Mitsubishi Xforce HEV 2026 di GIIAS – model hibrid CKD pertama Mitsubishi di Indonesia, RM101k, akan ke M’sia?

Pasaran Indonesia baru sahaja menerima Mitsubishi Xforce HEV yang dilancarkan di pasaran tersebut awal bulan ini. Dan ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026 yang bermula semalam, Xforce dengan unit rangkaian kuasa hibrid berkenaan turut dipamerkan di reruai Mitsubishi, membolehkan kami membeleknya dengan lebih dekat.

Xforce HEV ini dijual pada harga 445 juta rupiah (sekitar RM101k), lebih mahal dari versi petrol di mana versi asas Exeed dijual pada harga 388 juta rupiah (RM88k) dan Ultimate berharga 399 juta rupiah (RM90k). Ia bukan sahaja model hibrid pertama Mitsubishi yang dijual di Indonesia, malah Xforce HEV ini juga merupakan model hibrid pertama yang dipasang oleh PT Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia menerusi kilangnya yang terletak di wilayah Bekasi, Jawa Barat.

Bukan semua pasaran mendapat pilihan kedua-dua unit rangkaian kuasa seperti di Indonesia – di Thailand misalnya Xforce hanya ditawarkan dalam versi HEV, manakala untuk kita di Malaysia SUV ini hanya ditawarkan dalam versi petrol sepenuhnya sahaja.

Mitsubishi Xforce HEV 2026 di GIIAS – model hibrid CKD pertama Mitsubishi di Indonesia, RM101k, akan ke M’sia?

Bagi Xforce HEV ini, ia menerima sistem hibrid e:Motion yang berfungsi seakan sistem hibrid pada Outlander PHEV tetapi dibekalkan dengan hanya satu motor elektrik yang hanya memacu roda hadapan, atau mirip seperti sistem hibrid e:HEV yang ditawarkan oleh Honda.

Ia menggandingkan enjin petrol kitaran Atkinson 4A92 1.6 liter MIVEC empat-silinder berkuasa 95 PS pada takat 5,100 rpm dan tork maksima 134 Nm pada takat 4,500 rpm, di mana enjin ini dalam kebanyakkan masanya hanya berfungsi untuk mengecas bateri litium-ion bagi sistem hibrid.

Manakala roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 116 PS dan tork maksima 255 Nm. Namun pada masa-masa tertentu khususnya pada kelajuan tinggi, motor elektrik ini turut akan dibantu oleh enjin petrol untuk memacu roda yang disatukan menerusi klac lock-up.

Menurut Mitsubishi, sistem HEV pada Xforce ini telah berevolusi berbanding sistem yang ditawarkan pada Xpander di mana ia kini menerima gandar penghantaran dengan dua nisbah kelajuan dengan keberkesanan transmisi lebih baik, serta diberikan fungsi pemisah pacuan motor baharu yang akan memutuskan kuasa dari motor ke pacuan roda pada kelajuan tinggi dengan lebih lancar.

Mitsubishi Xforce HEV 2026 di GIIAS – model hibrid CKD pertama Mitsubishi di Indonesia, RM101k, akan ke M’sia?

Untuk Xforce yang dipacu oleh enjin petrol sepenuhnya pula, ia digerakkan oleh unit rangkaian kuasa yang sama seperti Xpander, menampilkan enjin 4A91 MIVEC DOHC 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada 4,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT bagi memacu sepenuhnya roda hadapan.

Model hibrid dan petrol penuh kedua-duanya dibekalkan dengan sistem Active Yaw Control (AYC) yang mampu mengagihkan tork antara roda kiri dan kanan hadapan mengikut situasi pemanduan, menampilkan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud juga masih diberikan. Namun khas untuk versi hibrid, ia ditambah dengan mod Tarmac serta dua lagi mod untuk pemanduan hibrid iaitu EV Priority dan Charge.

Secara asasnya Xforce HEV dan versi petrol adalah sama dengan menampilkan dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi. Namun, jarak kelegaan tanah bagi versi HEV adalah sedikit rendah dengan ukuran 212 mm, berbanding 222 mm pada Xforce petrol penuh.

Ada beberapa perincian yang membezakan penampilan antara versi hibrid dan petrol penuh. Model yang diberikan teknologi elektrifikasi menerima emblem HEV pada gril hadapan dan pintu tailgate belakang, lencana ‘Hybrid EV’ pada kedua-dua pintu hadapan, lampu belakang yang digelapkan, paparan instrumen digital lapan-inci dengan informasi aliran tenaga serta set rim aloi 18-inci dalam kemasan dua-tona, namun ia menampilkan rekaan jejari yang berbeza. Model HEV ini juga hadir dengan penyejuk minuman yang diletak di bawah perehat tangan tengah, serta tidak diberikan tayar gantian dan hanya diberikan kit pembaikkan.

Manakala perincian seperti bumbung panaromik dengan pelindung matahari kawalan elektrik perapi bumbung, lampu hadapan dan pengelap cermin automatik, pendingin hawa automatik dua-zon bersama penyegar udara nanoe X pula terdapat pada varian HEV dan petrol Ultimate.

Varian petrol Ultimate juga menerima paparan instrumen digital lapan-inci, tetapi tanpa informasi sistem hibrid. Manakala skrin infotaimen 12.3-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta sistem bunyi Yamaha dengan enam-pembesar suara turut dikongsi kedua-dua varian ini.

Kesemua varian, termasuk varian paling rendah Exeed menerima lampu luaran semuanya dengan teknologi LED dan juga rim aloi 18-inci sama seperti Ultimate. Varian petrol paling rendah ini juga dipadankan dengan paparan instrumen analog dengan skrin pelbagai informasi 4.2-inci, pemain audio dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay yang masih perlu menggunakan wayar serta enam pembesar suara tanpa sistem bunyi Yamaha.

Bagi kelengakapan keselamatan pula, varian HEV dan petrol Ultimate diberikan enam beg-udara, bantuan mula mendaki, serta fungsi-fungsi bantuan pemanduan seperti cruise control adapatif, lampu tinggi automatik, pemantau titik buta, pengelak pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, amaran mula-gerak kenderaan hadapan, amaran lintasan trafik belakang dan empat penderia parkir.

Mitsubishi Xforce petrol penuh pasaran Indonesia

Untuk Exeed pula, ia tidak diberikan beg udara tirai, dan sistem bantuan pemanduan hanya terdiri dari fungsi pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang sahaja. Varian paling asas ini juga nampak lebih ‘kosong’ dengan ketiadaan spoiler belakang, serta tidak diberikan perincian seperti pintu tailgate bantuan kuasa, larasan elektrik pada kerusi pemandu, pad pengecas tanpa wayar, lampou suasana kabin, pemantau tekanan angin tayar dan penutup tonneau.

Kami juga mendapati Xforce petrol penuh pasaran Indonesia ini telah diberikan beberapa kemaskini yang tidak terdapat pada model pasaran Malaysia seperti bumbung panaromik dan pilihan tempat duduk pemandu dengan fungsi larasan kuasa. Malah fabrik Mélange pada kemasan papan pemuka sebelum ini (juga pada model pasaran Malaysia sekarang) telah digantikan dengan pad kulit, serta serlahan panel dan jahitan benang perang sebelum ini telah diganti dengan warna kelabu.

Di Indonesia, Mitsubishi Xforce ini ditawarkan dengan pilihan warna badan mono Graphite Gray Metallic dan Jet Black Mica, serta empat pilihan dengan skema dua-tona iaitu Quartz White Pearl, Blade Silver Metallic, Energetic Yellow dan Red Metallic yang dipadankan dengan bumbung berwarna hitam.

Buat masa sekarang Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) masih belum memberikan bayangan sama ada versi HEV ini akan dibawa ke Malaysia atau tidak. Sekiranya dibawa ke sini (sudah tentu dengan harga yang lebih tinggi dari versi petrol penuh), adakah ia akan mendapat sambutan yang tinggi?

GALERI: Mitsubishi Xforce HEV di GIIAS 2026

GALERI: Mitsubishi Xforce di GIIAS 2026

Tags: ,