Mitsubishi Attrage, iaitu versi sedan untuk hatchback Mirage generasi keenam sudahpun berada sekitar 13 tahun dalam pasaran. Dan nampaknya model ini mungkin akan bertahan sekitar tiga tahun lagi dalam pasaran apabila versi facelift terbaharunya dilancarkan di Thailand hari ini.
Pada pasaran tersebut Attrage facelift ini ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.2 Active dijual pada harga THB564,000 (sekitar RM69k) dan juga 1.2 Smart berharga THB619,000 (RM76k). Attrage masih lagi dipasang secara tempatan di Thailand.
Ini merupakan facelift ketiga untuk Attrage di mana facelift kali pertama diberikan pada 2015 dan kemudian yang kedua pada 2019. Untuk kali ini, perubahan yang dibuat pada luaran hanyalah pada bahagian muka dengan diberikan bampar baharu yang didakwa diinspirasikan dari Lancer Evolution.
Manakala lain-lain bahagian masih lagi nampak sama. Bagi varian asas Active, ia menerima rim 14-inci dengan tayar 175/65R14, lampu hadapan halogen reflektor, lampu kabus hadapan, lampu belakang LED, spoiler belakang dengan lampu brek ketiga, cermin sisi larasan kuasa dan lampu isyarat membelok bina dalam, tip ekzos kemasan krom, dan juga kerangka cermin tingkap pintu berwarna hitam.
Varian Smart pula ditambah dengan rim aloi 15-inci dengan tayar 185/55R15, lampu hadapan LED projektor automatik, lampu nyalaan siang LED, dan juga lampu isyarat membelok LED pada cermin pandang siang LED.
Juga tiada perubahan diberikan pada bahagian kabin, di mana varian Active menerima perincian standard seperti kemasan dalam Piano Black dan pembuka pintu krom, upholsteri fabrik, perehat tangan untuk pemandu dan penumpang belakang, paparan instrumen analog dengan skrin paparan pelbagai informasi (MID), larasan roda stereng hanya atas-bawah, roda stereng urethene dengan suis kawalan audio dan telefon.
Untuk sistem infotainmen, Attrage Active ini diberikan skrin sesentuh tujuh-inci yang menyokong Android Auto, Apple Carplay dan sistem navigasi, dihubungkan kepada empat pembesar suara.
Bagi varian Smart pula, ia menerima perincian dalaman tambahan seperti roda stereng dan tombol gear balutan kulit, cruise control, sistem penghawa dingin automatik denga paparan digital, cermin pandang belakang auto-malap. upholsteri kulit palsu, butang penghidup enjin dan banyak lagi.
Mitsubishi Attrage facelift 2026 ini masih digerakkan oleh enjin 3A92 1.2 liter tiga-silinder DOHC MIVEC yang kini dikemaskini dengan pemadanan pengguling (roller) untuk aci sesondol bagi mengurangkan geseran ketika beroperasi. Namun kuasa yang dihasilkan masih sama iaitu 78 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 100 Nm pada takat 4,000 rpm.
Kuasa dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT Invecs III. Unit rangkaian kuasa ini boleh beroperasi dengan bahan api campuran ethanol E20, dan mampu mencatatkan penggunaan bahan api 23.3 km/l.
Untuk keselamatan pula, kedua-dua varian Attrage di Thailand ini dilengkapi dua beg udara serta kamera pada cermin hadapan bagi memberikan dua fungsi bantuan pemanduan iaitu amaran lintasan hadapan dan amaran keluar laluan. Manakala varian Smart pula ditambah dengan kamera undur dan dua lagi fungsi bantuan pemanduan iaitu brek kecemasan hadapan dengan brek kelajuan rendah dan juga sistem pengelak pecutan hadapan.
Pembeli ditawarkan dengan tiga pilihan warna badan iaitu White Diamond dengan kesan Pearl, Graphite Gray dan Jet Black. Setiap pembelian dilindungi oleh waranti selama lima tahun atau 100,000 km, dan juga kos upah percuma untuk servis selama lima tahun atau 100,000 km.



