Selepas Thailand dan Singapura, kini sedan elektrik penuh (EV) dari Mazda iaitu Mazda 6e secara rasmi dilancarkan pula di Indonesia ketika berlangsungnuya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026. Di sini, Mazda 6e tidak dikenali sebagai sedan, sebaliknya digelar sebagai Fastback seperti di Singapura, dan ditawarkan hanya dalam satu varian dengan harga bermula Rp 850 juta (RM192k).
Seperti yang diketahui, Mazda 6e ini dibangunkan di China berasaskan sedan EV L07 dari Deepal, iaitu sub-jenama dari Changan. Model pasaran Indonesia ini dibekalkan dengan hanya satu motor elektrik bagi memacu roda belakang, menghasilkan kuasa 258 PS/290 Nm.
Motor tersebut menerima kuasa elektrik dari bateri berkapasiti 77.94 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 560 km dalam kitaran ujian WLTP, dan cas bateri berkenaan boleh dipenuhkan dari 10-80% hanya dalam masa 24-minit.
Tiada perincian lengkap dari Mazda Indonesia berkenaan beberapa informasi teknikal lain berkenaan Mazda 6e ini. Namun berdasarkan model pasaran Thailand, konfigurasi yang sama membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 175 km/j, manakala untuk sistem mengecas pula ia boleh menerima pengecas AC sehingga 11 kW dan pengecas pantas DC sehingga 194 kW.
Untuk senarai kelengkapan pula, Mazda 6e pasaran Indonesia ini datang standard dengan rim aloi 19-inci denga tayar 245/45R19, ruang kargo hadapan 72-liter, bumbung panaromik dengan pelindung matahari kawalan kuasa, pintu tailgate belakang bantuan kuasa, dan juga spoiler belakang elektrik yang boleh naik sendiri pada kelajuan melebihi 90 km/j.
Pada bahagian dalaman pula, ia datang dengan 14 pembesar suara Sony (termasuk yang ‘ditanam’ dalam perehat kepala tempat duduk hadapan), tempat duduk pemandu berliang dengan fungsi larasan elektrik lapan-hala bersama lumbar dan memori, tempat duduk penumpang hadapan berliang larasan kuasa empat hala, paparan head-up AR, lampu suasana kabin 64-warna, skrin sesentuh sistem infotainmen 14.6-inci dan paparan instrumen digital dengan skrin 10.2-inci.
Ia juga diberikan satu panel kawalan digital di bawah liang penghembus udara bahagian belakang bagi membolehkan penumpang belakang mengawal pendingin hawa, pelindung matahari bumbung serta melaras posisi tempat duduk penumpang hadapan. Untuk keselamatan Mazda 6e pasaran Indonesia ini hadir dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) penuh, sembilan beg udara dan juga kamera 360-darjah.
Sedan sporty ini boleh dipilih dengan warna badan ikonik Mazda iaitu Soul Red Crystal, dan juga warna-warna lain termasuk Aero Grey Metallic, Polymetal Grey Metallic, Machine Grey Metallic, Jet Black Mica, Deep Crystal Blue dan Melting Copper Metallic. Setiap pembelian diberikan perlindungan waranti kenderaan selama tiga-tahun atau 100,000 km serta waranti bateri bervoltan tinggi selama lapan-tahun atau 160,000 km.
Memandangkan negara-negara jiran sekitar ASEAN sudah menerima model ini, adakah ia juga akan dilancarkan di Malaysia nanti? Dengan polisi terbaharu yang diumumkan oleh kerajaan mungkin agak sukar untuk menetapkan harga yang kompetitif sekiranya model ini di bawa ke sini dalam versi diimport sepenuhnya (CBU), kecuali sekiranya Bermaz ada rancangan untuk memasangnya secara tempatan (CKD) dan turut mengeksportnya keluar bagi memastikan skala ekonomi yang cukup untuk menampung pelaburan yang dibuat.



Mazda BT-50
dari RM140,418
Mazda CX-60
dari RM200,510
Mazda CX-80
dari RM296,610
Mazda MX-5
dari RM294,154
Mazda CX-5
dari RM134,469
Mazda CX-8
dari RM165,360
Mazda CX-30
dari RM122,409
Mazda 3 Sedan
dari RM119,620
Mazda 3 Hatchback
dari RM119,620