Selepas mengalami gangguan perkhidmatan sejak pagi tadi, Rapid KL memaklumkan bahawa MRT Laluan Putrajaya telah kembali normal bermula jam 4.29 petang selepas kerja-kerja baik pulih sistem bekalan kuasa yang terjejas di antara Stesen Taman Equine dan Stesen Putrajaya Sentral berjaya diselesaikan.
“Kerja-kerja baik pulih telah dilaksanakan oleh pasukan teknikal Rapid KL dan operasi tren di kawasan terjejas telah kembali beroperasi seperti biasa.
“Sehubungan itu, perkhidmatan tren alternatif yang dilaksanakan sebelum ini telah ditamatkan. Walau bagaimanapun, perkhidmatan bas perantara percuma akan terus disediakan sehingga jam 10 malam bagi membantu penumpang yang masih memerlukan perkhidmatan tersebut,” kata Rapid KL.
Walau bagaimana pun, syarikat tersebut memaklumkan pasukan operasi akan terus memantau keadaan bagi memastikan perkhidmatan kekal lancar. Kakitangan tambahan juga akan terus ditempatkan di stesen-stesen terlibat untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada penumpang.
“Penumpang disarankan merujuk kepada saluran media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE untuk sebarang maklumat terkini mengenai perkhidmatan. Rapid KL memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama penumpang sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan,” tambahnya.








