Mercedes-AMG A45S Final Edition – hot-hatch dengan enjin produksi 2.0L paling berkuasa di dunia berakhir

Selepas tujuh tahun berada dalam pasaran, kini sudah tiba masanya model generasi W177 Mercedes-AMG A45S dihentikan jualannya. Dan sebagai penutup, Mercedes-AMG memperkenalkan model edisi terhad Mercedes-AMG A45S Final Edition sebagai ucapan selamat tinggal kepada hot-hatch dengan enjin 2.0 liter produksi paling berkuasa di dunia berkenaan.

Model ini hadir dengan beberapa perincian istimewa, di mana pada sebelah luar ia dipadankan dengan pakej AMG Aerodynamics secara standard, menampilkan kelengkapan termasuk apron hadapan dengan splitter udara yang lebih besar bersama tambahan sirip sisi, spoiler bumbung belakang, pemisah aliran udara sisi di sekitar saluran keluar udara optik apron belakang dan juga bilah diffuser di mana kesemuanya datang dalam kemasan hitam berkilat.

Ia juga datang standard dengan pakej AMG Night dan AMG Night II menampilkan kemasan hitam berkilat pada perumah cermin sisi dan jalur kemasan, serta tip ekzos dan juga gril hadapan berwarna krom gelap.

Badan A45S Final Edition ini dilayangkan dengan pilihan dua warna Manufaktur iaitu Mountain Grey Magno atau Night Black bersama pembuka pintu krom gelap, dan pelanggan boleh memilih untuk memadankan pelekat grafik “45 S” bersaiz besar pada pintu hadapan dalam kemasan kuning dan hitam, penutup cermin sisi menampilkan corak berlian khas AMG dalam kemasas hitam dan kuning serta serlahan jalur-jalur kuning.

Mercedes-AMG A45S Final Edition – hot-hatch dengan enjin produksi 2.0L paling berkuasa di dunia berakhir

Bagi melengkapkan rupa luaran, Mercedes-AMG A45 S Final Edition ini diberikan rim aloi forged AMG berwarna hitam matte dan juga penutup hub roda dengan logo AMG berwarna kuning, serta sistem brek AMG High-Performance dengan angkup berwarna hitam berkilat dan huruf “AMG” berwarna putih.

Pada sebelah dalam, A45 Final Edition ini menerima tempat duduk AMG Performance yang dibalut dengan kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut dalam kemasan hitam bersama serlahan-serlahan kuning dan sulaman “45 S” pada perehat kepala. Kemasan yang sama turut diberikan pada panel-panel pintu dan papan pemuka, bersama emblem “45 S Final Edition” dilekat pada konsol tengah.

Ia juga diberikan roda stereng AMG Performance yang dibalut dengan kulit Nappa dan Microcut bersama serlahan benang kuning, serta perapi-perapi aluminium serta kemasan bendul pintu dengan corak dan logo AMG berwarna kuning. Akhir sekali, ia turut diberikan karpet kaki kemasan serlahan jalur kuning serta huruf “45 S”.

Tiada perubahan diberikan pada kelengkapan mekanikal di mana Mercedes-AMG A45 S Final Edition ini masih digerakkan oleh enjin M139 2.0 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 421 hp dan tork maksima 500 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift DCT-8G, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic+ Mercedes-AMG.

Ini membolehkan hot-hatch berkenaan memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 270 km/j yang telah dihadkan secara elektronik.

Mercedes-AMG A45 S ini akan meninggalkan pasaran tanpa sebarang pengganti. Ini kerana enjin M139 yang digunakan sudah tidak lagi lulus undang-undang emisi di Eropah yang semakin ketat. Malah untuk barisan model A-Class, ia sudah tidak lagi ditawarkan dalam badan hatchback.

Tugas model prestasi untuk A-Class hanya diganti dengan Mercedes-AMG CLA45 2027 yang baru didedahkan baru-baru ini, di mana model dalam badan coupe empat pintu dan wagon shooting brake tersebut kini digerakkan dengan kuasa elektik sepenuhnhya, menampilkan tiga motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 680 PS bersama tork maksima 1,759 Nm, serta datang dengan mod pemanduan AMGForce S+ yang memberikan bunyi enjin palsu, siap dengan rasa bergetar pada tempat duduk setiap kali pedal pendikit dikerah.

Tags: