Siri perlumbaan ‘one make’ Toyota Vios Gold Championship (sebelum ini dikenali sebagai Vios Challenge) 2026 bagi pusingan ketiga sudahpun berlangsung hujung minggu lalu. Pusingan kedua terakhir untuk musim ini nampaknya masih belum boleh menentukan juara sebenar untuk 2026, di mana dengan format perlumbaan satu jam yang menggunakan sepenuhnya 5.543 km dan menganugerahkan mata berganda kepada pelumba-pelumba tersebut telah menghasilkan keputusan luar jangkaan.
Dalam Race 1 yang berlangsung pada hari Sabtu, 25 Julai, andaian awal bahawa ada perlawanan sengit antara dua pelumba Laser Motor Racing iaitu Nabil Azlan dan Ady Rahimi yang berada di senarai atas pungutan mata tidak terjadi. Sebaliknya perlumbaan ini dimenangi oleh Freddie Ang dari pasukan Telagamas Toyota, yang mendahului dari petak pertama ketika bermula sehingga tamat perlumbaan dengan kelebihan 5.9 saat tanpa dicabar oleh sesiapa!
Tempat kedua pula milik Timothy Yeo dari pasukan RH Kalulong Motorsport, diikuti oleh Mitchell Cheah dari pasukan Prima Pearl SP Selatan di tempat ketiga.
Manakala untuk kelas Sporting yang disertai oleh pelumba-pelumba amatur, Elson Lew dari Hong Huat X Armada KK Racing juga menang bergaya dengan meninggalkan juara simulator Toyota GR GT Cup Asia 2024, Taj Izrin Aiman dari Saksama Motorsports 10.9 saat di belakang. Manakala tempat ketiga pula adalah milik pelumba India yang kini sedang dilentur oleh pasukan Axle Sports iaitu Aditya Patnaik.
Untuk kelas Rookie pula, pelumba simulator yang baru berusia 16, Ethen Low masih mengekalkan momentum kemenangan dari perlumbaan pusingan kedua dengan menjuarai Race 1 dan Race 2 pusingan ketiga ini. Dominasi yang ditunjukkan oleh Ethen sangat jelas di mana pesaing terdekatnya iaitu Ervin Lim tertinggal sejauh 18.7 saat di belakang, diekori Imran Iskandar di tempat ke-3.
Untuk Race 2 yang berlangsung pada hari Ahad pula menyajikan lebih banyak drama yang mendebarkan. Untuk kelas Super Sporting, pelumba pasukan PS Harapan Menang, Bradley Benedict menggunakan sebaiknya kesempatan berada di grid pertama menerusi undang-undang ‘grid terbalik’ berdasarkan keputusan Race 1 untuk memimpin perlumbaan dan menjarakkan diri jauh dari kelompok kedua.
Namun kelebihan tersebut hilang apabila Safety Car keluar pada lap ke-3 kerana insiden yang membabitkan Lim Chun Beng dari pasukan Fokus Racing melanggar Sophia Zara dari pasukan Super Evergreen Motorsport yang tiba-tiba berpusing di selekoh kedua, menyebabkan kedua-duanya tidak dapat meneruskan perlumbaan.
Perlumbaan bermula semula pada lap ke-6 selepas Safety Car keluar dari litar, menyaksikan Bradley Banedict sekali lagi menjarakkan kedudukannya. Persaingan sengit untuk kelas Super Sporting ini hanya melibatkan perebutan podium tempat kedua dan ketiga antara Mitchell Cheah, Kenneth Koh dari pasukan PCM Group Racing, serta Nabil Azlan dan Ady Rahimy.
Dogfight yang lebih getir pula dapat disaksikan pada kelas Sporting membabitkan sekitar empat ke lima buah kereta di kelompok kedua, antaranya pelumba wanita dari pasukan Unihub & DMW 1 Motorsport iaitu Loke Yin Yi, pelumba Thailand Monai Varunchit dari pasukan RUK, Ng Chong Chin dari pasukan Bae Racing By ES Yang dan Elson Lew di mana kedudukan saling bertukar antara mereka.
Kemuncaknya berlaku pada lap ke-15 apabila Hendra Ade Putra dari pasukan FIA Boulevard yang mula masuk dalam persaingan kelompok berkenaan ditolak keluar oleh Elson Lew yang sedang merebut tempat dengan Loke Yin Yi, menyebabkan Vios yang dipandu Hendra merempuh dinding penghadang dan terkeluar dari saingan. Insiden ini menyebabkan Safety Car sekali lagi terpaksa masuk ke litar bagi memimpin perlumbaan.
Ketika Safety Car diarahkan keluar dari litar di penghujung lap ke-17, satu lagi insiden yang tidak diduga berlaku di laluan lurus terakhir SIC di mana seorang lagi pelumba wanita, Ng Aik Sha dari pasukan GTA Race Team terbabas dan menolak Loke Yin Yi ke sebelah kiri, menyebabkan kedua-duanya tidak dapat meneruskan perlumbaan.
Insiden ini menyebabkan Safety Car yang baru sahaja keluar terpaksa masuk balik ke litar. Akhirnya tempoh satu jam perlumbaan ini berakhir dengan Safety Car terus berada di hadapan ketika kesemua pelumba melepasi garisan penamat pada lap ke-19.
Keputusan akhir perlumbaan ini menyaksikan Bradley Banedict menang kelas Super Sporting dan diikuti oleh Mitchell Cheah dan Kenneth Koh masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga. Manakala kelas Sporting dimenangi oleh Aditya Patnaik dan diikuti oleh Adam Mikail dari pasukan G-Mart Motorsport dan Ariff Azmi dari pasukan KMS 333 Motorsports yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.
Siri perlumbaan yang telah masuk musim ke sembilan ini menyediakan hadiah terkumpul bernilai RM876,000, di mana
pusingan keempat dan juga merupakan penutup bagi musim ini dijadualkan akan berlangsung bulan Oktober nanti.



Toyota Vios
dari RM90,600
Toyota Yaris Cross
dari RM99,900
Toyota Hilux
dari RM226,300
Toyota Urban Cruiser
dari RM198,000
Toyota bZ4X
dari RM220,000
Toyota GR Yaris
dari RM315,600
Toyota GR Corolla
dari RM368,950
Toyota Camry
dari RM221,800
Toyota Corolla Cross
dari RM133,800