Toyota Veloz Hybrid dipamerkan di GIIAS 2026 – 1.5L hibrid, bermula RM69k-RM88k, akan ke Malaysia?

Ketika pembukaan Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026 hari ini, kami berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat Toyota Veloz Hybrid yang telah pun dilancarkan di sini kira-kira enam bulan yang lalu. Veloz Hybrid merupakan model hibrid ketiga Toyota di Indonesia selepas Innova Zenix and Yaris Cross hybrid, dan ia juga merupakan yang paling murah dari ketiga-tiga model tersebut – Yaris Cross Hybrid dijual pada harga bermula 399 juta rupiah (RM90k) di sini.

Veloz Hybrid ini digerakkan oleh unit rangkaian kuasa yang sama dengan Vios HEV dan Yaris Cross HEV, di mana ketiga-tiga model ini sebenarnya diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang sama. Unit rangkaian kuasa tersebut menampilkan enjin petrol 2NR-VEX 1.5 liter empat-silinder berkuasa 91 PS/121 Nm, digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 80 PS/141 Nm.

Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa ini menghasilkan kuasa 111 PS, dialirkan ke roda hadapan menerusi transmisi E-CVT, dan motor elektrik menerima kuasa dari bateri 0.7-kWj. Toyota Veloz Hybrid ini ditawarkan dalam empat gred kemasan di Indonesia iaitu V, Q, Q Modellista dan Q TSS Modellista, dijual pada harga bermula Rp 303-389 juta (RM69k-88k).

Toyota Veloz Hybrid dipamerkan di GIIAS 2026 – 1.5L hibrid, bermula RM69k-RM88k, akan ke Malaysia?

Kesemua varian gred dipadankan dengan set rim 17-inci. Manakala varian Modellista pula hadir dengan pilihan bumbung hitam, penutup cermin sisi hitam, pembuka pintu hitam, rim aloi kemasan hitam, antena sirip yu hitam, visor pintu hitam, cermin sisi auto-lipat dengan pancaran lampu puddle, perumah lampu kabus lebih besar, skid plate hadapan dan belakang lebih besar, serlahan krom gelap pada pintu tailgate belakang, penderia parkir hadapan, perumah roda dan perapi sisi hitam, lampu belakang lebar-penuh dengan lampu isyarat membelok jenis sequential dan juga skrin bumbung untuk kabin belakang.

Varian TSS Modellista pula diberikan enam-beg udara (hanya dua untuk varian lain) serta pakej sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense yang menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik hadapan, cruise control adaptif, pengesan titik buta, amaran dan pengelak keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang, amaran gerak mula kenderaan hadapan serta kawalan salah tekan pedal.

Dari kesemua varian yang ditawarkan, hanya varian asas V tidak menerima kamera 360 darjah serta skrin sesentuh 10-inci baharu (Veloz pasaran Malaysia hanya menerima skrin bersaiz sembilan-inci).

Di Malaysia UMW Toyota Motor sudahpun menawarkan Vios dan juga Yaris Cross yang dipasang secara tempatan (CKD) di sini dalam versi hibrid. Mungkin selepas ini Veloz hibrid (Veloz dipasang di kilang Perodua Sg.Choh bersama kembarnya iaitu Perodua Alza) juga akan ditawarkan ke pasaran tempatan memandangkan ia digerakkan oleh unit rangkaian kuasa yang sama?

Tags: