang sama dengan Jaecoo J5 EV ialah BYD Atto 2 dan iCaur 03.

Jaecoo J5 EV rasmi di Malaysia — 402 km, 0-100 km/j dalam 7.7 saat, CKD; RM118,800, RM10k lebih dari petrol

Selain itu, jarak kelegaan tanahnya ialah 174 mm, dengan ruang barangan yang tersedia di belakang ialah 480 liter dan boleh ditambah sehingga 1,284 liter dengan kerusi belakan dilipat. Terdapat juga ruang “frunk” seluas 35 liter.

Penampilan luarannya pula tidak jauh berbeza berbanding model J5 melainkan bahagian hadapannya. Di depan, ia hadir dengan rekaan yang lebih ringkas tanpa gril konvensional seperti model petrolnya. Ini diwakili oleh teknologi Active Grille Shutter (AGS) yang bertindak untuk mengoptimakan aliran udara bagi meningkatkan penjimatan dan pengendalian yang lebih mantap, lencana BEV serta rim aloi 18-inci dengan rekaan aero dua-tona yang berbeza dari versi petrol.

Di dalam, kelengkapan yang ada termasuklah papan pemuka dengan rekaan minimalis, kluster instrumen digital 8.88-inci, paparan sentral 13.2-inci, bumbung kaca panoramik 1.45 meter persegi, kawalan suhu dwi-zon, kamera pandangan sekeliling HD 540-darjah, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar Qi 50-watt, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa dan tailgate kuasa.

Selain itu, seperti juga versi petrol, SUV elektrik ini juga diberikan kemasan tempat duduk daripada kulit buatan yang diperakui TÜV, dengan elemen antibakteria, tahan calar serta mempunyai kandungan VOC (sebatian organik meruap) yang rendah, yang menurut Jaecoo juga mesra haiwan peliharaan, walau bagaimana pun versi EV ini dipadankan dengan kemasan jaluran dan jahitan berwarna biru.

Bagi aspek keselamatan, kelengkapannya sama seperti yang ada untuk versi petrol. Ini antaranya termasuk enam-beg udara dan ADAS Tahap 2 seperti AEB, Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist, Lane Departure Prevention, Blind Spot Detection, Lane Change Assist, Full-Speed Adaptive Cruise Control, Front Vehicle Departure Alert dan Integrated Cruise Assist.

Tidak ketinggalan ciri lain seperti Forward Collision Warning, Rear Cross-Traffic Alert and Braking, Traffic Jam Assist, Evasive Steering Assist, Door Opening Warning, Active Speed Limiter, Rear Collision Warning, Multi-Collision Braking dan Emergency Lane Keeping Assist.

J5 EV ini akan ditawarkan dengan tiga pilihan warna luaran iaitu Alpine Green, Fjord Grey dan Carbon Crystal Black. Pilihan warna ini berbeza dengan versi petrol yang menawarkan rona Glacier Blue, Canyon Black, Zircon Gray dan Snowy White.

IKLAN: Pandu kereta Omoda Jaecoo idaman anda dengan tawaran terbaik. Hantar butiran anda dan pengedar Omoda Jaecoo Carro akan menghubungi anda.

Tags: