Honda raikan tiga pemilik terawal Prelude di Malaysia

Mungkin ramai yang mengatakan bahawa Honda Prelude generasi baharu yang dilancarkan di Malaysia pada Jun lalu ‘kurang garang’ kerana hanya menerima unit rangkaian kuasa hibrid yang sama seperti Honda Civic. Namun hanya jauhari mengenal manikam – Honda Malaysia menyatakan bahawa tempahan untuk 60 unit pertama yang diperuntukkan untuk pasaran Malaysia sudahpun penuh, dan 30 unit daripadanya telahpun diserahkan kepada pelanggan sejak ia mula diedarkan bulan lalu!

Untuk menghargai pelanggan-pelanggannya, Honda Malaysia meraikan tiga pemilik terawal Honda Prelude berkenaan menerusi satu acara ekslusif baru-baru ini. Dalam acara tersebut, Honda Malaysia menyorot bagaimana nama Prelude meneruskan legasinya, di mana pemilik-pemilik berkenaan berkongsi hubungan masing-masing dengan GT coupe ikonik itu.

Tiga pemilik terawal tersebut adalah Gan Ker Beng, Wahiduzaman Abu Kashim and Dr. Davina Navreet Kaur – walaupun datang dari latar belakang berbeza, ketiga-tiga pemilik ini berkongsi pendapat yang sama berkenaan karekter tersendiri, pengalaman pemanduan yang diperhalusi serta warisan yang kekal bertahan pada Prelude generasi keenam ini.

Honda raikan tiga pemilik terawal Prelude di Malaysia

Untuk Gan, Prelude generasi baharu ini telah merealisasikan impiannya selama hampir tiga dekad untuk memiliki GT coupe dari Honda berkenaan. “Saya ada sejarah yang panjang bersama Honda. Kereta Honda pertama saya adalah Civic yang dibeli pada 1990’an, dan ketika itu saya sudah berminat dengan Prelude. Ia adalah kereta impian saya ketika muda dulu, tetapi ketika itu saya belum mampu. Jadi, bila Honda umumkan Prelude akan kembali ke Malaysia, saya tahu saya perlu memiliknya,” kata Gan.

Usahawan dari Johor Bahru itu berkata bahawa memiliki Prelude ini umpama mimpi yang menjadi kenyataan. Menurut Gan walaupun beliau sudah memiliki beberapa kereta sport yang lebih berkuasa, Prelude generasi baharu ini memberikan rasa pemanduan yang lebih terhubung dengan kereta yang unik, dan ini menyebabkan kereta tersebut menjadi pilihan utamanya untuk dipandu sejak ia diterima kira-kira sebulan yang lalu.

“Pada saya, ia bukan berkenaan berapa laju kereta itu boleh pergi atau angka-angka prestasinya, ia ada pada nama Prelude itu sendiri, kenangan yang saya ada padanya, dan hubungan saya dengan Honda selama bertahun-tahun yang membuatkan kereta ini istimewa buat saya,” jelas Gan lagi.

Honda raikan tiga pemilik terawal Prelude di Malaysia

Manakala bagi pemilik perniagaan dari Kuala Lumpur, Wahiduzaman yang juga merupakan peminat Honda sejak sekian lama serta telah memiliki beberapa model prestasi Honda termasuk Honda Civic Type R FK8 dan FL5, Prelude merupakan kereta sport yang seimbang dari segi keseronokan memandu dan juga keselesaan yang diperlukan setiap hari.

“Apa yang sentiasa menarik perhatian saya terhadap Honda adalah perhatiannya yang terperinci dan bagaimana juruteranya mereka bentuk kereta yang terasa seperti sebahagian daripada pemandu, dan apabila saya memandu uji Prelude, saya benar-benar merasakan perwatakannya yang fokus terhadap pemanduan serta keselesaan yang tiada kompromi. Saya tidak sabar untuk memulakan lembaran baharu yang mengujakan ini dengan Prelude saya,” tambahnya.

Bagi satu-satunya pemilik wanita dalam trio ini iaitu Davina, seorang doktor pergigian yang pakar dalam bidang endodontik, Prelude merupakan Honda pertama yang dimiliki oleh beliau. Impian untuk memiliki Prelude datang menerusi minat pada model-model generasi sebelum itu yang selalu dilihat di kawasan kejiranan.

Honda raikan tiga pemilik terawal Prelude di Malaysia

“Ketika membesar, saya selalu melihat beberapa Prelude klasik di kawasan kejiranan saya di Subang, kagum dengan kereta-kereta tersebut dari jauh. Saya juga ada impian untuk memiliki coupe berwarna merah ketika remaja, serta peminat tegar terhadap teknologi hibrid Honda, ketika Prelude dilancarkan, saya terus jatuh cinta dan terus menempah kereta ini tanpa membuat sebarang pandu uji,” katanya.

Kisah ketiga-tiga pemilik terawal Honda Prelude generasi baharu di Malaysia ini memberikan gambaran bagaimana hubungan Honda dengan pelanggan-pelanggannya, menyambung lembaran baharu kepada legasi lama jenama ini dalam memberikan kualiti, prestasi dan keseronokan memandu, dan menonjolkan bagaimana Prelude memberi inspirasi kepada hubungan emosi dalam masa yang sama memberikan keseronokan memandu dalam era elektrik.

Tags: