Rapid KL mengumumkan bahawa tempoh perkhidmatan percuma bagi LRT Laluan Shah Alam akan dilanjutkan sehingga 14 Ogos 2026. Lanjutan ini dapat memberi peluang kepada lebih ramai pengguna untuk menikmati kemudahan Laluan Shah Alam serta membiasakan diri dengan sistem pengangkutan baharu yang menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.
“Sepanjang tempoh tersebut, orang ramai boleh menikmati perjalanan secara percuma menggunakan perkhidmatan Laluan Shah Alam, termasuk perkhidmatan bas perantara Laluan Shah Alam serta kemudahan Park N’ Ride di stesen-stesen, sekali gus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai pilihan utama perjalanan harian.
“Lanjutan tempoh perkhidmatan percuma ini diharap dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna, mengurangkan kos perjalanan harian, di samping meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kecekapan dan keselesaan sistem pengangkutan awam negara. Orang ramai disaran memanfaatkan peluang ini dengan merancang perjalanan terlebih dahulu serta mematuhi segala peraturan dan garis panduan yang ditetapkan demi memastikan perjalanan yang selamat dan lancar,” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Memulakan operasinya pada 29 Jun lalu, perkhidmatan LRT Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Ia melibatkan 20 stesen baharu termasuk Stadium Shah Alam, Pasar Besar Klang, Seri Andalas dan Johan Setia. Prasarana Malaysia Berhad menyasarkan 67,000 perjalanan penumpang sehari pada tahun pertama operasi, sebelum meningkat kepada 117,708 perjalanan sehari dalam tempoh lima tahun.








