Volkswagen Golf GTI di Malaysia dapat rim Huntsville Adamantium Dark; harga sama,tapi hanya 50 unit

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini memperkenalkan Golf GTI yang dipadankan terus dengan set rim aloi 18-inci lima-jejari Huntsville Adamantium Dark untuk pasaran tempatan. Model ini ditawarkan sempena ulangtahun ke-50 Golf GTI, dan ia diberikan tanpa bayaran tambahan, namun hanya terhad kepada 50 unit sahaja.

Jadi anda boleh memiliki Golf dengan set rim istimewa ini dengan harga runcit yang disarankan RM255,990, termasuk Pakej Jaminan Volkswagen (VAP) yang turut disertakan sekali dengan pakej penyelenggaraan selama lima-tahun, waranti tanpa had perbatuan selama lima-tahun, serta bantuan tepi jalan juga selama lima-tahun.

Set rim Huntsville Adamantium Dark ini menampilkan jejari yang lebih sporty serta menyerlahkan lagi angkup brek berwarna merah Golf GTI, berbanding set rim Richmond standard. Volkswagen Golf GTI generasi ke lapan dalam versi facelift ini mula diperkenalkan di Malaysia pada November tahun lalu, dan ia masih dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang.

Volkswagen Golf GTI di Malaysia dapat rim Huntsville Adamantium Dark; harga sama,tapi hanya 50 unit

Ia digerakkan oleh enjin EA888 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 265 PS dan tork maksima 370 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik (klac basah) tujuh kelajuan, bagi memacu sepenuhnya roda hadapan. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat.

Golf GTI Mk8.5 pasaran Malaysia ini juga diberikan sistem stereng dengan nisbah bervariasi, gandar hadapan dengan LSD elektronik XDS, sistem suspensi adaptif, sistem audio Harman Kardon 480-watt dengan sembilan pembesar suara dan subwoofer yang dikuasakan oleh penguat digital 12-saluran dan banyak perincian lain lagi.

Tags: