Mazda telah mengumumkan bahawa SUV CX-30 akan dikilangkan secara tempatan (CKD) di Indonesia bermula 29 Julai ini. Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Mazda menyatakan bahawa keputusan untuk memasang CX-30 di Indonesia adalah kerana negara tersebut merupakan antara pasaran utamanya di wilayah ASEAN dan ini akan memacu pertumbuhan perniagaanya di sana. SUV ini juga sebenarnya sudah mula dipasang di Malaysia sejak 2023.
Projek CKD Mazda di Indonesia diterajui oleh PT Eurokars Motor Indonesia (EMI), pengedar eksklusif kenderaan Mazda di Indonesia, bersama anak syarikatnya PT Eurokars Produksi Pratama (EPP). Operasi CKD berkenaan akan dijalankan menerusi barisan pemasangan khusus di sebuah kilang yang terletak di daerah Citeureup, Kabupaten Bogor, Jawa Barat. Menurut laporan oleh Oto, buat permulaan barisan tersebut mampu untuk menghasilkan 5,700 unit kenderaan setahun.
Untuk operasi CKD ini, Mazda memainkan peranannya dalam menyumbang pembangunan sumber manusia, pembekalan peralatan, nasihat teknikal mengenai pengeluaran kenderaan serta pembekalan alat ganti bagi memastikan piawaian kualiti globalnya dipenuhi. Projek ini merupakan sebahagian daripada Strategi Aset Ringkas, yang menekankan kerjasama dengan rakan kongsi tempatan untuk meningkatkan kecekapan sambil menyediakan kenderaan Mazda berkualiti tinggi kepada pelanggan.
“Indonesia merupakan pasaran utama bagi Mazda di rantau ASEAN, berada di kedudukan selepas Vietnam, Malaysia dan Thailand dari segi jumlah jualan, dan merupakan pasaran di mana pertumbuhan selanjutnya dijangka berlaku. Pemasangan tempatan CX-30 merupakan langkah penting dalam menyokong pertumbuhan mampan jenama Mazda di Indonesia,” kata Toru Nakajima, pegawai eksekutif kanan penyelarasan jualan global Mazda yang bertanggungjawab ke atas operasi di China, ASEAN dan Jepun.
“Kami berhasrat untuk mengukuhkan lagi nilai unik Mazda dalam pasaran ini, mempertingkatkan kepercayaan pelanggan dan menyediakan pelanggan dengan pengalaman pemilikan yang lebih bernilai. Melangkah ke hadapan, Mazda akan bekerjasama dengan rakan niaganya untuk menyumbang kepada pembangunan selanjutnya industri automotif Indonesia dan menyediakan barisan produk yang memenuhi keperluan pelanggan, menjadikan Indonesia sebagai pangkalan penting di rantau ASEAN,” tambahnya.

Mazda CX-30
dari RM122,409
Mazda BT-50
dari RM140,418
Mazda CX-60
dari RM200,510
Mazda CX-80
dari RM296,610
Mazda MX-5
dari RM294,154
Mazda CX-5
dari RM134,469
Mazda CX-8
dari RM165,360
Mazda 3 Sedan
dari RM119,620
Mazda 3 Hatchback
dari RM119,620